|
|
LAGU Cari Jodoh betul-betul membuatkan nama Wali popular sekelip mata. Siapakah Wali? Apakah yang membuatkan lagu tersebut begitu diterima ramai sehinggakan mendapat tempat di hati peminat di Indonesia.
Seperti ada laluan mudah yang diperoleh oleh kumpulan ini dalam menempatkan diri menjadi kelompok pemuzik yang mempunyai ramai peminat sedangkan ada sesetengah kumpulan yang terpaksa menunggu lama untuk popular.
Sambil menjadikan kumpulan Slank dan Gigi sebagai idola, Wali juga mahu menjadi seperti kedua-dua kumpulan itu pada masa akan datang walaupun dalam jaluran muzik yang berbeza.
Kunjungan pertama Wali ke Malaysia sememangnya sudah dinanti-nantikan sejak dahulu lagi. Inilah impian mereka untuk melihat bagaimana penerimaan peminat Malaysia terhadap lagu-lagu yang mereka hasilkan.
“Alhamdulillah, kami amat bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke Malaysia sambil mempromosikan kumpulan Wali. Inilah yang kami impikan sejak dahulu lagi.
“Ini bukanlah satu jalan yang mudah. Sudah lama kami menunggu peluang untuk ke Malaysia dan akhirnya hasrat kami terlaksana. Paling menggembirakan apabila lagu Cari Jodoh benar-benar hit di sini,” Apoy yang juga bertindak selaku pemain gitar.
Wali bukan kumpulan yang baru ditubuhkan. Mereka telah mula bergabung sejak menuntut di Universiti Islam Negeri Jakarta pada tahun 1999.
Bermula sebagai sebuah kumpulan muzik kampus, mereka belajar sedikit demi sedikit tentang muzik bagi memantapkan lagi kemahiran yang ada.
Pengalaman bermain muzik dari kafe ke kafe sebelum ini ternyata memberikan mereka pelajaran yang cukup bermakna. Setelah sembilan tahun tanpa sebarang bermain muzik barulah mereka dapat menghasilkan album pertama yang berjudul Orang Bilang.
Album Orang Bilang mencatatkan jumlah Ring Back Tone (RBT) sebanyak enam juta unit dan membuatkan nama Wali begitu popular di sana.
Wali semakin agresif apabila terus menghasilkan album Cari Jodoh pada tahun ini dan untuk tahun 2010, mereka sudah membuat perancangan untuk menerbitkan album ketiga juga.
“Semua ini masih lagi dalam perancangan. Tapi kami tidak akan berhenti berkarya memandangkan nama Wali terus diterima baik oleh peminat di sana.
“Setiap lagu yang kami buat adalah lahir dari hati. Kalau kita ikhlas dalam setiap kerja yang dilakukan nescaya orang yang mendengar lagu tersebut juga dapat menerimanya dengan hati yang terbuka.
Inilah yang cuba kami lakukan dalam setiap hasil karya supaya apa yang cuba kami sampaikan diterima oleh para peminat kami,” luah Apoy jujur.
Walaupun sering kali bertukar-tukar anggota, Wali juga turut dianggotai oleh Fa’ank (vokalis), Ovie (keyboard) dan Tomi (drum) dan akan menggunakan pemian bass undangan dalam setiap persembahan.
Bagi Apoy dia menggambarkan Kota Jakarta sebagai sebuah pusat sehenti yang mempunyai pelbagai jenis hiburan dan agak sukar sebenarnya untuk menembusi pasaran di sana memandangkan kepelbagaian hiburan yang ada.
Sebab itu setiap kali membuat siri jelajah Wali akan menyasarkan bandar-bandar kecil mahupun luar bandar kerana peminat di sana lebih menghargai mereka berbanding di kota besar.
“Inilah yang kami praktik selama ini. Merencanakan setiap perjalanan agar Wali terus berkembang sebagai sebuah kumpulan yang hebat pada masa hadapan.
“Untuk meletakkan nama Wali dalam setanding dengan nama-nama besar bukanlah satu jalan yang mudah. Tambahan pula masih banyak kumpulan-kumpulan muzik yang lebih hebat dari kami.
“Tapi setidak-tidaknya kami mahu mencari kelompok peminat yang tersendiri. Wali tidak mahu bersaing dengan kumpulan lain memandangkan itu buka yang kami mahukan.
“Tuhan memberikan rezeki kepada hamba-Nya. Jadi kami hanya berusaha untuk menjadi yang terbaik dan selebihnya biarlah Tuhan yang menentukan,” kata Apoy lagi.
suka pd penjelasan apoy utk group mereka.baguslah...semoga kalian semua tabah menjalani kehidupan ini.lagu wali pun bnyk berunsurkan nasihat...terutama lagu TOMAT,iaitu taubat maksiat.Kalau dgr pasti insaf.
ReplyDelete