Sunday, November 29, 2009

Miliki kereta di Pulau Asmara


LEEZ


KEPERIBADIAN berbeza tiga sahabat bernama Taufik, Jeffri dan Sam tidak menghalang untuk mereka menjadi kawan baik dan bercuti bersama ke Pulau Langkawi.

Taufik seorang pemuda yang konservatif, Jeffri pula terkenal dengan sifat playboy manakala Sam pula seorang yang suka melawak.

Percutian mereka ke pulau itu di rancang dengan baik tetapi kesempurnaan itu menjadi sebaliknya apabila mereka bertemu dengan tiga gadis bernama Lina, Amy dan Sofea.

Tidak sekadar percutian sebaliknya kegembiraan itu telah mengubah takdir hidup mereka selamanya apabila satu persatu konflik timbul yang merungkai persoalan yang tidak pernah diketahui sebelum ini.

Mampukah ketiga-tiga sahabat ini menghadapi takdir berkenaan di pulau itu hanya akan terjawab apabila menonton Pulau Asmara yang dijadual ditayangkan pada 17 Disember akan datang.

Antara pelakon yang membintangi filem ini terdiri daripada Faizal (AF4), Abby Aziz, Sheikh Bolkiah, Latif Ibrahim, Shasha Arsheela, Lezz (AF4), Datuk Aziz Singah dan Nadia Kesumawati.

Lebih menarik, bukan sekadar menonton sebaliknya mereka yang menonton filem arahan Uttam Kumar Thangiah ini berpeluang menyertai Peraduan Jejak Kereta Di Pulau Asmara. Ia menawarkan hadiah berupa sebuah kereta Proton Saga 1.3 SE sebagai hadiah utama.

Selain kereta, hadiah lain yang mesti dimenangi ialah sebuah motosikal dan beberapa hadiah saguhati berupa telefon bimbit terkini serta pakej percutian mewah.

Peraduan ini bertujuan menghargai sokongan pembaca terhadap akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Peraduan dianjurkan oleh Alakazam Productions dengan kerjasama Kumpulan Utusan dan Snap Productions.

Untuk menyertai peraduan ini, pembaca hendaklah memotong keratan gambar dan meneka artis berkenaan bermula 14 Disember akan datang. Pembaca perlu mengumpul keratan peraduan tersebut yang disiarkan di dalam sisipan Mega, Utusan Malaysia pada Isnin hingga Sabtu.

Seterusnya tampal semua keratan tersebut di atas borang yang akan disiarkan di dalam sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.

Jawab tiga soalan mudah beserta slogan dan hantarkan penyertaan sebanyak mungkin. Tapi ingat, setiap borang penyertaan mestilah disertakan dengan keratan asal tiket wayang Pulau Asmara bagi melayakkan anda membawa pulang hadiah menarik. Tarikh tutup penyertaan pada 15 Januari 2010.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment