![]() |
| |
BANGKOK - Thailand semalam mendakwa bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra (gambar) menyinggung perasaan keluarga diraja kerana mencadangkan reformasi terhadap penasihat raja.
Dalam satu wawancara dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang diterbitkan akhbar Britain, The Times semalam, Thaksin menyatakan Thailand masih memerlukan keluarga diraja tetapi istana tidak boleh menyalah guna kuasa atau memberi arahan tertentu oleh 'orang' di sekeliling raja.
"Saya pasti Raja Bhumibol Adulyadej tidak mencampuri urusan politik tetapi individu di sekeliling baginda mempunyai satu rangkaian," kata Thaksin.
Beliau dalam satu kenyataan kemudian menjelaskan, penulis tersebut tersalah tafsir maksud dan tajuk artikel itu turut memberi maksud yang mengelirukan.
"Laporan tidak benar itu mencetuskan salah faham di kalangan pembaca dan rakyat Thailand," menurut kenyataan Thaksin.
Beliau membuat kenyataan itu selepas Kemboja mengumumkan pelantikan Thaksin sebagai penasihat ekonomi.
Namun Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya yang didakwa mempunyai hubungan istimewa dengan istana menjelaskan kenyataan tersebut jelas menghina institusi diraja Thai.
Menghina dan mempersenda keluarga diraja ialah satu kesalahan serius dan Thaksin boleh dihukum penjara 15 tahun jika didapati bersalah.
"Temu bual Thaksin turut merujuk kepada Raja Bhumibol Adulyadej, putera mahkota dan peranan baginda dalam politik. Kenyataan Thaksin itu menghina institusi diraja, saya tertanya-tanya apa agenda tersembunyi beliau." kata Kasit.
Menurutnya, kerajaan Thai akan memulakan proses ekstradisi sebaik Thaksin tiba di Kemboja.
"Kami sudah menyediakan (dokumen ekstradisi), Kementerian Luar akan menghubungi Pejabat Peguam Negara bagi proses ekstradisi itu," kata Kasit.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen sebelum ini berkata, beliau akan menolak permohonan supaya Thaksin dihantar pulang ke Thai.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: