Monday, November 30, 2009

Rezeki muzik kekampungan




KALAU diikutkan, banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh kumpulan Wali sejak berpijak di lantai muzik Indonesia kira-kira sedekad lalu. Ada sahaja perubahan yang dilakukan kepada grup dari Jakarta itu dengan alasan mahu meningkatkan popularitinya ke tahap lebih tinggi.

Wali yang menggunakan nama Fiera pada awal kemunculan terpaksa akur dengan kehendak syarikat rakaman, Nagaswara Publisherindo untuk menukar nama band mereka. Sewaktu bersama Fiera, mereka sempat menghasilkan album sulung yang berjudul Orang Bilang.

Namun bermula pada tahun 2006, Fiera yang didukung oleh lima anak muda itu bertukar menjadi Wali. Tidak sesekali membantah, mereka bagaimanapun sekadar mengikut setiap keputusan yang dirasakan terbaik demi perjalanan dan hala tuju positif Wali.

Begitupun, belum sempat menyelami nuansa pop rock kreatif, Wali harus melakukan perubahan sekali lagi. Kali ini bukan calang-calang kerana mereka harus mengucapkan selamat tinggal kepada jenis lagu yang diminati selama ini. Satu lagi pengorbanan yang harus dijalani Wali!

Menurut salah seorang anggota kumpulan itu merangkap pemain dram iaitu Tomi, syarikat rakaman mahukan Wali menukar genre lagu asal kepada pop kreatif tempatan untuk album kedua.

"Pada mulanya kami cukup terkejut dengan cadangan ini ditambah Wali begitu sinonim membawakan muzik pop rock seperti yang dilagukan oleh Padi dan Gigi.

"Secara tiba-tiba kami diberikan idea untuk menyanyikan karya dalam stail dan corak yang tidak bersesuaian langsung dengan jiwa masing-masing.

"Memanglah tuntutan hati kami tidak seperti itu apatah lagi menyanyikan lagu-lagu yang beriramakan kekampungan dan ada waktunya kedengaran lucu. Kami seboleh-bolehnya mahu tampilkan bakat dan kemahiran dengan jalur muzik sedia ada.

"Setelah berfikir panjang sambil mengadakan perbincangan dengan ahli Wali dan syarikat rakaman maka kami rasa tiada salahnya kalau mencuba sesuatu yang baru demi menampilkan kelainan," jelasnya semasa ditemui pada sidang media pelancaran album kedua Wali, Cari Jodoh di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sambung Tomi lagi, Wali mengambil masa selama setahun untuk membiasakan diri dengan meluahkan warna muzik baru itu kepada para peminat.


EMPAT anak muda yang mengangkat elemen muzik daerah Indonesia (dari kiri) Tomi, Faank, Apoy dan Ovie.


"Ambil waktu jugalah untuk perpindahan daripada pop rock kreatif kepada pop kreatif tempatan. Lama-kelamaan kami semakin serasi dengan jalur muzik baru ini apatah lagi setelah melihat penerimaan masyarakat terhadap kumpulan popular Indonesia, Kangen.

"Pada pendapat kami, tidak ada dosanya kalau Wali berkorban demi menghadiahkan peminat dengan karya yang unik dan berlainan daripada biasa. Dalam waktu sama, kami perhatikan pop rock kreatif ada kelemahan tersendiri.

"Masakan tidak, jalur muzik lama kami kedengarannya cukup egois dan hanya menumpukan pada satu-satu skil. Berlainan pula dengan pop kreatif tempatan yang menampilkan elemen-elemen tradisional negara kelahiran kami seperti Padang dan Jawa Barat.

"Justeru, bagi Wali perpindahan genre muzik asal kepada yang baru mempersembahkan impak yang lebih berkesan di hati masyarakat. Bahkan, peminat terhibur dengan lagu-lagu yang kami dendangkan kerana ia punya keistimewaan tersendiri.

"Daripada perasaan yang tidak senang dan ragu-ragu, kini kami seronok membawakan lagu seperti Cari Jodoh. Paling membanggakan apabila lagu ciptaan Apoy ini lekas saja mendapat tempat di hati khalayak.

"Kami sungguh berbangga apabila lagu Cari Jodoh sering meniti di bibir orang ramai dan dimainkan di corong-corong radio. Iyalah, daripada Wali yang pada mulanya digemari oleh masyarakat golongan kampung, sekarang orang di bandar juga menerima kami dengan hati terbuka.

"Terus-terang, sebelum ini kami tidak pernah menyasarkan peminat Wali. Cuma kedengaran banyak persepsi umum bahawa kumpulan ini lebih diminati oleh pendengar di kawasan pinggir kota.

"Biarpun begitu, kami berjaya mengubah pandangan mereka apabila Wali berhasil menarik perhatian orang di bandar dengan lagu Cari Jodoh yang barangkali dianggap bersesuaian dengan kehidupan orang kota kerana mereka lambat bertemu jodoh.

"Itulah yang membuatkan kami teruja dengan penerimaan dan sokongan mereka. Walaupun terpaksa berkorban dengan minat sendiri, hakikatnya ia menonjolkan hikmah pada kemudian hari kepada Wali," jelas Tomi tersenyum manis sambil menampakkan barisan gigi yang masih rapi dipeluk pendakap gigi.

Bersedia dengan perubahan baru

Itu keterujaan mereka selepas album kedua yang mengandungi lagu-lagu seperti Baik-Baik Sayang, Kekasih Halal, Puaskah, Jodi, Yank, Adinda, Suka Atau Tidak, Jangan Tuduh Aku dan lain-lain itu mendapat kedudukan di hati pengikutnya.

Ditanya andainya Wali harus bertukar genre muzik lain memandangkan syarikat rakaman sentiasa muncul dengan bermacam-macam ilham baru demi menampakkan kesegaran terhadap produk artis mereka, tanpa berselindung, Tomi mengaku Wali mengamalkan dasar fleksibel.


WALI membuat persembahan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur baru-baru ini semasa majlis pelancaran album Cari Jodoh mereka.


"Kalau ia mampu meningkatkan nama Wali pada papan lebih atas, ia pasti tidak menjadi masalah besar kepada kami.

"Kalau tiba-tiba pada tahun 2011 kami kena menyanyikan lagu dengan irama muzik lain maka kami sekadar menerima hakikat ini dengan perasaan lapang dada.

"Apa jua yang dimahukan oleh Nagaswara seboleh-bolehnya kami akan cuba ikuti selepas ini. Biarlah orang lain mengatakan kami tidak punya pendirian sendiri dalam berkarya.

"Sebenarnya kami tidak mahu bersikap ego dan mementingkan diri. Sedangkan syarikat rakaman lebih tahu apa yang terkini dan mudah diterima di pasaran seni. Maka apa yang dirasakan baik oleh Nagaswara, ia juga bagus kepada Wali.

"Sekurang-kurangnya kami tidak berkubur begitu saja dan berada dalam bidang nyanyian dalam waktu singkat. Bahkan, peminat dapat melihat perubahan Wali dari semasa ke semasa lantas membuat penilaian bahawa kami versatil dalam menzahirkan muzik," jelasnya yang mengagumi pemuzik lain seperti D'Masive dan Nidji.

Setelah diamati, keseluruhan lagu dalam album Cari Jodoh itu merupakan nukilan salah seorang pendukungnya, Apoy yang juga berperanan sebagai pemain gitar akustik dan elektrik.


WALI membuat persembahan pada program stesen radio Suria FM baru-baru ini.


Rupa-rupanya, ilham Apoy dihadirkan menerusi sentuhan hati dan kejujuran bagi menghasilkan bunyi-bunyian yang harmonis dan kedengaran energetik.

"Membikin lagu sebenarnya hanya melalui hati yang ikhlas. Kebetulan saya punya kaitan erat dengan lagu-lagu yang dihasilkan sehingga tanpa disedari saya berjaya menyuntik emosi di dalam setiap karya.

"Kebetulan ramai teman yang bercerita tentang pengalaman masing-masing. Jadi saya menyelitkan momen-momen mereka ke dalam karya sekali gus saya percaya ia mampu memikat jiwa penikmat muzik di luar sana," jelasnya ringkas.

Wali tidak timbulkan kontroversi

Tidak dinafikan, perkataan Wali selalunya terarah kepada konteks alim ulama' atau perkahwinan. Bahkan, ia menjunjung pengertian yang agak berat.

Lantaran itu, pemilihan nama Wali dilihat mampu mencetuskan tanggapan kurang senang di kalangan sesetengah pihak di luar sana. Barangkali ada suara-suara nakal yang mempertikaian kelayakan dan integriti kumpulan itu untuk menamakan diri mereka sebagai Wali.

"Buat masa ini belum ada sebarang kontroversi tentang Wali yang dipilih sebagai nama kumpulan kami. Bahkan tidak kedengaran perasaan kurang puas hati daripada orang lain.

"Lagipun kami bukan melabelkan nama grup ini sebagai wali songo ataupun berkaitan dengan wali nikah.

"Wali bermaksud wakil dan ia menjadi falsafah dalam jiwa ahli-ahli kumpulan ini mewakilkan bakat yang dimiliki ke dalam karya muzik kami.


PENGORBANAN Wali mengubah jalur muzik dan nama asal mereka Fiera, akhirnya membuahkan hasil apabila lagu mereka Cari Jodoh semakin menjadi siulan.


Di Malaysia, album Wali yang dikeluarkan oleh Tropic Jaya Entertainment Sdn. Bhd. itu diedarkan sejak Oktober 2009.

Setelah sebulan berada di pasaran, Cari Jodoh terjual sebanyak 10,000 unit. Tidak ketinggalan, album cakera padat video (VCD) Wali juga bakal dilancarkan pada awal Disember ini.

1 comment:

  1. Sebelum lagu wali berkumandang di radio,sy dh pun memiliki vcd wali yg di beli di kota batam indonesia...waktu tu sy gi melancong kesana.lagu cari jodoh dh lama popular disana.mmg best lagu2 wali.Tahniah wali!.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: