Monday, November 30, 2009

Bank pusat Emiriyah Arab Bersatu campur tangan


GAMBAR Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum dirakam di sebuah bangunan di Dubai.


DUBAI - Bank pusat Emiriyah Arab Bersatu (UAE) semalam mengatur satu kemudahan untuk memberi kecairan dalam sistem perbankan di Dubai setelah kerajaan meminta penangguhan pembayaran semula hutang.

Permohonan Dubai World dan Nakheel yang bertanggungjawab dalam projek mega di Dubai pada Rabu lalu menyebabkan dunia kewangan panik.

"Bank pusat mengeluarkan notis kepada sejumlah bank-bank di UAE dan cawangan bank asing mengenai kemudahan kecairan tambahan yang dihubung terus dengan akaun-akaun di bank pusat pada kadar 50 mata asas," demikian menurut satu kenyataan.

Tidak ada kenyataan terperinci dikeluarkan tetapi bank pusat menyatakan ia menyokong semua bank di UAE termasuk cawangan asing sambil menyatakan kecairan sistem perbankan di UAE lebih baik berbanding setahun lalu.

"Ia penting kerana kebimbangan utama ialah perasaan panik pendeposit di Dubai yang mahu mengeluarkan wang simpanan mereka," kata ekonomis Kumpulan Banque Saudi Fransi-Credit Agricole, John Sfakianakis.

Katanya, jaminan itu menyokong kecairan dan keutuhan sistem perbankan di UAE terutama di Dubai.

Pengumuman bank pusat itu dianggap mesej kuat kepada semua pihak bahawa ia mempunyai kecairan yang mencukupi, kata Sfakianakis.

Syarikat milik negara, Dubai World mempunyai liabiliti sebanyak AS$59 bilion (RM200 bilion) sehingga Ogos lalu manakala Nakheel perlu membayar sukuk yang matang pada 14 Disember i ni sebanyak AS$3.5 bilion (RM11.8 bilion).

Tahun lalu, Kementerian Kewangan UAE memasukkan deposit AS$6.8 bilion (RM23 bilion) yang merupakan sebahagian daripada kemudahan menyelamat sebanyak AS$19.1 bllion (RM64.7 bilion) bagi membantu para peminjam yang terjejas akibat krisis kewangan global.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: