Saturday, November 14, 2009
Yasmin bukan ‘klon’Fasha
Melihat lakonan pendatang baru, Yasmin Khanif, 21, dalam filem Jalang terbitan produksi de’BARON Sdn Bhd, baru-baru ini mengingatkan penulis pada pelakon kontroversi, Fasha Sandha. Bukan sahaja seiras dari segi paras rupa, tetapi juga pada suaranya yang mudah membuatkan penonton tercuit. Sepertimana Fasha pernah ditertawakan kerana suaranya yang halus bak ‘Doraemon’ begitu juga dengan satu-satu ‘klonnya’ ini.
Tidak mudah melatah bila diajukan hal tersebut, Yasmin yang ditemui seusai pratonton filem tersebut di Cineleisure, Damansara, Rabu lalu, secara jujurnya memberitahu, dia tidak merasakan dirinya sama seperti Fasha, jauh sekali mahu meniru aktres itu. Bagaimanapun, dia tidak menafikan, ramai yang menganggap dirinya mempunyai persamaan dengan Fasha.
“Saya tak nak disamakan dengan Fasha dan mahu jadi diri sendiri. Saya juga berharap orang tidak membanding-bandingkan saya dengannya kerana sebagai pelakon lama, sudah tentulah lakonannya lebih mantap. Menerusi filem ini, saya sudah cuba membawa cara sendiri dan berharap orang tidak akan menyamakan saya dengan Fasha,” katanya yang menjadikan Erra Fazira sebagai idolanya dalam dunia lakonan.
Tidak anggap diri dieksploitasi
Tajuk Jalang sahaja sudah cukup untuk membuatkan filem ini menempah kontroversi dan pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa bintang baru seperti Yasmin tegar untuk beraksi dalam filem sebegitu. Bahkan rela dieksploitasi, kerana sanggup beraksi ‘berani’ dan mendedahkan susuk badannya.
Tidak merasakan dirinya telah dipergunakan dalam filem arahan Nazir Jamaluddin itu, Yasmin, sebaliknya melihatnya sebagai satu peluang untuk mencipta nama di layak perak.
“Ketika saya ditawarkan membintangi filem ini, tajuknya adalah Maria, tapi kemudiannya telah ditukarkan pada Jalang. Saya tahu tajuknya agak keterlaluan dan akan mengundang kontroversi, tapi setelah membaca skripnya, saya rasa ia tidaklah keterlaluan malahan banyak mesej dan pengajaran yang boleh dikongsi dengan penonton. Lagipun saya tahu, filem Malaysia pastinya ada batasan. Malah banyak babak-babak dalam filem itu juga dibantu dengan teknik kamera.
“Sebelum berlakon filem ini, saya terlebih dahulu meminta pandangan dari orang tua saya dan mereka tidak menghalang tetapi dengan syarat, saya menjadikan kakak sebagai pembantu peribadi untuk segala urusan,” katanya yang pernah membintangi dua telemovie pada awal tahun lalu, iaitu Vila Maya dan Email Dari Angkara untuk RTM.
Memandangkan kisah dan tema Jalang mempunyai persamaan dengan filem kontroversi 'Isteri, Perempuan dan...' sedikit masa lalu, maka tidak hairanlah sekiranya Yasmin akan melalui nasib yang sama seperti mana bintang utamanya, Sofea Jane yang pernah dikecam kerana membawakan watak Zaleha.
Namun bagi Yasmin, sejak mula menerima tawaran itu lagi dia sudah pun mempersiapkan dirinya untuk berdepan dengan sebarang kritikan mahupun persepsi masyarakat. Malah dia juga tidak kisah sekiranya digelar Jalang ekoran filem itu kerana setidak-tidaknya penonton akan mengenalinya.
'Caras' lima pelakon hebat termasuk Fasha, Fazura
Walaupun kekurangan dari segi pengalaman berlakon, namun pakej lengkap yang dimilikinya berjaya menambat hati pengarah untuk menerajui filem Jalang. Malah pemilihannya secara tidak langsung telah mengetepikan lima pelakon hebat seperti Fasha Sandha, Fazura, Nasha Aziz, Janet Khoo dan Amber Cia.
Tidak mahu mendabik dada, bagi Yasmin, itu sudah rezekinya. Akui bakatnya tidak setanding nama-nama besar itu, namun dia sudah cuba memberi sebaik mungkin demi filem terbitan sulung produksi de’BARON Sdn Bhd.
“Terus-terang saya memang tak puas hati dengan lakonan saya, sebab nampak macam kaku dan kekok sikit. Tapi saya anggap ini sebagai satu percubaan, lagipun ini adalah filem pertama saya. Jika diberi peluang, saya mahu baiki lagi dan Insya-Allah saya akan tingkatkan lagi lakonan saya dalam filem seterusnya,” kata Yasmin yang bakal beraksi dalam dua filem terbaru, Blues Untuk Aku dan Insaf.
Selain Yasmin, filem yang menjalani penggambaran sepenuhnya di Langkawi ini turut dibintangi Hairi Othman, Maria Farida, Helmi Husaini, Kuswadinata, Fizow Omar, Norlia Ghani, Faizal Hussein dan Ridzuan Hashim.
Jalang mengisahkan Maria, seorang perunding kanan di salah sebuah syarikat antarabangsa yang menjadikan tubuh badannya sebagai barang dagangan demi mendapatkan projek-projek besar dalam dan luar negara.
Dia terperangkap dengan cinta lamanya, Ikram yang juga merupakan anak kepada Datuk Nahu yang menjadikannya ‘anak ayam’ kepada rakan-rakan perniagaannya.
Selepas perbuatannya dihidu Ikram, dia membawa diri ke kampungnya. Namun dalam masa yang sama, dia didatangi sahabat baiknya, Ben Adam yang mahu melamar cintanya.
Malang menimpa Maria, apabila dia ingin kembali ke pangkal jalan. Mampukah Maria meneruskan niatnya ke masjid solat Subuh berjemaah dengan kekasihnya? Saksikan kesudahan Jalang di pawagam bermula 26 November ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: