Terus berusaha dapatkan zuriat bagi perkukuh kerukunan rumah tangga
BUKAN sedikit penderitaan yang ditanggung pasangan ini. Baik ketika masih belum mempunyai apa-apa ikatan hinggalah disahkan sebagai pasangan suami isteri pada Disember lalu, setiap hari ada saja cerita kurang enak mengekori kehidupan mereka. Ada saja cerita panas atau gosip yang ada kala membuatkan si isteri hidup bertemankan air mata.
Menjadikan sabar sebagai perisai, akhirnya Asmawai Ani atau Mawi dan isterinya Ekin kini sedang asyik mengecapi nikmat kebahagiaan.
“Alhamdulillah, saya merasakan hidup ini semakin sempurna. Kini ada yang jaga makan dan pakai, dan berkongsi suka dan duka,” kata Mawi.
Senyuman di wajahnya membuktikan memang benar penyanyi bersuara jantan ini sedang enak mengulit bahagia. Biarpun masih belum memiliki zuriat namun itu bukanlah penghalang untuk menikmati kehidupan sebagai pasangan suami isteri seperti orang lain.
“Kami masih mahukan anak walaupun Ekin dua kali keguguran. Kali pertama awal tahun lalu, yang kedua sebelum bulan puasa yang lalu. Kejadian itu memang menyedihkan kami tapi kami percaya belum rezeki kami untuk menimang cahaya mata.
EKIN , Mawi dan ahli keluarga bergambar bersama Erra. |
“Kami sentiasa berusaha mendapatkan zuriat,” cerita penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagu Kian ini.
Begitupun, dalam melayari bahtera rumah tangga tidak dinafikan, cabaran tetap ada dan terbaru mereka dihujani dengan isu surat layang.
“Macam-macam cerita fitnah mereka tulis. Lazimnya saya buat tak tahu saja. Tapi saya dapat rasakan itu perbuatan orang yang sama berdasarkan bentuk tulisannya. Selepas baca saya buang semua surat-surat itu. Ekin pun saya tak bagi baca,” kata Mawi.
Jika zaman bujangnya begitu sibuk dengan kerjaya nyanyiannya, namun kini dia sudah mampu meluangkan masa untuk isteri tersayang.
MAWI membuat kejutan dengan mengundang Erra ke majlis ulang tahun isteri kesayangan. |
“Apabila sudah jadi suaminya, barulah bebas untuk keluar bersama. Saya akan pastikan sekali dalam seminggu dapat habiskan masa berdua dengan menonton wayang atau bermain boling. Kasihan Ekin kerana terpaksa tinggal berseorangan jika saya terbabit dengan sesuatu persembahan,” kata Mawi sambil disambut senyuman manis isterinya.
Percaya bahawa hidup ini bagai putaran roda serta mengakui tawaran mengadakan persembahan tidak lagi serancak dulu, Mawi kini menubuhkan syarikat produksi, MW Entertainment sebagai jaminan masa depan.
“MW Entertainment sudah menerbitkan dua program iaitu Langkah Mawi...World dan telefilem Bini Baru, Rumah Baru, Baru Raya yang disiarkan pada Aidilfitri lalu di Astro. Penubuhan MW Entertainment ini adalah untuk masa depan.
“Insya-Allah pada hujung tahun ini, produksi kami akan menerbitkan telefilem berjudul Jiwa Kacau yang skripnya ditulis oleh Ad Samad dan cerita asal saya sendiri. Ia diarahkan oleh Rahila Ali.
“Buat masa ini, masih dalam proses mencari pelakon. Selain itu saya dan Ekin akan ke Korea sekali lagi sebagai duta pelancongan Korea. Kami berbulan madu buat kali kedua dan kesempatan itu saya gunakan untuk meninjau lokasi buat drama 13 episod itu,” kata Mawi lagi.
Ekin kemudian mencelah dengan menyatakan dalam drama yang berkisar mengenai pasangan kembar itu, ada antara watak utama yang ditawarkan kepadanya namun selepas berfikir panjang, dia menolaknya.
“Nanti orang mengata saya berlakon dalam produksi suami, menumpang tuah Mawi. Jadi lebih baik saya tak payah berlakon,” luah Ekin.
Kehadiran Erra hadiah untuk Ekin
CERITA mengenai banglo berharga RM1.8 juta milik pasangan ini sudah lama diketahui namun masih masih ramai wakil media belum berpeluang untuk menjejaknya. Justeru apabila tuan rumah mengirimkan jemputan untuk menghadiri majlis tahlil dan doa selamat serta sambutan ulang tahun Ekin ke-30, peluang keemasan itu tidak harus dilepaskan.
Pada Rabu lalu, banglo yang sebelum ini sunyi kerana hanya didiami Mawi dan Ekin bertukar menjadi meriah apabila ahli keluarga, saudara mara dari jauh dan dekat, sahabat handai serta rakan artis datang meraikan hari bersejarah pasangan itu.
Mawi dan Ekin kemudian membawa rakan media meninjau persekitaran rumahnya yang terletak di di Bandar Baru Bangi, Selangor itu.
Mawi berkata dia terpikat dengan persekitaran rumah itu yang sunyi serta mendamaikan.
“Sebaik saja melihat banglo ini, hati saya terus tertawan. Sebagai artis sudah tentu saya memerlukan situasi yang tenang. Pemilik asalnya berbangsa Cina dan dia mahu menjualnya kerana mahu berpindah ke rumah yang lebih kecil.
“Lagipun harga yang ditawarkannya agak murah berbanding harga sebenar nilai hartanah di kawasan ini,” jelas Mawi sambil memberitahu sebelum berpindah, tuan rumah turut meninggalkan beberapa barangan seperti piano, televisyen dan almari.
Ekin berkata mereka tidak membataskan konsep tertentu tetapi lebih kepada apa yang berkenan di hati.
“Ketika mula-mula tengok rumah ini, saya lihat kebanyakan perabot berkonsepkan Cina. Jadi sepanjang hampir setahun, kami membuat pengubahsuaian dari segi susun atur perabot. Hampir 80 peratus kami membuat perubahan. Macam meja snuker yang terletak di ruang tamu ini, ia dibeli Mawi dengan harga RM5,000 kerana dia memang gemar bermain snuker,” jelas Ekin atau nama sebenarnya Nora’Asikin Rahmat.
Pada majlis yang penuh bermakna itu, kedua pasangan ini turut diraikan rakan artis lain antaranya kumpulan nasyid Rabbani, Ramli Sarip, Along Raja Lawak, Zila AF, Linda Onn, Datuk Fadzilah Kamsah. Lebih menggembirakan apabila Mawi turut membuat kejutan dengan mengundang penyanyi dan pelakon terkenal, Erra Fazira.
“Saya memang minat Erra. Suka tengok lakonannya dan cara dia bergaya. Tapi saya tak adalah menyatakan padanya yang saya minat padanya. Segan pula. Patutlah bila saya telefon dia untuk mengundangnya ke majlis ini, panggilan tidak berjawab dan kiriman SMS juga tidak berbalas. Rupa-rupanya dia berpakat dengan Mawi untuk membuat kejutan ini,” kata Ekin dalam nada teruja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: