Friday, November 20, 2009

Mangsa doktor potong



KUALA LUMPUR: Hajat pelik seorang wanita yang bersungguh-sungguh mahu mengecilkan payudaranya menyebabkan dia menderita hampir lima bulan selepas dibedah doktor tidak bertauliah yang turut membuang puting buah dadanya.

‘Doktor’ berkenaan yang membedahnya hampir tiga jam menyebabkan payudara wanita itu mengecut mendadak sebelum dijangkiti kuman pada dada.

Lebih malang, mangsa yang membayar kos hampir RM24,000 untuk pembedahan kecantikan itu kini bimbang jangkitan kuman terbabit merebak, sekali gus meragut nyawanya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Yew, 36, berkata dia yang juga seorang ‘pengkid’ mempunyai impian untuk mengecilkan payudara supaya kelihatan seperti lelaki normal.

Menurutnya, saiz buah dadanya yang besar menyebabkan emosinya terganggu sebelum berhasrat mengecilkannya.“Atas nasihat rakan, saya berjumpa seorang pemilik salun kecantikan di Subang Jaya bernama Nancy. Hasil perbincangan pada awal Mei lalu, saya dipujuk menjalani pembedahan kecantikan dengan kos RM12,000.


“Bagaimanapun, jika mahukan hasil yang lebih ‘menawan’ saya diminta menambah RM3,500 selain beberapa bayaran lain.

“Nancy meyakinkan saya tak perlu bimbang kerana pembedahan itu bakal dilakukan doktor pakar yang dibawa dari Beijing, China. Selepas bersetuju dengan bayaran ditetapkan, saya dibawa ke Johor Bahru untuk menjalani pembedahan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di sini semalam. Turut hadir, ketua biro itu, Datuk Michael Chong.

Menurutnya, dia terus menjalani pembedahan di sebuah pusat rawatan swasta di bandar raya itu.

“Saya hanya tersedar kira-kira jam 4 petang dalam keadaan payudara saya berbalut ketat. Saya dilarang sama sekali membuka balutan berkenaan sebelum diarah pulang ke rumah.

“Dalam keadaan separuh sedar, saya dihantar pulang tanpa langsung dibekalkan antibiotik atau ubat penahan sakit. Bagaimanapun, selepas balutan itu dibuka, saya terkejut apabila mendapati payudara saya seolah-olah dipotong menggunakan laser selain bahagian puting hilang sama sekali,” katanya

Yew terkejut dengan tubuh barunya itu kerana dia tidak pernah meminta puting payudaranya dibuang terus.

Menurutnya, dia tidak menyangka pembedahan itu dilakukan sedemikian selain ‘doktor’ terbabit turut menggunakan menyedut lemak untuk mengempiskan payudaranya.

“Puting payudara saya hilang sama sekali dan kesakitan akibat pembedahan itu menyebabkan tubuh saya sakit. Malah, tangan saya bagaikan lumpuh apabila tidak dapat bergerak dengan sempurna serta tidak boleh mengangkat benda berat.

“Lebih menyeksakan apabila pembedahan itu turut menyebabkan payudara saya dijangkiti kuman. Saya terpaksa berulang alik ke hospital untuk menjalani rawatan susulan kerana bimbang ia akan merebak ke organ dalaman,” katanya.

Menurutnya, dia turut ke Singapura untuk mendapatkan rawatan susulan, namun kebanyakan doktor pakar yang ditemui berpendapat keadaannya terlalu serius dan bernasib baik kerana masih hidup.

“Mereka hanya berani membersihkan luka pembedahan itu kerana dibimbangi akan busuk. Akibatnya, saya terpaksa bergantung kepada pelbagai jenis ubat sehingga kini.

“Saya bimbang dengan keadaan tubuh dan tertekan dengan tindakan pemilik salun dan ‘doktor’ berkenaan,” katanya.

Yew berkata, dia pernah menghubungi Nancy memintanya bertanggungjawab, namun dia tidak melayan permintaan memulangkan semula wang RM24,000.

“Apabila saya mahu membawa perkara itu ke mahkamah, seorang lelaki yang juga rakan pemilik salun terbabit menghubungi saya dan mengugut akan mengambil tindakan jika saya terus berkeras.

“Malah, dia mencabar saya membuat laporan polis selain memaki-hamun serta mengugut akan menghantar kaki pukul untuk membelasah saya. Dia juga mengugut akan menghantar ‘orang’ untuk mengekori saya sepanjang masa,” katanya.

Menurutnya, dia yang bimbang keselamatan dirinya kemudian membuat laporan di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: