BERLIN - Orang ramai bersesak-sesak menuju ke Tembok Berlin semalam bagi memperingati ulang tahun ke-20 runtuhnya tembok pemisah yang menyebabkan Jerman Timur dan Jerman Barat bersatu.
Beberapa pemimpin dunia turut menyertai ribuan penduduk yang menyaksikan tamatnya pemerintahan komunis di Eropah setelah tembok batu itu runtuh pada 9 November 1989.
"Penyatuan Jerman masih belum sempurna. Kita mesti menangani masalah jika mahu mencapai tahap kesaksamaan kualiti hidup," kata Canselor Jerman, Angela Merkel.
Ucapan Merkel turut menyatakan, Jerman Timur masih tertinggal daripada aspek ekonomi dengan kadar pengangguran dua kali ganda lebih tinggi berbanding Jerman Barat.
Bekas pemimpin Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev, bekas Presiden Poland, Lech Walesa dan kumpulan penentang yang menumbangkan pemerintahan komunis di Eropah menghadiri majlis tersebut.
Satu konsert terbuka di Brandenburg Gate diadakan manakala majlis menjatuhkan 1,000 kepingan domino gergasi sejauh dua kilometer turut berlangsung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: