Thursday, November 12, 2009

Red Peanut nyanyi lagu Eddie Hamid


PENGALAMAN menyanyi di kelab-kelab malam banyak membantu Red Peanut muncul sebagai artis syarikat rakaman.


JIKA sebelum ini ada peminat muzik tanah air yang skeptikal apabila mendengarkan lagu-lagu ciptaan komposer terkenal tanah air, Eddie Hamid yang dikatakan masih berada ditakuk era tahun 1990-an, namun ia sebaliknya buat Red Peanut.

Kumpulan rock 'n roll berasal dari Bandung, Indonesia itu bukan sahaja menjalin hubungan yang erat dengan komposer berasal dari Kelantan itu, malah mereka turut menyanyikan lagu ciptaannya yang berjudul Aku, Dia & Kamu.

Menurut vokalis Red Peanut, Hilman dia menyanyikan lagu itu secara berduet dengan peserta Akademi Fantasia musim ke-6, Nadia selepas mendapati lagu hasil lirik tulisan Fedtri Yahya cukup menarik untuk dirakamkan menerusi album sulung kumpulan tersebut.

"Kami dapati kualiti lagu itu sangat tinggi dan ia patut dirakamkan dalam album kami ini. Malah, kami juga berbangga kerana Eddie Hamid merupakan salah seorang komposer yang terkenal di Malaysia," katanya ketika berada di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis pelancaran album pertama Red Peanut berjudul Stairway To The Future yang diedarkan oleh Warner Music (M) Sdn. Bhd. itu, kumpulan itu juga menaruh kepercayaan mereka terhadap Nadia yang berduet menerusi lagu tersebut.

Kata Hilman, kombinasi lagu Eddie Hamid dan kemantapan vokal Nadia yang mewakili penyanyi Malaysia dalam lagu itu secara tidak langsung akan menguatkan lagi penerimaan Red Peanut di kalangan para peminat di negara ini.

"Selain itu, kami dapati Eddie juga lebih menampilkan lagu-lagu yang berentak ballad, sedangkan kami lebih kepada hard rock. Jadi gabungan melalui lagu duet itu, maka muzik yang terhasil juga tentunya akan berbeza," ujarnya.

Red Peanut yang seringkali berulang-alik dari Bandung ke Kuala Lumpur juga sebenarnya bukanlah sebuah kumpulan baru kerana mereka sudahpun ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu dengan memperjuangkan muzik rock 'n roll.

Bagaimanapun, selepas agak lama ditubuhkan baru kini kumpulan lima anggota itu berpeluang merakamkan album tersebut yang mengandungi 11 buah lagu termasuklah lagu duet Dia, Aku & Kami bersama Nadia.

"Sebenarnya, kami agak lewat untuk menghasilkan album sendiri kerana sebelum ini kami lebih banyak mengadakan persembahan di kelab-kelab malam di sekitar Bandung dan Jakarta. Apabila emosi kami sudah bersatu barulah album ini dirakamkan," jelasnya.

Malah, lebih mengejutkan apabila Red Peanut turut memilih syarikat rakaman Malaysia iaitu RMZ Showbiz Sdn. Bhd. yang berpusat di Pulau Pinang bagi menerbitkan album mereka yang dikatakan berkonsepkan sweet rock 'n roll.

Pengarah Perniagaan syarikat itu, Solhi Saidin berkata, dia memilih untuk menerbitkan album Red Peanut selepas mengenali serta menyaksikan lebih dekat persembahan kumpulan itu sewaktu berada di Bandung atas perniagaan tidak lama dulu.

"Saya telah melihat sendiri bakat dan persembahan Red Peanut sewaktu mereka mengadakan persembahan di kelab-kelab malam di Bandung. Saya difahamkan mereka ada seleksi sekitar 200 lagu yang boleh disampaikan pada bila-bila masa.

"Selain itu, saya juga tertarik apabila Red Peanut juga tiada masalah untuk berkolaborasi sama ada dengan komposer atau penyanyi dari Malaysia. Bagi saya, cara ini akan menguntungkan kedua-dua belah pihak untuk jangka masa panjang," jelasnya pada majlis tersebut.

Sementara itu, Nadia sewaktu ditemui pada pelancaran album itu turut mengakui bahawa pembabitannya dalam album pertama Red Peanut itu mampu mengetengahkan namanya di persada muzik Indonesia.

Justeru, apabila ditawarkan merakamkan lagu duet itu, penyanyi berusia 19 tahun ini bukan sahaja berpeluang mencuri perhatian industri muzik di negara seberang itu, malah turut berkongsi pengalaman dengan anggota-anggota kumpulan terbabit.

"Red Peanut bukannya kumpulan baru di Bandung. Dengan pengalaman mereka bermain di kelab-kelab malam selama hampir tujuh tahun lalu banyak dicurahkan kepada saya yang masih baru dalam bidang ini.

"Selepas berkolaborasi dengan mereka, saya telah berpeluang berkunjung ke Bandung pada tahun lepas dan mengadakan persembahan di beberapa buah kelab malam di sana.

"Sambutannya pula amat menggalakkan sekali. Paling membanggakan apabila lagu duet kami itu terpilih bersaing pada peringkat separuh akhir rancangan Muzik-Muzik terbitan TV3 baru-baru ini," katanya.

Selain lagu Dia, Aku & Kamu, lagu lain yang dimuatkan dalam album Stairway To The Future berjudul Arti Hadirmu, Pergi Saja, Terbaik Untukmu, Kosong, Sahabat Sejatiku, Sendiri, Kau Seperti Kekasihku, Dara Manisku, Hanya Ada Cinta dan Kutunggu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: