Friday, November 20, 2009

Saiful Apek cari pelakon pelapis di JB


Saiful Apek

BERMULA dengan pelawak, pelakon, pengacara, penyanyi dan pengarah, Saiful Apek kini sudah merasai segala dugaan menjadi anak seni. Untuk mencapai satu tahap anak seni yang mampu melakukan pelbagai kerja seni bukan mudah seperti yang disangkakan.

Pelbagai dugaan sudah ditempuhi termasuk gosip yang cuba untuk membunuh kerjayanya namun diatasi dengan kemampuan bakat yang sentiasa mendapat sokongan peminat setianya.

Setelah penat lelah berlakon, menyanyi, mengarah Saiful Apek kini memasang impian untuk mencari pelapis yang berkebolehan untuk mewarnai industri ini terutama bakat yang berada di luar bandar.

Menurutnya, memandangkan terlalu banyak drama dan filem diterbitkan maka ramai artis kita laku dengan tawaran lakonan, sesetengah produksi menghadapi masalah kekurangan artis maka dengan itu pihaknya mengorak langkah baru untuk turun ke padang mencari bakat baru.

“Saya dapati masyarakat di luar bandar juga mempunyai bakat semula jadi yang patut diketengahkan, mereka mempunyai raut wajah kemelayuan dan bakat yang besar sesuai dengan drama yang bakal saya terbitkan tidak lama lagi.

“Saya memerlukan bakat baru yang memiliki pelbagai pakej dan dengan itu saya sendiri sanggup turun padang mencari sendiri melalui sesi uji bakat yang syarikat saya anjurkan bermula di Johor Bahru,” katanya

Melalui syarikatnya, Gitu-Gitu Production bakal menerbitkan drama bersiri kemasyarakatan tahun depan, dengan itu Saiful Apek bersiap sedia mencari bakat baru terutama orang di selatan dan utara.

“Selain drama komedi, saya juga mahu mengorak langkah baru menerbitkan pelbagai drama kemasyarakatan yang berkemampuan memberi pengajaran kepada penonton.

“Sebagai penerbit, tidak semestinya saya sendiri akan mengarah drama yang bakal syarikat saya terbitkan. Saya juga akan melantik pengarah luar untuk merealisasikan impian saya untuk melihat drama kita yang mempunyai mutu kemasyarakatan dan adat istiadat yang sudah agak ketinggalan.

Gitu Gitu Production Sdn Bhd bukan saja dikenali dengan imej komedi malah Gitu Gitu mahu dikenali sebagai pusat segala hiburan, perniagaan dan info kemasyarakatan.

Saiful Apek memilih Johor Bahru kerana drama yang bakal diterbitkan nanti akan dibuat di Johor Bahru dan yakin orang Johor mempunyai bakat lakonan dan nyanyian yang baik selain akan ke Utara tidak lama lagi untuk mencungkil bakat baru di sana.

Kepada yang berminat menjadi artis di bawah Gitu Gitu production sila hadir ke lokasi yang tertera di bawah bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Kepada sesiapa yang berminat sila daftar dan taipkan ONSERU2UNAMAUJIBAKATJB Cth: ON SERU2U AHMAD UJIBAKAT JB dan hantar ke 33886 atau hubungi Farahanim di talian 017 373 7591

Semua peserta akan mendapat sijil yang akan diserahkan sendiri oleh Saiful Apek dan peluang beramah mesra dengan artis Gitu-Gitu Production.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: