
PADA fasa awal kemunculannya dalam industri hiburan, nama Juliana Sophie Johari Evans pantas menggamit perhatian. Juliana, pada waktu itu naik seiring drama serta filem remaja Kami.
Wajah eksotik gadis ini menjadi bualan. Lakonan natural dan terkadang dianggap tiada perasaan turut mengheret pelakon ini jadi terkenal.
Selepas salam perkenalan tersebut, termometer kerjayanya naik mendadak. Selain pernah mengacarakan program Remaja, gadis berusia 19 tahun yang senang disapa Jue ini turut terlibat dengan beberapa drama termasuk Kasut Tumit Tinggi.
Memercik warna pada kerjayanya lagi apabila gadis ini berpacaran dengan vokalis Bunkface, Sam.
Sempat sensasi dengan isu gambar 'ambil bau' mereka dan gambar dia berpesta bersama teman-teman turut disebarkan di alam maya, Jue tidak cepat melenting.
Mempersetankan persepsi negatif khalayak terhadapnya, Jue sebaliknya lebih gemar mengambil sisi positif. Sebagai remaja, siapa pun tidak pernah terlepas membuat khilaf. Dia hanya mahu menjadi diri sendiri.
"Walaupun saya seorang selebriti, tapi saya juga gadis biasa. Saya mempunyai kehidupan biasa.
"Saya tidak mahu menjadi hipokrit dan saya harap masyarakat faham itu," katanya yang mengakui sedikit privasinya terganggu sejak menjadi selebriti namun tidak pernah menganggap dirinya sebagai popular.
Hari ini, selepas namanya mendadak naik pada tahun lalu, kelibat Jue jarang kelihatan, kecuali muncul mengendalikan program Gadis Melayu.
Masih bernafas dalam industri
Saat diajak berbicara tentang timbul tenggelam Jue dalam industri, gadis ini tersenyum manis. Katanya dia masih bernafas dalam industri. Hanya kebelakangan ini, jadual Juliana sedikit sibuk.
Isnin hingga Khamis setiap minggu, dia sibuk menyudahkan pengajiannya dalam mengejar Ijazah Program Amerika di Institut Help, Damansara, Kuala Lumpur. Sebelum mengambil jurusan ini, Jue juga sempat mengikuti pengajian Ijazah Komunikasi Massa di kolej yang sama.
Itu faktor yang membuatkan dia tidak begitu konsisten sebagai anak seni. Namun, pada baki tiga hari lagi iaitu Jumaat hingga Ahad, dia seboleh-bolehnya masih mahu memenuhi undangan majlis atau melakukan kerja seperti mengacara.

Pelajaran bagi anak bongsu daripada tiga beradik ini amat penting. Mengakui bukan seorang pelajar yang terikat dengan disiplin atau ulat buku kata Jue, suasana seperti itu yang membuat dia sayang untuk tidak melanjutkan pelajaran di kolej.
"Selain keluarga, saya sendiri yang tanam dalam diri, pelajaran harus jadi nombor satu dalam hidup. Dalam masa yang sama, saya seimbangkan ia dengan minat saya iaitu berlakon, peragaan dan mengacara," ujarnya.
Menurut Jue lagi, dia lebih senang untuk tidak muncul di kaca televisyen setiap hari. Sementelah bukan impiannya juga menjadi terkenal.
"Tak mahu orang muak tengok saya. Lagipun saya memang tak ada niat jadi pelakon untuk popular. Selain minat, masa mula-mula jadi pelakon, saya cuma nak kumpul duit untuk tabungan sekolah. Sebab itu saya tak kisah tentang popular atau tidak," katanya jujur.
Ya, dia melanjutkan pelajaran kini dengan menggunakan duit kerjanya sendiri. Tidak pernah menerima wang daripada ibu atau bapanya sejak usia 17 tahun, kata Jue dia mahu hidup berdikari.
"Saya hanya manja kasih sayang. Tapi dari segi wang ringgit atau material, saya lebih suka mencari sendiri tanpa menyusahkan mereka.
Tahun ini saya akan habis belajar dan saya akan berehat kurang setahun sebelum melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat pada hujung 2010.
"Jadi sepanjang saya berehat bermula Disember depan, saya akan kembali aktif untuk kumpul dana pengajian saya semula," ucapnya yang masih tinggal bersama keluarga dan bersedia untuk menetap seorang diri di Amerika kelak.

Malah sebelum Disember menjelang, saban minggu ada sahaja tawaran berlakon datang. Namun kerana mementingkan pengajian, Jue hanya berani mengambil penggambaran untuk telefilem berbanding drama bersiri. Jimat masa dan tidak mengganggu jadual sekolah, katanya lagi.
Tanpa segan silu, Jue mengakui kalau bakat lakonannya, harus banyak diasah. Sebagai pendatang baru, Jue sedar aksinya masih kelihatan kaku.
Paling ketara, sewaktu dia berlakon dalam filem Kami. Untuk memperbaiki mutu lakonannya, Jue kerap menonton semula kesilapannya selain menonton filem.
![]() |
| |
"Tapi sebenarnya saya lebih suka menjadi pengacara. Selain boleh menjadi diri sendiri, saya gemar bertemu pelbagai lapisan masyarakat, berada di pelbagai destinasi dan menimba banyak pengetahuan," ujarnya yang bagaimanapun berkata dunia lakonan juga memberi peluang dia menjadi orang lain melalui watak-watak yang diberikan.
Kahwin, belum lagi
Jue, si gadis manis yang sering disalah tafsir sebagai sombong hakikatnya seorang yang peramah - itu pun jika kena pada gayanya. Dia bimbang untuk cakap berlebihan hanya untuk kelihatan ramah.
Dia juga telus dan cuba menjawab setiap soalan dengan baik, termasuk pada hal peribadi. Justeru, sewaktu ditanya tentang hubungannya dengan Sam, pantas Jue menjawab mereka masih bersama sebagai satu pasangan.
Sekalipun begitu, untuk bercakap lebih daripada itu, terutama tentang perancangan perkahwinan misalnya, kata Jue: "Oh, itu masih terlalu jauh untuk dibicarakan. Kita pun tidak tahu apa akan jadi pada masa hadapan. Jadi biar saja ia berjalan dulu."
Tambahnya juga, sebagai artis, walaupun adakalanya dia bersikap terbuka, namun beberapa perkara yang dianggap terlalu peribadi untuk dikongsi, akan disimpan sebaik mungkin. Tidak sesekali rahsia itu dibuka hanya kerana mahu meraih sensasi.
Jadi selalu Jue menggariskan diri dengan hal yang boleh dikongsi bersama dan tidak. Misinya kini bukan kepada hal peribadi.
Sebaliknya dia mahu menyudahkan pengajian. Ketika diminta melihat ukuran kehidupannya lima tahun mendatang, Jue memberitahu dia hanya nampak dirinya sudah memperoleh ijazah. Jauh daripada itu dia bimbang untuk meramal masa depan.
Tapi satu hal yang dia yakin, cabang kerjayanya tidak akan lari jauh daripada bidang seni. Katanya: "Jika saya tidak berlakon, saya akan mengacara. Paling tidak, saya suka untuk berada di belakang tabir, mengarah sebuah program misalnya. Pendek kata saya mungkin masih di dalam industri ini."

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: