“Setelah 24 tahun melibatkan diri dalam dunia hiburan tanah air, inilah pertama kali saya melakukan kesilapan besar. Rasa bersalah dalam diri saya terlalu tebal hinggakan saya rasa macam nak hantukkan kepala saya ke dinding!” luah hati Ratu Etnik Malaysia, Noraniza Idris atau lebih mesra dengan sapaan Kak Ani.
Begitulah luahan perasaan penyanyi popular itu apabila gagal menghadirkan diri untuk persembahan pembukaan peringkat akhir Gadis Melayu 2 (GM2) yang berlangsung Khamis lalu.
Pada malam kemuncak GM2 dua yang lalu, Kak Ani dijadualkan akan menjayakan persembahan pembukaan dengan lagu dendangannya, Dikir Puteri. Malangnya, Kak Ani tidak sempat untuk berada di pentas persembahan tatkala program yang disiarkan secara langsung menerusi TV9 itu hendak dimulakan pada jam 8.30 malam.
Namun, kecacatan itu dapat ditutup sedikit dengan persembahan tarian kesemua finalis GM2 yang menari mengikut irama lagu minus one Dikir Puteri.
“Sebelum itu saya berada di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral bagi mengikuti sesi raptai separuh akhir Muzik-Muzik. Untuk sesi raptai, saya dijadualkan akan memulakan latihan selepas jam 6 petang.
“Saya anggarkan tempoh satu jam dari Shah Alam ke lokasi GM2 di Auditorium DBP adalah satu jangka masa yang cukup panjang. Tapi jangkaan saya itu meleset kerana kesesakan lalu lintas yang agak teruk daripada biasa,” katanya lagi yang jelas di riak wajahnya terpancar perasaan penuh kesal.
Bagaimanapun, Kak Ani tidak menyalahkan sesiapa dalam hal itu termasuk ahli kumpulannya mahupun pekerjanya sendiri bahkan meletakkan kesalahan itu ke atas dirinya kerana tidak mempunyai plan B.
Kak Ani bagaimana pun cuba cekalkan hati untuk terus bersemuka dengan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan untuk memohon maaf. Selain itu, Kak Ani juga turut berjumpa dengan semua krew penerbitan GM2 bagi memohon maaf secara terbuka.
“Namun saya akan kemukakan surat tunjuk sebab atas kesilapan saya itu. Tetapi saya terlebih dahulu harus menunggu surat rasmi dari pihak mereka (TV9) dan kemudian barulah saya membalasnya,” jelasnya lagi ketika ditemui di peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 24 yang menyaksikan beliau mendendangkan lagu Enjut.
Kejadian itu menjadi iktibar kepada Kak Ani dan memberi pengajaran agar tidak mengulanginya lagi pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: