Monday, November 30, 2009

Seloka dua pengacara 'laser'


bagi rizalman (kiri) dan zulfazli, mereka cuba menjadi diri sendiri dalam program Tangkap muat.


BAIK Rizalman Ibrahim mahupun Zulfazli Suhadi, mereka tidak memiliki latar belakang dalam bidang kewartawanan khususnya penyiaran.

Namun, kelebihan bercakap serta bakat seni menyebabkan dua lelaki yang sangat berpengaruh dalam disiplin fesyen dan kecantikan ini pantas menarik perhatian masyarakat.

Apabila kedua-dua personaliti ini mengendalikan program Tangkap Muat terbitan Astro, sebilangan besar pemerhati seni berpendapat, keputusan meletakkan mereka berdua dalam program realiti itu sangat tepat.

Mengenali Rizalman dan Zulfazli, orang yang rapat dengan mereka barangkali tidak pernah mengambil kisah 'keterlanjuran bicara' mereka sewaktu mengendalikan Tangkap Muat.

Kalau berbual dengan Rizalman dan Zulfazli, anda sudah tentu akan mudah ralit dibawa bersama cerita-cerita mereka yang bersulamkan sindiran-sindiran pedas namun sarat dengan pengajaran.

Berbeza pula bagi mereka yang mungkin hanya mengenali Rizalman dan Zulfazli menerusi bahan pembacaan mahupun program TV, sudah tentu ada yang dengan mudah membuat kesimpulan, mereka biadap atau tidak menghormati sensitiviti orang lain.

Kesimpulan sedemikian barangkali berlegar di fikiran mereka yang tidak pernah akrab dengan Rizalman dan Zulafazli selepas menonton Tangkap Muat iaitu program realiti yang mengubah imej dan personaliti orang awam yang menemui penonton di saluran Ria (saluran 104, Astro).

Hakikatnya, kedua-dua anak bujang ini tidak pernah risau dengan pandangan skeptikal sedemikian, jauh sekali untuk berkecil hati.

"Saya tidak marah dengan mereka yang mungkin mempunyai persepsi negatif terhadap saya hanya kerana menonton 'kebiadapan' saya dalam Tangkap Muat," akui Rizalman dalam satu perbualan dengan Hits baru-baru ini.

Dalam nada tenang, pereka fesyen tersohor tanah air itu menjawab dakwaan banyak pihak yang kurang senang dengan kelantangannya mengkritik para peserta yang terpilih menjayakan program yang dikendalikannya itu.

Sebagai individu yang menjadi 'orang penting' dalam Tangkap Muat, anak kelahiran Pulau Pinang yang mesra disapa dengan panggilan Rizal itu mengakui, dia dan temannya, Zulfazli banyak mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak menghormati orang lain dalam program itu.

Hakikatnya, Rizalman menjelaskan, penggunaan bahasa 'kasar' itu sebagai memenuhi tuntutan konsep Tangkap Muat selain hasrat team produksi itu mahu menjadikan program berkenaan sebagai program masyarakat.

"Salahkah saya menjadi diri saya sendiri? Saya memperlihatkan kepada masyarakat itulah realiti orang kita. Bukankah mengumpat dan mengata budaya masyarakat kita?

"Namun begitu, jangan pula ada yang salah anggap kononnya saya menggalakkan budaya mengumpat dan mengata. Sebaliknya, saya bersikap tulus dan jujur mengkritik peserta Tangkap Muat kerana dengan kejujuran dan berterus-terang, kita boleh mengajar manusia menjadi lebih baik dan mengubah kelemahan diri," tegas Rizalman panjang lebar.

Rizalman juga berpendapat, sudah sampai masanya masyarakat melihat pendekatan berterus-terang seseorang pengacara dalam sesebuah program realiti itu sebagai terjemahan kepada evolusi industri penyiaran tempatan.

Trend sedemikian katanya, sudah lama berlaku di Hollywood dan perkembangan itu sekali gus membantu meningkatkan kualiti penerbitan program televisyen.

Dalam perbualan itu juga, Rizalman tidak berniat untuk mengajak rakyat Malaysia menerima bulat-bulat budaya Hollywood, sebaliknya, ada benda baik dari barat yang boleh diaplikasikan di sini.

"Kita perlu menyedari bahawa apa saja program yang diterbitkan dalam medium televisyen, ia amat mudah untuk mendidik masyarakat.

"Lalu, pendekatan terbaik untuk menyelitkan unsur pendidikan ialah dengan menghasilkan program yang sifatnya natural atau realiti barulah masyarakat boleh mengaitkannya dengan diri mereka sendiri," tegas Rizalman berkongsi pendiriannya.

Persoalan seterusnya kenapa selepas 15 tahun bergelumang sebagai pereka fesyen tiba-tiba beralih angin ke dunia penyiaran pula?

Sebelum Tangkap Muat, Rizalman yang berusia 38 tahun juga pernah mengendalikan program dekorasi yang ditayangkan di TV3, Deko Deko Deko.

Jawapan Rizalman sangat mudah, dia mahu membetulkan segala kesilapan yang sering dipertontonkan kepada masyarakat sebelum ini.

"Saya mahu membetulkan apa yang selama ini tidak tepat didedahkan kepada masyarakat. Selama ini, kebanyakan idea yang dikongsi tidak jujur. Ada yang memanipulasi peluang yang diberikan kepada mereka sama ada dalam program fesyen, masakan atau dekorasi.

"Semuanya bersandarkan kepada penekanan teori semata-mata. Jadi, dengan pengalaman dan ilmu yang saya ada maka wajar buat saya untuk berkongsi dengan rakyat Malaysia," jelas Rizalman yang masih lagi aktif dalam bidang fesyen yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Pendirian yang sama disuarakan oleh jurusolek selebriti yang sudah lebih dua dekad bergelumang dalam dunia glamor, Zulafazli.

Zulfazli atau lebih mesra dikenali sebagai Zul merupakan antara jurusolek yang tidak perlu diperkenalkan lagi personalitinya.

Dia harus diakui sangat berterus-terang jika mahu menegur atau mengkritik rakan-rakan artis mahupun teman-teman akrabnya andai ada yang tidak kena pada pandangan matanya.

"Saya tidak suka menjadi manusia yang hipokrit. Ramai rakan artis, wartawan dan teman-teman baik yang sangat kenal karakter saya. Kalau ada yang tidak betul atau ada yang tidak kena, saya akan terus bercakap di depan mata mereka.

"Karakter yang sama saya gunakan ketika mengendalikan Tangkap Muat. Saya fikir dengan berterus-terang, santai tanpa protokol akan membuatkan orang lebih mudah untuk mendekati sesebuah program TV seperti itu. Pun begitu, saya dan Rizalman masih ada sifat-sifat kemanusiaan yang tinggi," jelas anak seni kelahiran Sabak Bernam ini lagi.

Zulfazli yang sering menjadi pilihan ramai selebriti ternama untuk menata rias muka mereka melihat Tangkap Muat dari perspektif yang cukup luas.

Dia yang juga seorang perunding perkahwinan berpendapat, Tangkap Muat boleh muncul sebagai sebuah program realiti yang memberi penekanan aspek-aspek pembinaan karakter seseorang secara jujur.

Berkongsi pengalamannya mengendalikan Tangkap Muat, Zulfazli berkata, ia memberi peluang kepadanya melihat karakter manusia dari perspektif yang sangat berbeza berbanding selama ini dia hanya menyolek wajah wanita untuk memastikan mereka cantik semata-mata.

"Tugas saya saling tidak ubah seperti seorang pensyarah atau guru yang berkongsi ilmu hasil daripada apa yang saya praktikkan selama 20 tahun. Pelbagai ragam kehidupan manusia yang saya lihat dan sebilangan besar daripada mereka mahu seseorang yang boleh memberi khidmat nasihat secara jujur tanpa berselindung.

"Inilah yang dilakukan oleh saya dan Rizalman dan Alhamdulillah hampir kesemua peserta yang terlibat dalam Tangkap Muat sangat gembira dengan perubahan yang dilakukan pada mereka," jelas jurusolek yang juga sering menjadi pilihan isteri-isteri tokoh kenamaan negara, golongan bangsawan, tokoh korporat dan sebagainya.

Zulfazli juga menyatakan rasa syukurnya kerana pada usia 42 tahun, dia masih diberi amanah dan kepercayaan untuk menggembirakan hati orang lain yang selama ini hanya melihat realiti dunia kecantikan dan fesyen dari jauh.

Hatinya berbunga keriangan apabila orang awam yang diubah personalitinya begitu gembira, tergamam, teruja dan seperti tidak percaya bila melalui transformasi personaliti hasil kerja tangan dia dan temannya, Rizalman.

Kepada masyarakat, Zulfazli dan Rizalman serahkan kebijaksanaan mereka untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya.

Kata mereka berdua, tugas mereka memperbaiki apa yang tidak kena dan sekali gus mengubah tradisi masyarakat melihat dunia dari skop yang kecil.

Kerana itu, Zulfazli dan Rizalman tidak akan mudah patah semangat untuk meneruskan aspirasi kesenian kerana hanya itu kerja yang mampu mereka buat dan akan terus dilakukan selagi ada kudrat dan selagi khidmat mereka diperlukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: