Sunday, November 29, 2009

Jual gadis liar



KUALA LUMPUR: Tingkatan dua hisap ganja, tingkatan tiga pula hisap syabu dan telan pil khayal. Kemuncaknya, selepas melangkah ke tingkatan empat dan lima, perangai liarnya sampai ke tahap berani menjual orang.

Lebih mengejutkan, fasa kehidupan songsang itu bukan dilalui remaja lelaki, tetapi remaja perempuan yang hanya mahu dikenali sebagai Tasha.

Pada usia baru 17 tahun, dia mengecap hidup mewah dan bergaya ala selebriti hasil wang aktiviti memperdagangkan manusia.

Tasha yang baru beberapa bulan meninggalkan perbuatan itu berkata, kesanggupannya berbuat demikian berpunca daripada ketagihan syabu.


Katanya, kerana ketagih syabu dia sanggup berhutang hinggalah hutang ditanggungnya mencecah ribuan ringgit.“Tanpa saya sedar, selepas lebih setahun menghisap syabu, hutang saya mencecah RM4,000. Ketika itu tidak sukar untuk saya mendapatkan barang itu kerana rakan baik saya adalah teman wanita ‘pusher’ yang membekalkan dadah itu dan saya boleh ambil barang secara hutang.


“Kadangkala saya jual juga tetapi wang hasil jualan itu tidak diserahkan kepada pembekalnya, menyebabkan hutang saya semakin bertambah,” katanya ketika ditemui wartawan Metro Ahad di sebuah lokasi yang dirahsiakan, baru-baru ini.

Selepas satu tempoh, Tasha berkata, pengedar terbabit memintanya melunaskan semua hutang dan jika dia gagal, perkara buruk akan berlaku ke atasnya.

“Manalah saya ada wang sebanyak itu dan selepas berbincang saya diberi pilihan untuk melakukan satu tugas bagi melunaskan hutang berkenaan.

“Tugas itu ialah mencari dan memperdaya wanita untuk dijual kepada pengedar terbabit. Saya setuju kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini jika menolak permintaan itu,” katanya.

Menurutnya, sebelum melakukan tugasan, dia diajar bagaimana memilih wanita yang mudah didekati dan diperdaya.

Dia diajar supaya mendekati wanita yang gemar berpeleseran dan liar kerana mereka diyakini mudah didekati.

“Saya disuruh mengumpan mereka dengan benda yang mereka suka seperti berhibur di kelab, arak dan dadah,” katanya.

Tasha berkata, berbekalkan panduan diberi, dia melaksanakan tugas pertamanya di sebuah pusat beli-belah dan berjaya melakukannya.

“Saya dekati seorang remaja wanita berusia 18 tahun yang dalam keadaan mabuk. Saya ajak dia berborak dan bercerita kepadanya bahawa saya juga ‘satu kepala’ dengannya.

“Saya beritahu dia, jika ikut saya, saya boleh belanja minum arak dan berhibur. Saya turut berjanji beri dadah dan dia mempercayai saya,” katanya.

Remaja terbabit dibawa ke sebuah hotel murah kononnya untuk berehat dan menikmati arak.

“Ketika melakukan kerja itu, saya ditemani ‘pusher’ yang memerhatikan saya dari jauh. Apabila mendapat mangsa, saya bawa wanita terbabit menggunakan kereta dipandu ‘pusher’ itu.

“Di hotel tempat persinggahan itulah saya meninggalkan wanita terbabit dengan berpura-pura untuk keluar sebentar. Selepas saya keluar, ‘pusher’ itu masuk dan saya tidak tahu apa berlaku seterusnya kerana yang penting saya sudah melaksanakan tugas diberi,” katanya.

Selepas menjual wanita itu, hutangnya langsai dan dia turut diberi wang RM500.

“Saya tidak tahu apa berlaku kepada wanita itu, tetapi difahamkan dia dihantar kepada bos ‘pusher’ terbabit. Barangkali dijadikan pelacur atau disuruh menjual dadah,” katanya.

Menurut Tasha, walaupun sudah menyelesaikan hutangnya, dia terus melakukan kerja terkutuk itu kerana dijanjikan pulangan lumayan.

Untuk kali kedua, dia pilih wanita bermasalah yang dikenali menerusi rakan lain.

“Sekurang-kurangnya tiga wanita berusia 20-an dijual selepas saya memilih mereka,” katanya.

Tasha berkata, ‘kejayaannya’ menjual tiga wanita itu membolehkan dia mengumpul wang sehingga RM6,000 dalam tempoh singkat.

“Memang saya seronok sangat ketika itu. ‘Pusher’ memberi saya RM2,000 untuk setiap wanita yang saya jual, walaupun saya tahu nilai wanita terbabit lebih daripada itu.

“Pada masa sama saya peroleh bekalan syabu secara percuma. Saya langsung tak terfikir mengenai nasib wanita yang saya aniaya kerana terlalu seronok,” katanya.

Pada pertengahan tahun ini abangnya mengetahui segala perbuatan jahat yang dilakukannya menerusi rakan.

“Abang mengawal ketat pergerakan saya dan setiap masa menasihati saya supaya berubah, apatah lagi dalam suasana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin hampir.

“Selepas berjauhan daripada rakan, saya sedar sampai bila saya harus begini. Saya cuba sedikit demi sedikit untuk mengawal diri,” katanya.

Tasha berkata, sudah lebih dua bulan dia tidak bertemu rakannya dan kini menumpukan perhatian sepenuhnya kepada SPM.

“Saya akui saya jadi begini kerana pengaruh rakan. Hisap syabu, jual orang dan beberapa kali terlanjur dengan teman lelaki.

“Paling saya kasihan ialah ayah dan ibu kerana mereka bukannya tidak mendidik saya dengan ilmu agama. Mereka boleh dikatakan warak juga, tetapi kerana tersalah memilih rakan, saya rosak,” katanya menyesal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment