Friday, November 20, 2009

Rakan selebriti Portege M900


Owen Yap Khiam Hong

DUA jam bersembang bersama Owen Yap Khiam Hong satu pengalaman yang menyeronokkan. Walaupun ia pertemuan pertama tetapi keramahan jejaka berusia 35 tahun ini membuatkan temu bual berlangsung dalam suasana begitu menyenangkan. Malah, ketika Owen menelefon setengah jam sebelum itu, jelas nada kemesraan terpancar daripada lontaran suaranya. Apabila berdepan, ramalan itu benar belaka.

Jika sebelum ini, hanya penyampaian berita serta kemunculannya mengacarakan beberapa program televisyen yang ‘menghubungkan’ dirinya bersama khalayak, baru-baru ini Owen membuktikan dia lebih daripada seorang personaliti 8TV yang saban minggu muncul di layar kecil di ruang tamu rumah.

Keikhlasan, keramahan dan kemesraan yang ditunjukkan sepanjang perbualan pada petang 21 Oktober lalu membuatkan jejaka kelahiran Melaka ini lebih mudah didekati, seterusnya menolak tanggapan personaliti popular sepertinya terbang bersama kumpulan enggang saja.

Mungkin kerana sikap mudah mesranya juga, banyak pihak yang senang bekerjasama dengannya, termasuk syarikat pengeluar produk kesihatan, telefon bimbit dan komputer riba. Jika tahun lalu dia sering dilihat menghiasi iklan Nescafe, kini wajahnya masih dapat dilihat pada iklan produk nyah toksin, Juvanex; telefon bimbit pintar, HTC; dan terbaru, dia dipilih sebagai rakan selebriti kepada komputer riba Toshiba.

"Saya bukannya duta kepada komputer riba ini, sebaliknya dikenali sebagai rakan selebriti. Di Jepun sendiri, Toshiba tidak melantik mana-mana duta, tetapi lebih selesa menggunakan perkataan rakan selebriti untuk produk keluaran mereka," katanya yang kini membawa komputer riba Portege M900 ke mana saja dia pergi.

Walaupun wajahnya sering menghiasi iklan produk, serta tampil dalam majalah antarabangsa seperti GQ, Esquire dan Vogue di beberapa negara Asia, tetapi Owen tidak menganggap dirinya seorang peragawan.

"Saya bukanlah seorang model, sebaliknya seorang penyampai berita, pengacara rancangan televisyen dan juga seorang pengacara majlis. Pernah juga saya berjalan di atas pentas peragaan, namun bukan sebagai peragawan, tetapi lebih kepada selebriti yang hanya memenuhi permintaan untuk menggayakan suatu jenama. Jangan suruh saya berjalan seperti model, saya tidak reti," ujar anak muda ini sambil ketawa kecil.

Kariernya sebagai penyampai berita di 8TV bermula pada hari pertama stesen di bawah payung Media Prima itu memulakan operasi. Lalu, dia mempunyai sejuta alasan untuk berasa bangga apabila slot berita Mandarin yang kini disiarkan jam 8 malam itu muncul program berita Cina paling popular ketika ini.

"Selepas hampir enam tahun bersama profesion ini, saya masih lagi bertahan kerana berasakan, inilah tanggungjawab yang saya harus tunaikan kepada masyarakat. Lagipun, kita selalunya dapat melakukan dengan baik setiap pekerjaan yang kita gemari," katanya yang pernah mengacarakan Deal or No Deal (versi Cina) untuk ntv7, tahun lalu.

Begitupun, bukan bermakna penyampaian berita pekerjaan mudah yang langsung tidak berdepan sebarang masalah. Pemuda ini masih ingat pengalaman kira-kira empat tahun lalu, saat bagaimana tiba-tiba visual yang sepatutnya ditayangkan tidak muncul di skrin TV. Selama sepuluh saat, dia terkial-kial seketika sebelum kesilapan teknikal itu dapat diatasi.

Pengalaman itu tentunya sukar dilupakan Owen. Ada ketika, pengalaman menarik seperti itu dikongsi pemuda ini bersama pembaca beberapa majalah. Ujar Owen, dia diundang menjadi penulis untuk beberapa penerbitan di negara. Kesempatan itu tentu sekali sukar ditolak jejaka berkelulusan sarjana muda dalam bidang perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini kerana bidang penulisan turut menjadi pilihannya.

"Berkongsi idea bersama orang ramai satu peluang yang amat saya hargai," kata anak kedua daripada tiga adik-beradik ini.

Selepas beberapa tahun bergelar penyampai berita dan personaliti TV, Owen pada hakikatnya masih menyimpan impian untuk bergelar seorang profesor, satu masa nanti.

Tidak menghairankan jika jejaka yang mampu bertutur dalam empat bahasa ini ingin kembali ke alam universiti kerana jiwa dan minatnya begitu dekat dengan bidang ilmu dan pendidikan. Selepas menamatkan pengajian di UKM, Owen mendapatkan ijazah sarjana dalam bidang serupa di Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Dia juga pernah ditawarkan peluang menyambung pengajian di sebuah universiti di Hawaii. Kerana menghormati permintaan ibunya, Owen mengetepikan tawaran berkenaan, lantas memilih pusat pengajian tinggi tempatan sebagai galang ganti. Setelah memiliki ijazah sarjana, dia juga bergelar pensyarah di Universiti Terbuka Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: