KEMESRAAN dua wanita ini tidak dibuat-buat. Mesra Datuk Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti bukan sekadar sebagai rakan seni di pentas hiburan, sebaliknya ia bercambah kerana mereka sejiwa.
Jiwa yang satu itulah yang telah menggerakkan mereka untuk bergabung dalam sebuah album duet yang sudah tertunda sejak setahun lalu. Usai penceraian Kris, Siti menghubungi teman baiknya itu dan projek yang diketuai Aubrey Suwito dan Audi Mok dengan bernaung di bawah SNP Production juga KD Record dimulai.
Malam Rabu lalu diperdengarkan tiga buah lagu ciptaan Audi iaitu Amarah, Jika Kau Tak Datang dan Dalam Diamku yang cukup luar biasa dan punya magis sendiri untuk laku dijual pada pasaran Malaysia dan Indonesia.
Usai menikmati dendangan penuh aura KD dan Siti, dua penyanyi tersohor ini berkongsi cerita tentang pembikinan album yang mahu dilancarkan sebelum Disember 2009 menutup tirai dan erti pengorbanan daripada persepsi mereka.
SB: Adakah album ini merujuk kepada persahabatan kalian?
KD: Ya, boleh dikatakan begitu. Ini kerja persahabatan kami. Sebenarnya saya tak sangka bahawa mimpi setahun lalu boleh menjadi kenyataan seperti ini. Ini adalah kerjasama yang luar biasa.
Album ini lebih kepada luahan rasa? Banyak berkisar tentang diri kalian misalnya?
KD: Lagu dan lirik hampir berkisar tentang masalah saya, sehingga Siti sendiri tanpa pernah bertanya, mampu membaca isi hati saya yang ditumpahkan di dalam lirik. Dia satu-satunya kawan yang tidak pernah bertanya hal peribadi saya.
SITI: Ya, Siti tak pernah tanya kepadanya apa yang telah berlaku. Tetapi jika KD ingin bercerita, Siti selalu ingin mendengar. Jadi, saya ciptakan lirik Amarah bercerita tentang situasi seorang wanita apabila berada dalam keadaan seperti KD. Ia seperti satu dedikasi buat KD.
Siapa yang memberi idea menyanyi secara sahut menyahut ini?
SITI: Audi Mok. Memang pening sikit pada mulanya kerana harus menyahut seperti ini, tetapi ia sangat menarik.
KD: Album ini sebenarnya seperti kami sedang berbicara antara satu sama lain, jadi ia harus sahut menyahut seperti ini.
Pasti ada yang akan membuat perbandingan vokal antara kalian. Bagaimana melihat isu ini?
KD: Saya amat menghargai kemampuan Siti. Kami juga berkompromi dalam album ini. Jika saya tidak sampai untuk menyanyi nada tinggi, saya beri kepada Siti dan begitu juga sebaliknya.
SITI: Kami cuba mencari keserasian vokal dengan baik, bukan nak orang dengar kami sedang beradu vokal. Jadi, sepatutnya tidak timbul vokal siapa yang lebih hebat.
Sempena Aidiladha, bagaimana kalian melihat pengertian pengorbanan?
KD: Korban adalah hal untuk belajar menjadi ikhlas. Tahun ini adalah titik pengorbanan paling besar bagi saya kerana harus berpisah dengan anak-anak. Tapi saya harus kuat kerana apa yang sudah berlalu tidak akan boleh ditarik semula.
SITI: Pengorbanan Siti barangkali tidak sekuat KD, tetapi Siti rasa Siti banyak korbankan zaman remaja dan masa Siti untuk berada di sini sekarang. Bagaimanapun Siti tidak pernah ralat kerana ini adalah 'korban cinta' yang gembira buat Siti.
Kalian berdua sudah pernah menunaikan haji. KD, pada tahun 2005 dan Siti 2007. Ada perancangan untuk mengerjakan haji lagi?
KD: Ada. Saya berharap untuk mengerjakan haji bersama Siti dan Datuk K pula.
SITI: Insya-Allah.
Aidiladha kalian tahun ini bagaimana?
SITI: Alhamdulillah, tahun ini Siti gembira kerana dapat mengupah seorang kiyai untuk mengerjakan haji bagi arwah abah. Siti juga korbankan seekor unta untuk arwah abah di sana dan diberi kepada fakir. Siti korbankan seekor lembu di Kuala Lipis, Pahang, seekor lembu di Taiping, Perak sementara suami korbankan beberapa ekor lembu di kampungnya di Kedah.
KD: Saya menyambut Aidiladha di Bali tahun ini bersama papa. Tapi saya korbankan lebih kurang dua puluh ekor kambing di Jakarta dan Jogjakarta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: