Monday, August 2, 2010

Bertikam lidah hanya di mahkamah




"UNTUK menjadi peguam syarie bukan mudah. Realitinya mereka akan melalui satu tempoh yang amat sukar atau dalam erti kata lain terpaksa bersusah-payah sebelum berjaya menjadi peguam syarie."

Demikian penjelasan Mohd. Ridhwan Husin, 28, seorang peguam syarie muda dari Tetuan Zulkifli Yong Azmi & Co. berhubung kerjaya tersebut.

Menurut Ridhwan, ketika baru bergelar peguam syarie, risiko pertama yang harus dihadapi ialah pendapatan yang tidak menentu kerana ketiadaan kes atau anak guam untuk diwakili.

"Itu satu perkara normal yang tidak boleh dinafikan. Jika anda baru menceburi kerjaya ini dan masih belum dikenali, memang sukar untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan untuk mewakili mereka.

"Tetapi harus diingat untuk bergelar peguam syarie, kita perlu mempunyai minat yang mendalam, sanggup berkorban, kena tahu undang-undang dan pandai menganalisis hukum syarak.

"Selain itu, kita juga perlu bijak memahami mana-mana prosedur undang-undang sivil untuk diaplikasi di mahkamah syariah selagi mana ia tidak bertentangan dengan hukum syarak," jelas Ridhwan yang memulakan kerjayanya sebagai peguam syarie sejak dua tahun lalu.

Pemegang Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM) dan Diploma Lepasan Syariah dan Amalan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu memberitahu, ramai pelajar undang-undang tidak mahu menjadi peguam syarie kerana kerjaya tersebut dianggap mencabar.

Selain terpaksa berhadapan dengan isu perebutan harta pusaka, mereka juga mengendalikan hak penjagaan anak, pelbagai isu tuntutan di antara suami isteri yang bercerai dan banyak lagi.

"Keadaan ini menyebabkan mereka rela memilih kerjaya lain yang lebih menjamin masa depan. Justeru, saya harap lebih ramai pelajar undang-undang di Malaysia akan terjun dalam bidang ini," ujar anak ke-16 daripada 18 adik-beradik yang berasal dari Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan itu.

Apakah misi beliau sebagai peguam syarie? Ridhwan pantas menjawab: "Saya mahu terus berjuang sebagai peguam syarie di Malaysia. Jika mahkamah sivil mempunyai peguam negara dan jika jawatan itu diwujudkan untuk mahkamah syariah, maka itulah impian saya."

Bagi peguam syarie, Dorina Abdullah, 31, dari Tetuan Kamar Ainiah, Raziff & Zashidi pula, etika kerjaya itu sama seperti peguam sivil iaitu tidak boleh terlalu emosi sewaktu mengendalikan sesuatu kes dan ia mengajar seseorang supaya lebih profesional.

Cuma, apa yang penting pemikiran setiap peguam syarie perlu jelas dalam menentukan apa yang diinginkan. Menjelaskan lebih lanjut, Dorina berkata, ia bukan persoalan sama ada menang atau kalah.

Melawan hukum

Di dalam mahkamah syariah, persoalan tunjang yang harus difahami adalah adakah kita membawa kes yang betul mengikut hukum syarak atau sebaliknya.

"Kalau anak guam datang meminta kita berbuat sesuatu yang melanggar hukum syarak, maka kita tidak akan mengambil kes tersebut.


PERMINTAAN terhadap peguam syarie amat tinggi tetapi jumlah mereka yang memilih kerjaya tersebut sangat rendah.


"Contohnya kes yang melibatkan penjagaan anak yang berada di bawah jagaan si ibu. Kemudian si ibu meminta agar bekas suaminya tidak dibenarkan melawat si anak, sudah pasti peguam syarie tidak boleh berbuat demikian.

"Tindakan itu jelas melawan hukum," kata Dorina sambil menegaskan bahawa peguam syarie bukan sekadar kerjaya tetapi tanggungjawab yang berat dalam menjaga dan mengangkat hukum Allah.

Berpegang pada kepercayaan rezeki ditentukan Allah, peguam syarie kelahiran Tapah, Perak itu tidak bimbang dengan situasi turun naik yang sering berlaku dalam kerjaya itu.

"Saya yakin jika kita memberikan yang terbaik dalam setiap kes yang dikendalikan dan melakukannya atas nama kebenaran, insya-Allah, kita tidak perlu mencari pelanggan, sebaliknya mereka akan datang kepada kita," tutur Dorina sambil mengakui bahawa tiada diskriminasi di antara peguam syarie lelaki dan wanita.

Baginya ia terpulang pada keselesaan anak guam itu sendiri.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd. Ralip, 36, berkata, komuniti peguam syarie di Malaysia terbahagi kepada dua.

Pertama, mereka yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan satu lagi yang mempunyai ijazah undang-undang (LLB) di mana mereka juga boleh menjadi peguam syariah dan sivil. Sehingga kini terdapat kira-kira 1,000 peguam syarie di Malaysia.

"Hubungan antara peguam syarie amat baik. Apa yang kami bentangkan hanya di mahkamah dan kalau bertegang leher pun cuma di sana kerana menegakkan kebenaran bagi pihak anak guam masing-masing. Di luar, kami berkawan dan tidak bermasam muka," tutur Mohamad Isa yang berpengalaman selama 11 tahun dalam kerjaya itu.

Di samping itu, cabaran sebenar peguam syarie adalah berbalik kepada cara mereka menangani kes-kes dengan bijaksana dan beretika, cara memberi khidmat terbaik kepada anak guam dan cara memberikan hujah-hujah yang bernas berdasarkan hukum syarak, dalil-dalil al-Quran dan juga Sunnah Nabi saw.

"Ini perkara utama yang perlu diambil perhatian oleh peguam syarie memandangkan kes-kes syariah yang ada sekarang sangat rumit. Jika dulu orang bercerai senang kerana mereka tidak akan membuka cerita-cerita buruk atau mengaibkan pasangan masing-masing.

"Tetapi kini ia sudah jauh berbeza. Begitu juga dengan kes-kes melibatkan tuntutan harta yang menjadi semakin rumit. Bagi mengatasi masalah ini, setiap peguam syarie perlu belajar dan sentiasa memantapkan ilmu serta rajin mengkaji sesuatu hukum untuk menyelesaikan masalah tersebut," terang Mohamad Isa.

Berdepan dilema

Di sebalik peranan penting yang dimainkan peguam syarie, kerjaya itu turut berdepan dilema yang adakalanya membuatkan mereka tidak senang duduk apabila ada pihak-pihak tertentu campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh mahkamah syariah.

Mohamad Isa yang mewakili PGSM berpandangan, dalam isu-isu yang melibatkan keputusan atau perintah mahkamah syariah, ia perlu dipatuhi tidak kira betapa besar sekali pun pangkat seseorang.


PEGUAM syarie perlu bersedia untuk berkhidmat untuk anak guam mereka dengan memberikan hujah berlandaskan al-Quran dan Sunnah.


"Kadang-kadang kita takut untuk melaksanakan syariah kerana takut dengan Islam itu sendiri. Kita takut orang pandang negatif pada Islam sedangkan hakikatnya kalau terdapat ketidakpatuhan terhadap perintah mahkamah syariah, maka seolah-olah kita sendiri yang meremeh-remehkan perkara tersebut.

"Tindakan ini sekali gus mampu mengundang rasa tidak hormat orang bukan Islam terhadap undang-undang Islam," katanya sambil berharap perkara itu diberi perhatian serius oleh pihak terbabit.

Seperkara lagi yang menjadi dilema peguam syarie adalah apabila masyarakat memandang rendah kepada mereka apabila bertindak membela suami atau isteri yang tidak bertanggungjawab atau dituduh melakukan kesalahan.

Sebenarnya masyarakat perlu tahu bahawa peguam syarie adalah orang yang meletakkan hak di mana selagi yang dituduh tidak dihukum salah, maka mereka boleh membelanya. Itu hak tertuduh. Masalah kedua adalah apabila masyarakat melihat peguam syarie sebagai kerjaya yang melibatkan agama, maka mereka akan mempersoalkan kenapa perlu dibayar upah yang tinggi untuk mendapatkan khidmat peguam tersebut.

"Orang ramai kena faham, dalam Islam sendiri ada menjelaskan tentang ijrah iaitu upah yang perlu dibayar jika seseorang telah melakukan sesuatu jika diminta. Dari segi bayaran, memang tiada sebarang penetapan. Sebaliknya, ia bergantung kepada perkhidmatan peguam tersebut.

"Andainya peguam itu berpengalaman luas, maka semakin tinggilah bayarannya. Situasi ini boleh diumpamakan jika kita mahu memakan mi goreng sama ada di warung atau di hotel. Jika hotel menjadi pilihan, sudah tentu kita terpaksa mengeluarkan bayaran yang tinggi dan begitulah jika sebaliknya.

"Cuma masyarakat suka menganggap jika melibatkan agama, semua mesti percuma atau fisabilillah (kerana Allah). Tetapi mereka lupa bahawa peguam juga mempunyai tanggungan sendiri dan perlu mengeluarkan belanja dalam mengendalikan sesuatu kes," ujar Mohamad Isa yang berharap kerjaya tersebut dapat difahami dengan jelas oleh orang awam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: