CURTIS menyelamatkan diri dari gempa bumi yang menakutkan. |
Elemen kasih sayang, kekeluargaan di saat berdepan bencana
Judul: 2012
Pelakon: John Cusack, Woody Harrelson, Amanda Peet, Thandie Newton.
Pengarah: Rolland Emmerich.
Genre: Aksi, Drama, Sains Fiksyen dan Cemas.
Edaran: Colombia Pictures.
Tarikh tayangan: 12 November 2009.
MELIHAT saja trailer filem ini yang ditayangkan beberapa bulan lalu cukup membayangkan kehebatan filem terbaru daripada pengarah yang memang terkenal dengan filem bencana alam, iaitu Rolland Emmerich.
Babak cemas seorang sami yang terpaku melihat ombak laut setinggi Gunung Everest menghampirinya sudah mampu membuat penonton teruja untuk menontonnya. Sebagai pengarah yang sering membawakan filem berkonsepkan bencana alam seperti Independence Day dan The Day After Tomorrow, pastinya ramai ingin tahu apakah filem ini lebih hebat ataupun sekadar indah khabar dari rupa.
Maklumlah, sebagai pengarah yang sudah pun ‘menghancurkan dunia’ sebanyak dua kali, tentunya kita mahu tahu apa pula pembaharuan yang dibawakan dalam filem ini. Selepas menonton lebih dua jam, filem 2010 bukan sekadar menonjolkan kehebatan tenaga produksi dalam teknik Imej Janaan Berkomputer (CGI), tetapi juga sarat dengan elemen kasih sayang dan kekeluargaan.
Rolland membawa penonton untuk kembali ke akar umbi di mana kasih sayang adalah perkara utama dalam kehidupan berkeluarga.
DUNIA digambarkan menuju kehancuran seperti yang dipaparkan dalam filem 2012. |
Pemikiran dan perasaan penonton akan dibuai dengan pelbagai rasa. Selepas berada dalam situasi cemas, jiwa penonton bakal tersentuh dengan babak membabitkan hubungan antara bapa dengan anak. Bagaimana bapa kepada Doktor Adrian Helmsley lakonan Chiwetel Ejiofor, menelefon anaknya sekadar ingin meluahkan perasaan sayang selepas yakin dia tak mungkin dapat bertemunya lagi. Tak dinafikan, apabila nyawa di hujung tanduk, keluargalah orang yang pasti akan singgah di fikiran di saat genting seperti itu.
Dan saksikan juga bagaimana seorang bapa sanggup bergadai nyawa seperti yang dilakukan novelis, Jackson Curtis, lakonan John Cusack semata-mata mahu menyelamatkan anaknya walaupun menyedari anak lelakinya itu tidak pernah menghormatinya sebagai seorang bapa. Konflik rumah tangga menjadi sub plot filem ini dan ia dijalin dengan begitu baik untuk sebuah filem bencana seperti 2012 ini. Barangkali inilah cara tersendiri Rolland untuk mengungkapkan perasaan sayang kepada orang yang rapat dengannya.
Kembali kepada perjalanan cerita ini, tidak dinafikan 2012 sebuah filem hebat dan mengagumkan. Hebat dari segi teknik pembikinannya sehingga kita berasakan ketakutan seperti yang dialami pelakon berkenaan.
Setiap kemusnahan yang dipaparkan seperti runtuhnya bangunan, ombak setinggi bangunan 30 tingkat, gempa bumi serta letusan gunung berapi sehingga menyebabkan dunia menjadi kucar-kacir, digambarkan dengan teliti. Pujian sewajarnya diberikan pakar CGI dan pengarah filem ini kerana mempunyai imaginasi cukup tinggi untuk menterjemahkan apa yang berlaku.
Jika kebanyakan pengarah lain memilih pelakon sasa untuk filem seperti ini, namun bagi Rolland, fizikal tidak begitu dipentingkan. Dia lebih selesa memilih Cusack memegang watak utama filem ini. Mungkin Cusack menepati ciri-ciri pelakon yang dicarinya iaitu seorang yang kelam kabut, berwajah penyayang tapi pada masa yang sama tidak pernah kenal erti putus asa. Cuma lucu juga apabila mengenangkan betapa hebatnya Cusack dalam filem ini tidak cedera walaupun berdepan dengan kemalangan serta situasi yang mencemaskan sewaktu musibah sedang melanda bandaraya California.
Filem ini hebat kerana kaya dengan teknik CGI dan sebagai penonton yang belum pernah merasai kemusnahan seperti itu, apa yang dilihat dan disaksikan sedikit sebanyak menerbitkan perasaan takut di dalam hati.Apakah benar tarikh 2012 itu diramalkan sebagai hari pengakhiran zaman, hanya tuhan yang maha mengetahuinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: