Friday, August 13, 2010

Fenomena kurma Yusuf Taiyoob


Yusuf membawa hampir 30 dari 200 jenis kurma dari seluruh dunia termasuk kurma madu dari Iran, Yuta, iaitu bukan sempena singkatan nama Yusuf Taiyoob.


RAMADAN sangat sinonim dengan kurma. Umat Islam disunatkan untuk berbuka puasa dengan kurma. Sebab itu ia menjadi satu kemestian ketika berbuka.

Disebabkan permintaan yang tinggi, pelbagai jenama kurma membanjiri pasaran tempatan setiap kali tiba Ramadan.

Tetapi satu jenama yang pasti terpahat diingatakan setiap rakyat negara ini ialah Yusuf Taiyoob.

Kempen pemasarannya yang agresif terutama melalui iklan di radio menyebabkan nama Yusuf Taiyoob begitu dikenali.

Ramai yang tertanya-tanya siapakan gerangan pemilik nama itu. Adakah ia sekadar jenama pada kotak kurma atau saudagar dari tanah Arab.

Yang pasti, ia bukan satu jenama baru. Kurma Yusof Taiyoob telah lama berada di pasaran negara ini.

Pemilik nama itu sendiri merupakan seorang anak tempatan yang telah 30 tahun bergelumang dan jatuh bangun dalam dunia perniagaan.

Bagi mereka yang kerap menggunakan Lebuhraya Utara Selatan menuju ke utara tanah air pasti biasa terlihat kompleks kilang miliknya di kawasan perindustrian Bukit Minyak, Seberang Prai, Pulau Pinang.

Sebuah kompleks kilang yang seluas lima hektar dengan jelas terpampang kalimah suci dua kalimah syahadah dan nama Yusuf Taiyoob Sdn Bhd di satu sudut tinggi adalah milik usahawan Datuk Yusuf Taiyoob, 51, anak kelahiran Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Sempena Ramadan ini, seharusnya kegigihan seorang yang bernama Yusuf Taiyoob yang kini sering digelar Raja Kurma Malaysia wajar kita semua teladani dan contohi.

Malah Yusuf sendiri meminta agar kisahnya tidak sekadar dikaitkan dengan kurma untuk mengalas perut sahaja. Beliau berharap agar umat Islam lain juga turut sama terlibat dalam aktiviti pelbagai perniagaan dan bukan sekadar bermusim.

"Umat Islam mampu melebarkan jaringan perniagaan yang tidak sekadar bermusim sahaja.

"Insya-Allah kita mampu menjadi konglomerat yang mampu bertahan dan menguasai apa juga bentuk perniagaan kerana sampai bilapun perniagaan tidak akan pernah mati," katanya.

Pada masa ini nama Yusuf cukup sinonim dengan perniagaan kurma di negara ini.

Penguasaannya dalam pasaran kurma tempatan terbukti dengan mempunyai hampir 4,000 pengedar besar dan kecil di seluruh negara.

Tetapi bagi Yusuf, masanya banyak dihabiskan di kilangnya.

Walaupun lebih dikenali kerana kurma, sebenarnya perniagaan beliau tidak terhad kepada kurma sahaja.

Terdapat hampir 200 produk lain turut diusahakan beliau dengan pasarannya meliputi seluruh negara.

Antaranya, bertih jagung yang diimport dari Argentina, madu lebah dari Iran dan sabun ayurverdik dari India.

Malah beliau turut mengimport badam dari Amerika Syarikat dan pelbagai jenis rempah dari Malawi.

Bilik sejuk yang terdapat di kilangnya di Bukit Minyak itu mampu memuatkan 7,000 tan barangan makanan pada satu-satu masa.

Simpanan dalam bilik sejuk gergasi itu turut meliputi bunga cengkih yang diimport dari Madagascar di samping lada hitam dari Vietnam.

Pelbagai rempah ratus lain turut memenuhi bilik sejuk itu termasuk buah pelaga, bunga pelaga dan kayu manis.

Yusuf memberitahu, syarikat-syarikat memproses rempah tempatan dan terkenal banyak mengambil bahan rempah daripadanya.

Jelas sekali Yusuf tidak sekadar menguasai pasaran kurma di negara ini malah pelbagai jenis produk makanan sehinggalah kepada produk jagaan kesihatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment