GAMBAR penggambaran pelakon Abby Abadi mengenakan baju kurung dengan selendang ala-ala orang bertunang telah disalahtafsirkan oleh pelayar laman web FaceBooknya.
Ditambah pula dengan status yang ditulis ‘selamat bertunang!..doakan kebahagiaan saya..’ menambahkan kekeliruan peminatnya.
Ramai juga yang menyangka Abby telah bertunang dengan Zul Ariffin, pelakon baru yang digosipkan dengannya.
Jelas Abby, gambar itu diambil ketika dia melakonkan watak Delaila di dalam drama 26 episod ‘Mahabbah Delaila’ yang akan disiarkan pada Mac depan di TV9.
“Merepek saya dah bertunang. Saya melakonkan babak itu semasa berlakon drama ‘Mahabbah Delaila’.
“Saya sengaja letak gambar itu dalam FaceBook sebab bagi saya tiada apa yang boleh dikecohkan, setakat gambar pengambaran sahaja.
“Saya tak pernah terfikir pun ia akan menjadi suatu isu besar sebab gambar itu sekadar nak berkongsi dengan kawan-kawan saya di FaceBook,” kata bekas isteri aktor Norman Hakim ini yang sedang menjalani penggambaran drama itu.
Tambah pelakon popular menerusi drama dan filem ‘Gerak Khas’ ini, dia lebih seronok menjadikan laman web popular itu sebagai ‘teman’ untuk berkongsi cerita aktiviti hariannya dengan rakan-rakan yang aktif di FaceBook.
“Saya bukannya bercerita tentang luahan isi hati dan peribadi saya tetapi lebih kepada perkara yang saya lakukan setiap hari. Saya juga tidak merasakan apa yang dilakukan itu mengaibkan saya.
“Saya selalu sibuk dengan pengambaran dan jarang berjumpa dengan kawan-kawan. Jadi, saya jadikan FaceBook sebagai medium untuk menghubungkan saya dengan mereka.
“Alhamdulillah, dalam 5,000 orang, ramai yang menyokong di belakang saya dan ada juga yang tidak menyokong saya,” jelasnya lagi.
Jika ada testimonial yang negatif, Abby akan keluarkan agar tidak berlaku perkara yang tidak elok kemudian hari.
Adat berkawan, Abby berkata tidak semua pelayar FaceBook yang dia kenali lalu menyifatkan sukar untuk mengenali hati orang yang tidak dikenali kerana ada yang baik dan ada yang tidak.
Sekadar untuk menduga hubungan antara ibu tunggal ini dengan Zul Ariffin, dia menafikan hubungan mereka sudah berada di tahap serius.
“Kami biasa-biasa sahaja. Saya tidak mengharapkan apa-apa dan sekadar menolong Zul.
“Saya nak bagi ruang kepadanya untuk berjaya dalam karier. Saya tak nak jadi penghalang dan perkara negatif berlaku kepadanya disebabkan saya. Lagipun tak seronok bercerita pasal orang lain,” tutur Abby yang turut menjalani pengambaran drama 26 episod ‘Hikayat Putera Shazlan’.
Abby tidak mahu lepas anak-anak
Setelah bercerai dengan Norman hampir setahun lalu, Abby berkata dia yang menjaga tiga orang anak mereka iaitu Mohamad Danish Hakim, 6, Marissa Dania Hakim, 4, dan Maria Danisha Hakim, 1.
“Anak-anak akan sentiasa bersama dengan saya. Saya pilih untuk diamkan diri tentang apa yang berlaku sebelum ini kerana kalau saya beri komen orang akan mengata saya tetapi kalau tak beri komen pula orang akan buat andaian sendiri.
“Biar apa yang berlaku, saya akan menjaga anak-anak sebaik mungkin. Tentang Norman, biarlah dia jawab dengan Tuhan. Saya tak nak komen apa-apa pasal kami. Tanyalah dia kalau nak tahu tentang nafkah dan penjagaan anak.
“Saya sendiri akan cari rezeki untuk anak-anak,” kata Abby lagi yang bersyukur dengan tawaran lakonan yang diterimanya sekarang.
Selain berlakon, Abby merupakan salah seorang duta minuman Ribena.
Abby bagaimanapun enggan memberikan komen mengenai dakwaan produser dan pelakon Haliza Misbun mengatakan Abby 'buat hal' dan tidak hadir ke proses memasukkan suara (dubbing) untuk filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami, baru-baru ini.
"Saya tengah sibuk 'shooting'. Tak pe la, dah ada yang temubual tentang hal itu tadi," jawabnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: