KUALA LUMPUR - Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Ismail Petra menyerahkan afidavit keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam, berhubung dua tuntutan saman terhadap isterinya, Manohara Odelio Pinot.
Kedua-dua saman tersebut pernah dikemukakan Tengku Muhammad Fakhry selaku plaintif di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu bagi menuntut Manohara, 21, selaku defendan kembali taat kepada beliau sebagai suaminya selain tuntutan hutang berjumlah RM1,112,250.
Beliau yang tiba di mahkamah pada pukul 4.30 petang mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk membacakan afidavit tersebut di hadapan Hakim Syarie, Radi Latif.
Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen dikemukakan berikutan afidavit terbabit perlu diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Syarie, Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry ketika ditemui media memberitahu, afidavit tersebut mengandungi soalan dan jawapan bagi menggantikan soalan utama terhadap plaintif dalam perbicaraan nanti.
"Tujuan penyerahan afidavit berkenaan adalah bagi mempercepatkan proses perbicaraan yang akan berlangsung pada Ahad ini di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.
"Kami akan memohon kebenaran supaya afidavit keterangan ini diterima sebagai sebahagian daripada keterangan Tengku Muhammad Fakhry di mahkamah," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: