Tuesday, November 10, 2009

Tiger Futbol Starz teruskan pencarian

Astro Ria (saluran 104) meneruskan lagi penerbitan rancangan-rancangan hebat dengan memperkenalkan sebuah lagi program realiti bagi mencari jaguh bola sepak di kalangan kanak-kanak, Tiger Futbol Starz yang dibawakan bersama Krafts Food.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, objektif utama penerbitan program ini adalah untuk memberi kelainan di samping komitmen saluran itu dalam memberi hiburan yang pelbagai.

Program realiti bola sepak ini diadakan khusus bagi tontonan seisi keluarga kerana selain memfokuskan kemahiran bermain bola sepak, program ini juga mendidik peserta tentang sikap bekerjasama dan kepimpinan dalam sebuah pasukan.

Tiger Futbol Starz ini terbuka warganegara Malaysia yang berumur 7 hingga 12 tahun. Mereka yang berminat hanya perlu hadir dalam pakaian sukan dan ditemani oleh ibu bapa atau penjaga. Perlu membawa sekeping gambar saiz pasport serta kad pengenalan MyKID / MyKAD sebagai bukti pendaftaran. Bagi mereka yang membawa sepeket biskut Tiger (sebarang jenis) semasa pendaftaran berpeluang menerima hadiah istimewa berupa barangan Tiger.

Sesi uji bakat akan diadakan di beberapa tempat terpilih seperti berikut dari jam 7 pagi hingga 5 petang: Padang Merdeka Perbandaran Berjaya, Kota Kinabalu, Sabah (7 November), Dataran Merdeka Kuching, Sarawak (14 November), Padang Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar, Kedah (21 November), Padang USM Pulau Pinang (22 November), Dataran JB Johor Bahru, Johor (28 November).

Sebanyak 21 peserta terbaik yang terpilih dari sesi uji bakat ini akan dimasukkan ke dalam ‘Akademi Tiger Futbol Starz’ di Casa MSN selama dua minggu untuk menerima pelbagai latihan intensif.

Tiga peserta terbaik yang berjaya mengharungi cabaran-cabaran dijadualkan bakal menerima habuan sebanyak RM10,000 setiap seorang dan akan didaftarkan untuk menyertai sekolah sukan yang berprestij di dalam negara, Sekolah Sukan Bandar Penawar.

Pelakon, penyanyi, model dan wajah eksklusif Astro, Erra Fazira telah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan program realiti bola sepak sebanyak 12 episod ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: