Friday, November 20, 2009

Soal siasat waktu pejabat


Boon Wah


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh lagi menyoal siasat saksi hingga ke malam berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang hanya membenarkan soal siasat dilakukan pada waktu pejabat iaitu dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd. Ariff Md. Yusof memutuskan bahawa Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM 2009 tidak memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan penyiasatan terhadap seseorang saksi sepanjang hari dan malam.

"Frasa 'hari ke hari' dalam seksyen berkenaan bukan bermaksud 24 jam, tetapi waktu bekerja biasa," kata Mohd. Ariff dalam keputusan bersejarah itu yang disampaikan pada pukul 2.50 petang.

Ketika membenarkan semakan semula kehakiman yang dipohon oleh ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah, Mohd. Ariff berkata: "Oleh itu, saya bersetuju bahawa dalam kes ini pemohon telah ditahan secara tidak sah oleh SPRM."

Boon Wah, 39, menyaman Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan; Penolong Penguasa SPRM, Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM kerana mendakwa penahanan dan soal siasat yang dilakukan terhadapnya selama 16 jam sehari oleh SPRM menyalahi undang-undang dan menyebabkan beliau mengalami kerugian serta kesan buruk.

Dalam permohonan mendapatkan semakan semula kehakiman yang difailnya pada 22 Julai lalu, Boon Wah meminta mahkamah mengisytiharkan defendan yang menjalankan penyiasatan mengikut Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM 2009 hanya boleh merekodkan kenyataannya sebagai saksi pada waktu pejabat iaitu dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: