Friday, November 20, 2009

Rumah Jantung


KEBANYAKAN mangsa serangan jantung kini ialah orang muda.


WALAUPUN sekitar 80 peratus kematian pramatang daripada penyakit jantung strok boleh dielakkan dengan mengawal faktor risiko utamanya, penyakit jantung masih merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia.

Antara faktor risiko utamanya termasuklah penggunaan produk-produk tembakau, diet kurang sihat dan kurangnya kesedaran tentang cara mencegah penyakit jantung.

Selaras dengan fokus Hari Jantung Sedunia yang bertemakan Work with Heart, Persatuan Jantung Nasional Malaysia (NHAM) telah berkerjasama dengan Philips Malaysia untuk menekankan tentang pentingnya kesihatan jantung di tempat kerja.

Justeru, sebuah kempen Wellness at Workplaces dilancarkan sempena pelancaran ibu pejabat NHAM yang baru, Heart House di Kuala Lumpur baru-baru ini. Heart House dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Presiden Persatuan Jantung Nasional Malaysia (NHAM), Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata, adalah penting untuk mengubah sikap masyarakat terhadap kesihatan jantung di tempat kerja.

"Penubuhan Heart House dapat mengukuhkan peranan golongan pakar kardiologi di negara ini dalam membantu khalayak memahami kesihatan jantung," katanya.

Tambahnya, program tersebut sejajar dengan matlamat NHAM bagi mengurangkan bebanan penyakit jantung di Malaysia.

Di Malaysia, 16.54 peratus daripada keseluruhan kes kematian (45,936 kematian) yang dicatatkan di hospital kerajaan pada tahun lalu adalah disebabkan oleh penyakit jantung dan penyakit pulmonari.

Penyakit serangan jantung dianggar menjejaskan hidup 141 orang dalam setiap 100,000 populasi setahun. Ini sekali gus bermakna untuk populasi berjumlah 27 juta orang, sebanyak 38,000 kes penyakit jantung baru akan dilaporkan setiap tahun.

Sekitar 60 peratus daripada bebanan yang berat untuk menguruskan kes-kes itu ditanggung oleh kerajaan. Daripada sejumlah 200 orang pakar kardiologi di Malaysia, hanya terdapat 24 orang pakar kardiologi di hospital-hospital kerajaan di negara ini.

Seramai 15 orang doktor juga sedang menjalani latihan kardiologi. Setiap tahun, pihak kerajaan dijangka menerima sehingga enam orang pelatih untuk program fellowship kardiologi selama tiga tahun.


PENUBUHAN Heart House di Kuala Lumpur mengukuhkan peranan pakar kardiologi di negara ini.


Penubuhan Heart House yang terletak di bangunan Akademi Perubatan di Jalan Tun Razak juga menjadi destinasi pertemuan pakar-pakar kardiologi daripada pelbagai peringkat usia.

Jelas Sim, kebanyakan mangsa serangan penyakit jantung kini ialah golongan muda.

"Laporan Pejabat Pendaftaran Sindrom Koronari Akut menunjukkan bagi kategori lelaki, lelaki India paling cenderung diserang penyakit jantung pada usia muda. Bagi wanita pula, penyakit tersebut lebih kerap menjejaskan wanita Melayu.

"Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kehadiran sesuatu penyakit," katanya.

Bagi mengurangkan bebanan penyakit tersebut, Sim menasihatkan agar orang ramai berusaha mengurangkan faktor-faktor risiko penyakit jantung. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, menguruskan stres dan mengelakkan tabiat merokok, kita sekurang-kurangnya telah memiliki 'senjata' untuk melawan penyakit tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: