Tuesday, November 10, 2009

Tuah ada di mana-mana




ENAM tahun Raja Farah Raja Aziz berusaha menggilap bakat dengan harapan namanya tersenarai antara pelakon terbaik. Namun, dalam keghairahan itu, kadang-kadang namanya masih tercicir, dibiarkan berlalu begitu saja bagaikan tiada apa yang istimewa pada dirinya sedangkan dia antara pelakon berbakat yang sentiasa diberi peluang memenuhi undangan berlakon di TV dan filem.

Malahan, kalau mengikut jadual hariannya, Raja Farah tidak akan berehat daripada bekerja sebagai pelakon hingga Februari 2010.

Bintang muda berusia 21 tahun itu menyedari perkara ini. Raja Farah sedar dia kurang menyerlah berbanding dengan pelakon lain yang sebaya dengan umurnya.


Bagaimanapun, buat masa ini tidak berasa gusar dengan perkara itu. Dia sedar tidak semua orang yang menceburi bidang lakonan ini boleh mencipta nama dengan pantas. Ada yang perlu bersabar dan mengambil masa lama untuk menyengat dalam dunia lakonan.

“Farah akui memanglah biarpun banyak drama dan filem sudah dilakonkan, masih ada yang belum kenal. Farah tidak terkilan kerana hal terbabit bersifat subjektif dan bukan dalam bidang kuasa.

“Mungkin lebih baik Farah dalam keadaan begini, daripada cepat naik dan cepat turun populariti.

RAJA FARAH percaya belum masa untuknya menyinar di persada seni.

“Biarlah perjalanan dunia seni Farah bergerak perlahan tapi selagi ada tawaran yang datang, soal kenal atau tidak, ingat atau lupa, ia bukan satu masalah. Farah percaya, rezeki dan tuah itu ada di mana-mana. Biarlah masa saja yang menentukan segala-galanya,” katanya.

Ketika ini dia sedang giat menjalani penggambaran drama bersiri Mertua VS Menantu musim kedua untuk Astro Prima dan Na O Mei yang bakal disiarkan untuk slot Akasia di TV3.

Bagi filem pula, Raja Farah kini menunggu penayangan dua filem yang dibintanginya iaitu Haq The Movie dan Lagenda Anak Setan. Dia juga sedang membuat persiapan untuk memulakan penggambaran filem Akuarium Cinta arahan Osman Ali yang dijangka bermula awal tahun depan. Dalam filem itu, Raja Farah digandingkan dengan Remy Ishak.

Dalam keghairahan mengukir nama di persada lakonan, Raja Farah juga merancang untuk menceburi perniagaan spa.

“Minat itu memang sudah ada, namun, semuanya masih dalam perancangan. Baru berkira-kira. Farah memilih untuk membuka spa kerana secara automatik, Farah dan ibu pun suka ke spa untuk mengurut badan dan menenangkan fikiran,”

Walaupun berusia awal 20-an tetapi tabiat suka melatah macam orang tua. Katanya, tabiat itu bermula kira-kira lima tahun lalu ketika dia menjalani penggambaran filem Cinta Nan Satu.

“Riuh juga jadinya apabila hampir kebanyakan krew produksi filem itu kaki melatah. Daripada jurusolek hinggalah ke pembawa props suka melatah. Akhirnya ia menjadi tabiat yang sudah nak dibuang pula.

“Selalunya di set penggambaran, akan ada pihak yang sengaja mencuit badan dan mengusik Farah hingga melatah. Ada juga yang mengusik cakap harap muka saja cun, tapi suka melatah. Farah tak kisah,” katanya.

Masih solo lagi

TIDAK semua yang diimpikan menjadi seperti yang diingini kerana aturan hidup sememangnya sudah tertulis begitu. Kita hanya merancang, kerana pada akhirnya Tuhan menentukannya. Lalu seperti manusia lain, Raja Farah yang baru mendapat kunci kebebasan di usia 21 tahun pada 5 Julai lalu, dia juga tidak lepas diuji.

Bukan saja pernah tercalar dek kontroversi yang hampir menjatuhkan namanya, malahan gadis kelahiran Kuala Lumpur ini juga pernah gagal beberapa kali dalam episod percintaan. Resam bercinta, tidak semuanya berakhir ke jenjang pelamin.

Hakikatnya, pelakon drama muzikal Kau Dan Aku ini hampir-hampir mahu melangsungkan pertunangan dengan seorang juruterbang. Namun apakan daya, cinta yang bersemi selama setahun itu berakhir tanpa diduga Februari lalu.

Lucunya, baru-baru ini timbul pula kisah kononnya dia melangsungkan pertunangan lagi. Bagaimanapun, jelas Raja Farah ini semuanya hanya salah sangka kerana kebetulan wanita yang bertunang itu turut mempunyai nama yang seakan namanya.

Menurut Raja Farah yang turut berkebolehan sebagai pengacara, dia mengenali wanita yang dimaksudkan itu yang bertugas di radio EraFM

Katanya lagi, hingga setakat ini, dirinya masih belum bertemu pengganti dan jangan risau andai ada cinta di hati, dia tidak akan menyembunyikan perkara sebenar.

“Mungkin kalau semuanya jadi seperti dirancang, Farah sudah pun bergelar tunangan orang. Kami pernah merancang untuk berkahwin, malahan keluarga masing-masing pun sudah suka sama suka. Tapi apa boleh buat, bukan kerja Farah untuk menentukan segala-galanya. Mungkin bukan jodoh kami.

“Di saat Farah masih belum terikat dengan hati lain, Farah dapat tahu dia sudah pun bertunang dengan bekas kekasihnya selepas kami membuat keputusan untuk memilih haluan sendiri. Dia sendiri yang meminta untuk memutuskan hubungan kerana tidak boleh menerima kesibukan saya bergelar anak seni.

“Farah sudah puas sengsara kerana putus cinta. Memanglah sedih. Tapi Farah bersyukur kerana mahu atau tidak, Farah harus tegar untuk melalui kehidupan mendatang. Farah tak nafikan ada kalanya putus asa dalam hal sebegini. Mungkin juga selepas ini Farah harus kenal betul-betul lelaki yang ingin bercinta dengan diri ini,” katanya.

Tidak terburu-buru mencari pengganti, pelakon berdagu panjang ini selesa memberi tumpuan kepada rencana kerjaya seninya. Malah, berat badannya semakin berkurangan gara-gara diserang demam denggi kerana terbabit dengan penggambaran drama Kau Dan Aku di Jakarta Indonesia.

Malahan bagi mengubati kekecewaan hatinya itu, Raja Farah mengambil kesempatan mengambil lesen menyelam. Barangkali juga, Raja Farah kurus kerana kecewa putus cinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: