Sunday, November 29, 2009

Bakal tampilkan anak kembar


Ziana Zain


SEORANG figura yang cukup dikenali ramai, nama Ziana Zain tidak akan pernah pudar dalam industri seni tanah air. Baik sebagai penyanyi mahupun aktres, wanita ini sukses luar biasa.

Sejak muncul pada tahun 1992 dengan lagu Madah Berhelah, tidak sedikit pengiktirafan yang digondol wanita berusia 41 tahun ini.

Sementara di layar lebar juga, Ziana yang terkenal dengan trademark kening terangkat turut mengumpul peminat tersendiri dengan aura lakonan yang ada impak tersendiri.

Sedang bercuti rehat selepas selamat melahirkan sepasang kembar lelaki perempuan yang bernama Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh pada Julai lalu, wajah Ziana yang dirindui peminat bagaimanapun boleh dilihat di kaca televisyen pada malam ini.

Menerusi drama khas sempena Aidiladha, kakak kepada penyanyi pujaan ramai, Anuar Zain ini memperlihatkan kredibiliti lakonannya dalam drama Tetamu Allah yang disiarkan buat tahun kedua.

Membawa watak Juliana, bekas pramugari yang sosial dan mengahwini lelaki Barat bernama Micheal dari Switzerland, kehidupan pasangan ini tidak berpandukan jalan Islam.

Semuanya mula berubah selepas Juliana mengerjakan umrah dan tersedar daripada lamunan selain dikurniakan anak kurang upaya yang membuatkan kehidupannya dengan Micheal berantakan.

Mengaku teruja dengan watak Juliana, Tetamu Allah akan bersiaran dalam slot Sinema Ahad On 2, pukul 10 malam ini di TV2.

Sementara itu, menyentuh tentang perkembangan terkininya, Ziana yang berkahwin dengan juruterbang, Armin Zaharin Ahmad Zambri Armin pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata termasuk Muhammad Aiman, 8, dan Muhammad Ammar, 5, kini sudah bersedia untuk kembali ke pentas hiburan.

Januari diletakkan sebagai sasaran Ziana yang kini dalam proses mengembalikan bentuk badannya kepada saiz ideal untuk muncul dengan sesuatu yang baru.

“Ziana akan muncul dengan single terbarunya ciptaan Sharon Paul berjudul Pawana. Serentak itu dia juga akan kembali aktif selepas berehat panjang,” ujar pengurusnya, Lisa Aryani.

Lisa turut memberitahu, sebaik Ziana kembali aktif, dia merancang untuk memperkenalkan sepasang kembarnya, Ariel dan Kaseh kepada umum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: