SEBAHAGIAN watak yang dapat disaksikan menerusi filem animasi edaran United Studios. |
Planet 51 filem kartun terbaru dari Amerika bakal memasuki panggung 19 November
KEKUATAN filem animasi dalam industri perfileman dunia usah dipertikaikan lagi. Saban tahun, ada saja judul terbaru daripada genre ini yang berjaya tersenarai dalam kedudukan 10 filem yang mencatatkan kutipan terbaik.
Di Amerika Syarikat (AS) umpamanya, tiga daripada 10 filem paling berjaya dari segi pungutan pada tahun ini dimiliki filem Up, Monsters Vs Aliens dan Ice Age 3. Manakala sebuah lagi filem animasi, A Christmas Carol yang menggunakan suara Jim Carrey, baru saja ditayangkan dan mula menunjukkan petanda ia juga bakal mengisi kedudukan teratas filem dengan kutipan terbaik.
Tahun sebelumnya lebih membanggakan bagi filem animasi apabila daripada 10 filem terbabit, empat judul terdiri daripada filem kartun iaitu Wall-E, Kung Fu Panda, Madagascar 2 dan Horton Hears A Who (juga meminjam suara Jim Carrey).
Studio utama perfileman AS sememangnya turut bergantung harap kepada filem animasi dalam mencatat keuntungan. Siri filem animasi seperti Shrek, contohnya, sentiasa mencatat kutipan yang tinggi dan kini kesemua siri filem berkenaan termasuk dalam 10 animasi paling popular di benua Amerika.
Bermula 19 November ini, sebuah lagi filem kartun yang dihasilkan menggunakan teknologi grafik komputer, Planet 51, akan menemui penonton di pawagam seluruh negara. Filem terbabit ditayangkan di AS sehari selepas memasuki pawagam negara ini. Di Malaysia, filem berkenaan diedarkan United Studios dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) selaku penaja utama.
DWAYNE JOHNSON meminjamkan suara untuk filem Planet 51. |
Tentunya kehadiran filem ini akan menarik minat penonton ke panggung, bukan saja kerana ceritanya yang dikira menarik, bahkan watak utamanya meminjam suara bekas juara gusti terkemuka, pelakon Dwayne 'The Rock' Johnson.
Selain The Rock yang menjayakan watak Kapten Charles 'Chuck' Baker, pelakon lain ialah Justin Long sebagai Lem, Jessica Biel (Neera), Sean William Scott (Skiff), Gary Oldman (Jeneral Grawl) dan John Cleese (Profesor Kipple).
Planet 51 yang diletakkan dalam genre animasi komedi diarahkan oleh Jorge Blanco, manakala skripnya dihasilkan Joe Stillman yang juga menghasilkan skrip bagi filem animasi Shrek dan Shrek 2 (filem animasi paling berjaya di dunia, dengan pungutan kira-kira RM3.2 bilion).
Filem yang dihasilkan dengan perbelanjaan mencecah RM240 juta ini bercerita mengenai pencerobohan di sebuah planet yang didiami makhluk berwarna hijau serta mempunyai sesungut di kepala. Makhluk di Planet 51 sentiasa berada dalam ketakutan. Mereka bimbangkan kemungkinan tempat tinggal yang aman damai itu diserang makhluk asing dari planet lain.
Satu hari, mereka dikejutkan dengan pendaratan seorang angkasawan, Kapten Charles 'Chuck' Baker yang menganggap dirinya orang yang pertama menjejakkan kaki di planet berkenaan. Dia terkejut melihat planet yang dijejaki itu mempunyai kehidupan lain, serta menjalani kehidupan harian mereka dengan gembira, seolah-olah seperti kehidupan di Amerika pada tahun 1950-an.
Kehidupan mereka berubah apabila munculnya makhluk yang dianggap sebagai penceroboh seperti Chuck. Kedatangan Chuck menyebabkan penduduk Planet 51 berada dalam kerisauan. Ia juga menjadi satu pengalaman mendebarkan buat seorang remaja di planet itu, Lem.
Lem dan bersama robot tinjauan angkasa bernama Rover cuba membantu Chuck untuk mendapatkan semula kapal angkasanya, bagi membolehkan dia pulang ke bumi. Bagaimanapun bala tentera di Planet 51 bersungguh-sungguh cuba menghapuskan Chuck yang dianggap sebagai ancaman bagi rakyatnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: