Saturday, November 14, 2009

Anggota Perkhidmatan Awam Sabah Dapat Bayaran Khas RM500

KOTA KINABALU Anggota perkhidmatan awam negeri Sabah dalam gred kumpulan sokongan hingga Gred 54 akan menerima bayaran khas sebanyak RM500 tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang juga Menteri Kewangan Sabah mengumumkan berita gembira itu semasa membentangkan Bajet negeri Sabah 2010 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, Jumaat.

"Kerajaan prihatin dengan komitmen yang ditunjukkan oleh anggota perkhidmatan awam selama ini. Pada hemat saya adalah tidak wajar jika Bayaran Khas RM500 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada anggota perkhidmatan persekutuan tidak dipanjangkan kepada anggota perkhidmatan awam negeri.

"Kerajaan negeri boleh membayar pemberian khas ini kerana ia memiliki kewangan yang bagus, Sabah mampu. Ia akan dibayar sebelum Krismas ini," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet negeri itu.

Najib semasa pembentangan Bajet Negara 2010 pada 23 Oktober lalu mengumumkan pemberian bayaran khas RM500 kepada penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib kerajaan pada bulan Disember ini, dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) seterusnya mengeluarkan kenyataan awam bahawa bayaran khas RM500 itu akan turut diberikan kepada semua penerima pencen.

Pada September lepas juga, kerajaan mengumumkan bayaran khas kewangan RM500 kepada 860,000 penjawat awam kumpulan sokongan yang dibayar dua kali iaitu pada bulan September dan Disember yang melibatkan berbelanjaan RM430 juta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: