Friday, November 20, 2009

Berkhatan dengan AlisKlamp


BERKHATAN dipercayai telah bermula sejak zaman heliotik iaitu sekitar 15,000 tahun lalu.


LUPAKAN seketika ketajaman pisau tok mudin sewaktu anak-anak berkhatan lebih 20 tahun lalu. Sebenarnya, tradisi berkhatan bukan baru wujud dua tiga dekad lalu. Sebaliknya, tradisi tersebut dikatakan bermula sejak 4,000 tahun lepas. Malah, seorang pakar evolusi otak terkemuka tahun 1900-an, Sir Grefton Eliot Smith yang mengkaji sejarah Mesir mendakwa tradisi berkhatan bertitik-tolak dari era heliotik sekitar 15,000 tahun lalu!

Biarpun begitu, prosedur berkhatan secara tradisional sering menjadi bahan perdebatan dalam dunia perubatan. Antara isu berbangkit termasuk risiko jangkitan, kesakitan dan hasil kosmetik yang tidak begitu memberangsangkan.

Kajian-kajian turut membuktikan keadaan persekitaran berkhatan yang tidak bersih dan standard prosedur yang lemah akan mendedahkan pesakit kepada pelbagai jenis jangkitan.

Menyedari hakikat tersebut, pelbagai alat berkhatan telah diperkenalkan di pasaran dunia. Terbaru, inovasi untuk membantu prosedur berkhatan lelaki telah diperkenalkan di Malaysia. Ia dinamakan AlisKlamp.

Merupakan sebuah alat berkhatan pakai buang, AlisKlamp dicipta oleh pasukan yang terdiri daripada pakar urologi, Dr. Vedat Ali Canoglu dan pakar berkhatan, Dr. Mustafa Demirelli.

AlisKlamp terdiri daripada sebuah tiub polikarbonat lutsinar dan mekanisme penyepit plastik berwarna putih. Ia dipercayai mampu memberikan hasil estetik yang baik serta mempercepatkan proses penyembuhan. Selain itu, ia berupaya mengurangkan pelbagai komplikasi akibat prosedur berkhatan konvensional.


ALISKLAMP boleh didapati dalam beberapa saiz mengikut kesesuaian kanak-kanak atau orang dewasa.


Inovasi terkini itu telah diterima baik dan digunakan di serata negara Eropah dan Asia Barat sejak diperkenalkan di Turki pada tahun 2004.

Dalam majlis pra-pelancaran AlisKlamp di Kuala Lumpur baru-baru ini, Dr. Mustafa memberitahu, setakat ini, lebih 3,000 pengguna telah dilatih untuk menggunakan produk tersebut. Golongan pengguna itu terdiri daripada pensyarah, paramedik dan jururawat.

Jelasnya, berbeza dengan berkhatan cara klasik, AlisKlamp menawarkan beberapa kelebihan yang signifikan. Produk terbaru itu memudahkan prosedur berkhatan dilakukan tanpa jahitan pembedahan dan darah.

Selain memastikan keselesaan pesakit, teknik berkhatan juga perlu memberikan rasa selesa kepada doktor yang melakukannya.

"Berbanding teknik berkhatan yang lain, AlisKlamp memberikan prosedur berkhatan yang lebih pantas. Ini bermakna kadar trauma dan tekanan ke atas anak boleh dikurangkan.

"Lagipun, risiko doktor seperti kami untuk mendapat sakit belakang juga boleh dicegah," jelas Dr. Vedat selepas sesi menandatangani perjanjian bersama pengedar eksklusif di Malaysia dan beberapa buah negara di Asia, Eskayvie Sdn. Bhd.

Sepanjang proses pembedahan dan selepas pembedahan, pesakit tidak perlu bimbang tentang isu pendarahan. AlisKlamp tidak menyebabkan jumlah titisan darah yang banyak daripada kulit yang dipotong.

Atas sebab itulah produk AlisKlamp juga boleh digunakan oleh kanak-kanak yang mengalami sejenis pendarahan abnormal, hemofilia.

Satu persoalan yang sering timbul dalam minda kebanyakan ibu bapa apabila anak menjalani prosedur berkhatan adalah masalah luka lambat sembuh.

Namun, Dr. Vedat memberitahu, salah satu faktor luka lambat sembuh adalah kerana potongan pada kulit khatan yang tidak betul. Teknologi AlisKlamp bagaimanapun menawarkan potongan kulit khatan yang lebih dilindungi dan sempurna.

Dr. Mustafa pula menjelaskan penggunaan AlisKlamp mengurangkan keperluan seseorang kanak-kanak untuk memakai pakaian khas setelah pembedahan berakhir.


PROSEDUR berkhatan kini dapat dilakukan dengan lebih pantas dan mengurangkan trauma.


Lebih menarik lagi, anak yang dikhatan menggunakan AlisKlamp boleh menjalani rutin kehidupan harian seperti biasa. Berjalan, bermain, mandi mahupun berenang di kolam atau pantai serta-merta selepas prosedur berkhatan juga tiada masalah!

Risiko jangkitan dan pendarahan yang rendah dalam prosedur berkhatan menggunakan AlisKlamp juga bermakna tiadanya keperluan untuk mengenakan pembalut selepas itu.

Malah, AlisKlamp boleh ditanggalkan dalam tempoh sehari hingga lima hari selepas prosedur berkhatan dilakukan tetapi ia bergantung kepada umur anak yang dikhatankan.

Sesuai digunakan oleh segenap usia, AlisKlamp juga didatangkan dengan lima saiz berbeza untuk kanak-kanak dan empat saiz untuk orang dewasa. Ia juga dicipta untuk kegunaan bayi baru lahir sehinggalah remaja berusia 15 tahun.

AlisKlamp telah menerima pengiktirafan daripada EU (European Union) Declaration of Conformity (CE), Patent Certificate, Industrial Design Registration Certificate dan Trade Mark Registration Certificate. Pihak pengeluar AlisKlamp, Aba Group juga sedang menunggu kelulusan daripada Pentadbiran Perubatan dan Makanan (FDA) Amerika Syarikat (AS).

AlisKlamp diedarkan khas oleh syarikat Eskayvie Sdn. Bhd. di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Kemboja, Vietnam, Filipina dan Papua New Guinea. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Dr. Syid Ayob Syid Mustafa Alqudri di talian 019-477 0438.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: