Friday, November 20, 2009

Hutan tumpuan penyelidik dunia




IA sebuah hutan yang begitu luas. Di dalamnya mengalir sungai terbesar di dunia iaitu Sungai Amazon yang begitu sinonim dengan habitat ikan pirana yang didakwa begitu rakus membaham manusia. Kepelbagaian flora dan fauna di belantara itu membuatkan ia begitu mengujakan para penyelidik yang sanggup 'berkampung' di dalamnya untuk membongkar rahsia yang tersembunyi.

Justeru, tidak hairanlah apabila ada pihak yang menganggap hutan Amazon adalah sebuah makmal raksasa dunia. Ia kerap dikunjungi para penyelidik dari seluruh dunia dalam usaha mencari penawar bagi mencegah dan mengubati pelbagai penyakit yang menyerang manusia.

Faktor kekayaan flora dan fauna hutan itu yang dihiasi dengan pelbagai spesies tumbuhan dan mikro organisma menjadi antara sebab yang mendorong para penyelidik untuk menerokanya. Selain mencari penawar penyakit biasa, para penyelidik juga mencari penawar bagi sesetengah penyakit yang sukar diubati.

Golongan penyelidik itu hakikatnya berdepan dengan bermacam cabaran yang besar. Maklumlah, hutan yang luas itu menyimpan kunci kepada rahsia rawatan-rawatan baru dalam dunia perubatan hari ini. Keluasan hutan itu menjangkau 1.2 bilion hektar dan melepasi sempadan beberapa negara di Amerika Selatan seperti Brazil, Colombia, Peru, Venezuela dan Surinam. Justeru, bukan mudah untuk meneroka hutan yang begitu luas dan terbentuk kira-kira 500 juta tahun lalu.

Dalam usaha itu, seorang penyelidik dari Universiti Paulista di Sao Paulo, Brazil, Drauzio Varella baru-baru ini telah melancarkan misi kajian ke Amazon bersama pasukannya. Lelaki berusia 66 tahun itu yang arif tentang selok-belok penyelidikan di Amazon sering meneroka hutan itu untuk mencari penawar bagi penyakit kanser. Dia yang mengetuai satu pasukan penyelidik dari universiti yang sama memasuki hutan itu untuk mendapatkan sampel-sampel spesies kajian yang dilakukan.

Katanya, untuk memudahkan perjalanan penyelidikan yang tertumpu di Sao Sebastiao de Cuieiras berhampiran Sungai Cuieiras di hutan itu, dia dan pasukannya perlu bergantung kepada bantuan seorang pekerja balak. Pembalak yang dikenali sebagai Osmar Barbosa Ferreira yang biasa menebang pokok balak di hutan itu amat memahami anatomi kawasan itu yang dikatakan penuh misteri.


HUTAN Amazon seluas kira-kira 1.2 bilion hektar membekalkan 20 peratus kandungan oksigen bumi.


Oleh kerana kajian dan penyelidikan itu adalah satu impian lama Varella dan pasukannya, maka mereka sanggup menempuh banyak cabaran sepanjang menerokai belantara itu. Selain menggeledah hutan yang dikatakan mengandungi koleksi tumbuhan dan spesies haiwan terbesar dunia, dia juga telah lama bersedia untuk menempuh perjalanan yang jauh. Ini kerana sebelum sampai ke Sungai Cuieiras, mereka perlu menjelajah beratus-ratus kilometer jauh ke Amazonas yang merupakan sebuah wilayah dalam hutan Amazon.

Varella mempercayai hutan Amazon popular dalam kalangan saintis dan golongan penyelidik kerana biodiversiti yang luas. Dikatakan dalam keluasan kira-kira satu hektar, Amazon mengandungi sebanyak 900 tan hidupan hutan termasuk lebih daripada 750 jenis pokok. Di samping itu, pergunungan Andes dan hutan Amazon menjadi habitat bagi separuh daripada flora dan fauna yang terdapat di seluruh dunia.

Sehingga kini, kebanyakan tumbuhan dan spesies di hutan itu sudah diguna pakai untuk pelbagai tujuan perubatan. Misalnya, untuk merawat penyakit Malaria. Hutan itu juga kaya dengan berbagai jenis bahan asli yang boleh membantu mengubati penyakit kronik. Kira-kira 70 peratus ubat-ubatan yang ditemui untuk penyakit seperti barah dihasilkan daripada produk berasaskan tumbuhan semula jadi ataupun bahan semula jadi yang dibawa keluar dari Amazon.

Tambah Varella lagi, proses mencari bahan yang sesuai di dalam hutan itu bukan satu perkara yang senang. Keluasan dan kepelbagaian biodiversitinya boleh mengundang masalah kepada para penyelidik. Selain keadaan geografi yang cukup mencabar, faktor cuaca juga boleh menghalang kerja-kerja penyelidikan.

Selain itu, kawalan undang-undang kerajaan yang ketat turut mencabar dan menyukarkan para penyelidik.

"Kami terpaksa berdepan dengan kerenah kerajaan yang masih curiga dan buruk sangka terhadap penglibatan orang luar terutama penyelidik asing yang masuk ke dalam hutan berkenaan.

"Jika undang-undang yang sedia ada lebih jelas, maka Amazon akan menerima lebih ramai penyelidik asing untuk membuat kajian berkaitan pelbagai bidang perubatan yang memberi manfaat kepada manusia sejagat.

"Ia pasti dapat menarik lebih ramai saintis dari seluruh dunia untuk menjalankan penyelidikan di hutan ini.

"Jika ia berlaku, maka sebahagian besar daripada kawasan belantara ini akan menjadi sebuah makmal gergasi yang menjadi rujukan kepada seluruh global," kata lelaki yang memiliki pengalaman lebih sedekad dalam bidang penyelidikan hutan.

Menurut Varella, sekatan undang-undang secara tidak langsung menghalang usaha sama para penyelidik luar negara untuk menemui penawar bagi penyakit kanser yang merupakan antara penyakit maut yang masih belum ada penawar bagi mengubatinya.


SESETENGAH tumbuhan yang ditemui di hutan Amazon dikenal pasti boleh menjadi penawar penyakit kanser.


Bagaimanapun, Varella bernasib baik kerana memiliki profil yang tinggi di Brazil sekali gus memudahkannya untuk mendapatkan lesen penyelidikan.

Bercerita serba sedikit latar belakang dirinya, Varella ialah seorang penulis terkenal dan personaliti televisyen popular di Brazil pada tahun 1999. Selepas sebuah karyanya diterbitkan dalam bentuk filem, tanpa disedari ia melonjak populariti Varella. Buku itu menceritakan pengalamannya bertugas sebagai doktor di sebuah penjara ganas di Sao Paulo yang dikenali sebagai Carandiru.

Bagaimanapun, langkah Varella dan pasukannya pada tahun 1990-an untuk bergabung tenaga dengan Institut Kanser Kebangsaan (NCI) dari Amerika Syarikat (AS) telah mencetuskan kontroversi. Dia dituduh cuba merompak hasil biologi negara Brazil. Akibat daripada itu, Varella dan pasukannya disekat daripada bekerjasama serta menerima dana daripada agensi antarabangsa dalam penyelidikan kanser selama beberapa tahun.

Selain itu, hasil kerja penyelidikan mereka selalu terganggu ekoran daripada tindakan pihak birokrasi sehingga tertangguh selama dua tahun. Namun, selepas 'dibebaskan' daripada hukuman itu, Varella meneruskan penyelidikan. Akhirnya, dia dan pasukannya telah membawa pulang sebanyak 2,200 sampel dari Rio Negro (Sungai Hitam) ke makmal yang terletak di Sao Paulo. Daripada jumlah itu, sebanyak 70 sampel menunjukkan kesan positif terhadap sel-sel kanser.

"Kesemua sampel yang ditemui ini sudah mencukupi bagi menjalankan kajian bagi tempoh 20 tahun akan datang. Bayangkan, jika kami dapat mencari 70 sampel yang berpotensi. Bagaimana pula dengan sebuah universiti terkemuka yang mempunyai sumber penyelidikan antarabangsa.

"Kemampuan mereka dalam mencari sampel yang lebih baik amat cerah. Kesan daripada penemuan ini, bidang perubatan juga dapat berkembang lebih maju dan dapat mencipta penawar bagi pelbagai penyakit yang menghantui kehidupan manusia," ujar lelaki itu yang turut aktif dalam larian maraton. Beliau kehilangan adik kesayangannya kerana penyakit kanser.

Dalam pada itu, Ketua Cawangan Produk Semula Jadi NCI, David Newman berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 80,000 spesies tumbuhan berbunga di Amazon tetapi hanya dua perlima daripada jumlah itu telah dikenal pasti. Kajian juga membuktikan di dalam satu sudu tanah yang diambil dari hutan Amazon, seseorang boleh menjumpai beribu-ribu mikrob.


PARA penyelidik menaiki bot besar untuk menyusuri Sungai Amazon bagi tujuan penyelidikan.


Dalam bidang perubatan kini, salah satu bahan semula jadi yang digunakan untuk melawan sel kanser adalah Taxol. Ia sejenis dadah kemoterapi yang dihasilkan daripada kulit pokok Yew yang ditemui di hutan Amazon. Bagaimanapun, Varella percaya tumbuhan lain yang mampu menghalang pertumbuhan sel kanser boleh ditemui di hutan Amazon.

Tetapi apa yang penting kini adalah meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap alam sekitar dan usaha kerajaan Brazil dalam memperlahankan kemusnahan hutan Amazon di tangan petani dan pembalak haram sedang membuahkan hasil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: