
DI corong telefon, kedengaran suara Anang Hermansyah sedikit serius. Kaget untuk bertanya hal peribadi antara dia dan bekas isteri Kris Dayanti kerana Anang seolah-olah membina satu benteng untuk tidak membenarkan soalan peribadi diajukan.
Namun ternyata semakin lama berbicara, Anang semakin terbuka. Biar terdengar agak sedih, lelaki yang terkenal sebagai komposer dan tulang belakang Kris Dayanti ini beberapa kali sempat menyuarakan dia ingin mencari jodoh di kalangan rakyat Malaysia.
Selain berbicara tentang album terbarunya, Separuh Jiwaku Pergi, Anang yang bakal berada di Malaysia selama seminggu bermula 1 Disember depan bercakap tentang masa depan dan keperluan seorang wanita dalam hidupnya.
Adakah album ini merupakan gambaran kemarahan anda terhadap KD? Berapa sukar menumpahkan perasaan dalam album ini?
Sebenarnya setiap peristiwa penting dalam kehidupan saya seperti sewaktu kami bernikah dulu, bahagia, mempunyai anak dan akhirnya bercerai akan memberi inspirasi untuk saya berkarya. Sebagai seorang seniman, ini cara saya menumpahkan rasa terhadap peristiwa-peristiwa penting yang terjadi dalam hidup saya. Untuk album ini, lagu pertama yang saya ciptakan adalah Hujan Pun Menangis dan lagu terakhir Separuh Jiwaku Pergi. Lagu-lagu ini terbentuk daripada perasaan saya pada waktu itu.
Adakah faktor runtuhnya rumah tangga kalian kerana kecurangan?
Apa yang anda dengar di dalam lagu-lagu saya, pada liriknya, itulah gambaran terhadap apa yang berlaku di dalam rumah tangga kami.
Bagaimana dengan kehidupan anda kini? Sudah boleh menerima hakikat sebagai duda beranak dua? Masih kecewa?
Selama 13 tahun kami berumah tangga, itu adalah perjalanan yang luar biasa buat saya sehingga kami akhirnya bercerai. Namun kini saya sudah buangkan rasa kecewa kerana jika terus berasa sakit dan kecewa, saya tidak boleh bangkit. Alhamdulillah, kehidupan saya dan anak-anak kini bertambah baik. Saya amat bahagia dengan hidup baru kini.
Namun selama mana anda ingin menduda? Wanita penting bagi anda? Betulkah anda sudah temui pengganti KD?
Perkara pertama, saya belum ada pengganti. Itu hanya gosip. Wanita amat penting dalam hidup saya. Sebagai lelaki memang wanita diciptakan untuk kita. Sejujurnya saya tak mahu berlama-lama jadi duda kerana saya sudah pernah berasa nikmat berumah tangga. Apa yang dilakukan dalam sebuah rumah tangga adalah ibadat. Saya mahu menikah lagi, tapi mencari pasangan hidup tidak mudah. Mereka harus menerima bukan saya sahaja, tetapi dua anak saya. Saya juga tidak kisah jodoh saya di kalangan artis atau wanita biasa kerana yang penting adalah keseimbangan dunia dan akhirat. Mungkin nanti saya boleh cari jodoh di Malaysia.
Tapi kalau KD yang menikah dulu daripada kamu bagaimana?
Saya tidak kisah kerana menurut saya sebagai seorang wanita muda yang cantik dan berpengaruh, KD memang harus segera bernikah untuk mengelakkan fitnah.

Tidak mahu rujuk kembali?
Saya selalu berdoa agar kami berdua tidak kembali bersama. Agar kami berdua berjumpa jodoh dengan pasangan baru. Ya, Allah membenci penceraian tetapi mengizinkannya. Jadi ini adalah jalan terbaik buat kami berdua.
Benar kamu tidak mengizinkan anak-anak bertemu KD?
Tidak benar. Bukan saya tidak izinkan, tapi masanya sekarang tidak sesuai. Anak-anak sudah ternampak keburukan dia, dan mereka memilih untuk tidak tinggal bersamanya. Malah yang membuatkan saya sedih, sepanjang tiga bulan kami bercerai, anak-anak langsung tidak pernah bertanya tentang dia. Jadi minggu lalu sewaktu mereka bertemu, anak-anak jadi kekok. Sebenarnya juga saya tidak memaksa anak-anak untuk tinggal dengan saya. Apabila mereka dewasa, mereka berhak memilih untuk bersama saya atau bekas isteri. Mereka tetap anak-anak Kris Dayanti juga.
Bagaimana dengan kerja sama kalian berdua? Akan terputus terus?
Buat masa ini, memang saya senang untuk tidak bekerjasama dengan dia. Saya juga telah menarik diri daripada menggarap album duet KD dengan Datuk Siti Nurhaliza. Bagaimanapun saya tidak pernah menghalang KD dari terus menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: