SELEPAS mengerjakan umrah Ramadan lalu, jiwa Rozita Che Wan, 35, semakin tenang kerana tiada lagi kedengaran cerita kontroversi hubungan intimnya dengan mereka yang bergelar VIP. Hakikatnya, sejak dulu pun ibu tunggal yang jelita itu tidak meletakkan hatinya pada sesiapa, apatah lagi kepada lelaki yang bergelar suami. |
Pun begitu, sebanyak mana dirinya difitnah, Rozita tenang menghadapinya dan tidak pernah sekali dia melatah. Baginya, biarlah orang hendak kata apa, asalkan yang empunya diri tahu perkara sebenar.
"Saya dah malas hendak ambil kisah apa orang kata. Lambat laun jika perkara yang diperkatakan itu tidak benar, orang akan berhenti bercakap. Alhamdulillah, sejak balik umrah, jiwa saya tenang dan hati pun lapang. Tiada lagi orang bercakap kononnya saya ada hubungan dengan lelaki itu dan ini.
"Sekarang saya sibuk semula dengan penggambaran drama dan jadual kerja saya penuh sehingga Februari depan. Sejak balik umrah juga, setiap hari ada tawaran berlakon tetapi mana boleh ambil semua. Ada tawaran berlakon drama 44 episod tetapi saya terpaksa tolak kerana lama sangat.
"Sekarang dalam sebulan saya berlakon lima telefilem. Bukan tamak tetapi rezeki Allah hendak bagi. Itupun selepas melihat pada watak dan lokasi penggambaran sebab saya tidak mahu menyusahkan sesiapa.
"Setakat ini, Alhamdulillah saya boleh menanganinya dengan baik. Saya mencari rezeki dengan berlakon jadi terpaksalah bijak membahagikan masa. Walaupun agak sibuk tetapi saya seronok dapat mencari duit sendiri tanpa perlu bergantung kepada orang lain. Tetapi itupun masih ada yang tuduh saya ditaja orang," katanya.
Perjalanan getir sebagai anak seni juga membuatkan Rozita berhati-hati dalam memilih kawan kerana ramai yang tidak jujur. Bermulut manis ketika di depan tetapi di belakang sanggup melakukan apa saja untuk menjatuhkan kawan sendiri. Sebab itu di lokasi, Rozita lebih suka buat hal sendiri.
"Bukan tidak mahu campur orang tetapi risikonya besar. Depan kita semua baik puji melangit tetapi di belakang kita, hanya Allah yang tahu. Saya tidak mahu terbabit dalam 'politik dunia lakonan' kerana orang lain yang bawa mulut, kita pula yang dituduh. Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa kerana persada seni kita ini kecil saja. Pergi ke mana pun akan berjumpa orang sama," katanya.
Apapun, Rozita bangga kerana dua drama lakonannya, Rahsia Gambar dan Sebelum Sejadah Dibentang dicalonkan kategori Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) anjuran TV3. Majlisnya akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 4 Disember ini.
Rahsia Gambar adalah drama seram mengisahkkan lelaki psiko (Zefrul) yang membunuh bekas isterinya, lakonan Irma Hasmie kemudian berkahwin dengan wanita lain (Rozita) dan sangat menyayangi anak tirinya. Roh Irma selalu datang mengganggu kekeluarga Rozita, seolah-olah hendak beritahu bekas suaminya yang membunuhnya.
|
Sebelum Sejadah Dibentang pula menceritakan seorang kakak, lakonan RozIta meminta adiknya (Que Haidar) menjaga anaknya ketika dia ke Langkawi. Malangnya si kakak kemalangan dan meninggal dunia di sana. Que yang biasa hidup bebas terpaksa menjaga anak kakaknya dan terasa kehadiran anak saudaranya itu mengongkong hidupnya.
|
Kata Rozita, kebanyakan drama dicalonkan bertemakan cerita yang agak berat, cuma Rahsia Gambar bergenre seram dan Sebelum Sejadah Dibentang penceritaannya ringan sedikit. Rahsia Gambar yang disiarkan di TV3 berjaya mengekalkan rating paling tinggi selama lapan bulan.
"Saya tak boleh hendak meramalkan sejauh mana drama itu berjaya ke Top 5 dan seterusnya menang kerana drama lain pun hebat juga.
"Begitu juga peluang saya disenaraikan dalam Top 5 kategori Pelakon Drama Terbaik. Saya difahamkan, penganjur tidak akan umumkan senarai Top 5 kerana mahu semua pelakon datang memeriahkan majlis.
"Sebelum ini, setiap tahun nama saya dicalonkan tetapi tak pernah menang. Tidak mengapa, dapat masuk Top 5 pun dah cukup baik. Adat bertanding takkan semua hendak menang dan yang kalah tidak semestinya lakonannya tidak bagus, cuma tiada rezeki hendak bawa balik anugerah.
"Tersenarai dalam Top 5 atau tidak, saya tetap datang memberi sokongan kepada ASK2009. Sedang fikir hendak pakai baju apa yang bersesuaian tema majlis, Arabian Night. Kena melaram dengan fesyen perempuan Arab nampaknya," katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran telefilem Sabrina vs Sazali terbitan Global Station Sdn Bhd.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: