Menghiburkan dan penuh bertenaga! Itulah yang dapat digambarkan terhadap konsert penutup Hujan menerusi siri jelajah ‘Mencari Konklusi’ yang berlangsung di KL Live Centre, Jalan Sultan Ismail, baru-baru ini.
Ternyata kumpulan yang dianggotai Noh (vokalis), AG (gitar utama), Am (dram) dan Dimas (keyboard) mampu membuat 'Raingers' yang hadir tersenyum selama dua jam konsert berlangsung. Hujan turut mempersembahkan kelainan dalam konsert mereka melalui tayangan video persiapan sebelum dan selepas siri jelajah konsert mereka di Singapura dan beberapa negeri di Malaysia.
Mereka yang popular dengan lagu Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada ini mempersembahkan kira-kira 20 lagu daripada album pertama dan terbaru mereka ‘Mencari Konklusi’ yang lebih merujuk kepada diri ahli kumpulan itu sendiri. Selain itu, mereka juga turut menampilkan slot akustik dalam persembahan petang itu.
Sepanjang persembahan, vokalis kumpulan Hujan yang berasal dari Miri, Sarawak itu bisa membuatkan 'Raingers' mereka ketawa dengan keletah dan lawak jenaka spontan bersesuaian dengan jiwa 'Raingers'.
Malah, Noh dapat mengecam kira-kira 10 peratus 'Raingers' yang mengikuti konsert jelajah mereka di negeri lain sebelum ini. Kehangatan konsert semakin terasa apabila, Noh berduet bersama mentornya, Loque Butterfingers melalui lagu Rantai Rasa Cinta.
Antara lagu yang didendangkan malam itu adalah, Obsesi, Kau Harus Ada, Pagi Yang Gelap, Bila Aku Sudah Tiada, Mencari Konklusi, Ah Moi Chantek, Kuala Lumpur dan Empayarmu.
Kemuncak persembahan diakhiri apabila Noh slam ke arah kira-kira 300 Rangers yang menghadiri konsert berkenaan. Nyata konsert yang mendapat tajaan daripada Harosa Enterprise dan Al Najwa Productions memberi kepuasan kepada peminat mereka.
Acara pembukaan dilakukan oleh DIA (Different In Action) dan Couple sebagai band jemputan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: