Sunday, November 29, 2009

Transformasi Shila


SESI fotografi Selebriti dengan gadis ini berjalan meriah. Lama tidak ketemu, gadis jelita ini kelihatan semakin berisi. Namun bukan itu persoalannya, sebaliknya penyanyi ini tampil segar dan ranggi dengan gaya tersendiri.

Barangkali, mungkin ia imej baru yang cuba ditampilkan penyanyi berusia 19 tahun ini. Malah, menyentuh album terbarunya pula, Shila: Bebaskanlah turut mengalami transformasi.

Menurut Nurshahila Amir Amzah (Shila), album terbaru itu menjadi karya eksperimennya. Tidak mahu terus terikat dengan konsep lama yang jelas tidak membuka mata pendengar, dia mencuba sesuatu yang baru.

“Saya cuba melakukan sesuatu untuk album ketiga ini. Jadi, saya mengetengahkan beberapa perubahan besar terhadap muzik saya.

“Dulu, saya sendiri rasa pelik dan tertanya-tanya mengapa sebelum ini orang tidak mengenali saya walaupun sudah ada dua album. Bagaimanapun, tidak adil untuk menyalahkan mereka, lalu dengan inisiatif sendiri serta nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman, saya melakukan transformasi dalam muzik mahupun imej,” katanya.

Akui Naib Juara One In A Million (OIAM) ini, pengalaman menyertai program realiti terbitan stesen 8TV itu mematangkan dirinya terutama dalam mempertingkatkan kemampuan sebagai penyanyi serta penguasaan pentas.

“Alhamdulillah, ia menjadi pengalaman terbaik untuk saya memperbaiki konsep lagu. Syukur juga, album ini diterima peminat yang rata-ratanya menyukai konsep ini.

“Ramai juga yang memuji bahkan penerbit album, Ahmad Izham Omar juga terkejut mendengar vokal dalam album itu yang berubah-berubah.

“Bagi saya mungkin cara penghayatan pada setiap lagu membuatkan ia kedengaran berbeza. Saya berpuas hati dengan album ini.

“Selain itu juga, ada satu lagu di mana liriknya saya tulis sendiri berjudul Kaku Aku. Ia mengisahkan pengalaman rakan saya yang mengadu tidak tahan dikongkong teman lelaki mereka.

“Bagi menghormati kelompok peminat urban yang mula mengikuti perkembangan karier nyanyian saya sebaik menyertai OIAM pula, dua lagu Inggeris dimuatkan - Hell No dan Whisper My Name,” katanya yang mengumpulkan 12 lagu untuk album ini.Bagi yang sudah mendengar album ketiga Shila, mereka pastinya terhibur dengan barisan pelbagai lagu rancak serta balada.


Tambah Shila, sesuai dengan peringkat umurnya yang masih remaja, dia cuba mendendangkan lagu sesuai dengan kehidupannya kini.

“Adakalanya, saya berfikir mengapa saya tidak menyanyikan lagu-lagu menceritakan mengenai kehidupan yang sering diketengahkan penyanyi remaja antarabangsa seperti Britney Spears, Katie Perry atau Miley Cyrus.

“Jadi, untuk itu saya tampilkan album ini. Menurut maklum balas yang diterima, alhamdulillah ramai menyukainya dan ia sudah cukup untuk saya.

“Saya juga beruntung album ini mendapat kerjasama komposer terkenal seperti Audi Mok, Ahmad Izham, Aubrey Suwito, Kieran Kuek, Eka Shereen, Mahfuz, Pot Amir dan Shazee.

“Turut memberi sumbangan ialah komposer Indonesia, Audius Mtawarira, Tegan Rogers dan Andy Love serta penyanyi Malaysia yang mencipta nama di luar negara, Che’nelle,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment