ISTANBUL - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyelar sistem kapitalis Barat kerana mencetuskan krisis kewangan global dan mendakwa amalan riba menuju kejatuhan.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada sidang kemuncak ekonomi anjuran Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang berlangsung selama sehari di sini semalam.
"Krisis ekonomi yang melanda sekarang disebabkan oleh amalan sistem kapitalis dan dunia kini memerlukan perubahan yang radikal," tegas Mahmoud.
Menyifatkan kadar faedah sebagai kelemahan utama sistem kapitalis beliau menambah: "Sistem dunia yang berasaskan riba sudah runtuh malah membuktikan ia gagal."
Beliau menambah, program ekonomi berasaskan kepada pemikiran pakar-pakar Islam perlu dilakukan.
Menurutnya, kaedah itu dapat membimbing dunia ke arah kemakmuran, keselamatan dan keadilan.
Turut hadir pada sidang itu ialah Presiden Syria, Bashar al-Assad dan rakan sejawatannya dari Afghanistan yang baru dipilih semula untuk penggal kedua, Hamid Karzai.
Presiden Turki, Abdullah Gul menyatakan bahawa negaranya berhasrat untuk menjalin hubungan lebih kukuh dengan Iran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: