Thursday, November 12, 2009

Elemen seram berbeza dalam Niyang Rapik


Antara babak seram yang dipaparkan dalam Niyang Rapik.


SUDAH namanya filem seram, jika tidak mengundang jeritan penonton dengan pelbagai adegan mendebarkan lagi menakutkan, sudah tentu filem tersebut akan dianggap gagal memberikan impak sebagaimana sepatutnya dirasai ketika menonton filem bergenre serupa.

Namun, ada pembaharuan yang cuba dilakukan oleh pengarah yang tidak asing lagi, Ahmad Idham dalam filem seram terbarunya, Niyang Rapik.

Bermula dengan siri televisyen yang mengundang pelbagai reaksi daripada penonton setia TV3, Puaka Niyang Rapik yang mencatat rating hampir 4 juta penonton, kini divisualkan dalam bentuk layar lebar.

Tidak mahu jalan cerita antara filem dan drama mengundang rasa bosan di kalangan penonton, Ahmad Idham cuba mengetengahkan jalan cerita berbeza yang langsung tiada kena mengena dengan drama bersiri itu.

Ahmad Idham ketika ditemui baru-baru ini memberitahu, kali ini dia cuba menyelitkan elemen seram yang berbeza dengan mana-mana filem seram yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

Barisan pelakon yang membintangi filem tersebut ialah Liyana Jasmay, Zed Zaidi, Fizz Fairuz, Awal Ashaari, Kamal Adli, Shaheizy Sam dan Nasir Bilal Khan.

Berlatarkan suasana kampung yang mundur dari segi kemudahan prasarana, apa yang menarik, kata Idham, seboleh mungkin plot penceritaan cuba dipelbagaikan melalui pemandangan suram yang digarap sebagai sebuah tempat yang mempunyai mistik tersendiri.

"Sebelum ini kebanyakan kisah seram membuat penonton tidak senang duduk dengan pelbagai adegan yang mendebarkan sehingga membuatkan mereka menjerit ketakutan di mana akhirnya mereka akan keletihan.

"Namun, apa yang cuba saya tonjolkan dalam filem ini ialah kisah seram yang agak relaks, namun tidak mengabaikan hubungan kekeluargaan serta disulami kisah percintaan," katanya.

Sesekali memaparkan objek-objek yang menyeramkan, kata Idham, kekuatan dari segi latar belakang serta jalan cerita sudah cukup untuk mengekal elemen seram untuk sesebuah filem.

"Kalau difikirkan semula, kebanyakan filem seram yang ada hampir kesemuanya tidak langsung menyentuh hati penonton.

"Filem Congkak yang pernah saya hasilkan kebanyakan maklum balas yang saya terima mengatakan filem tersebut seram, namun akhirnya tahap keseraman itu menjadi stereotaip dan membuatkan penonton berasa letih.

"Dengan itu saya cuba ketengahkan kisah berkaitan orang muda berlatarkan lokasi yang digarap dapat menimbulkan rasa seram namun mampu menyentuh perasaan penonton," kata Idham lagi.

Kisah bermula setelah kedatangan sekumpulan anak muda yang juga pelajar universiti ke Niyang Rapik untuk membuat kajian.

Di kampung tersebut, mereka telah berkenalan dengan seorang gadis bernama Maya, anak kepada ketua kampung Niyang Rapik.

Bagaimanapun, kerana kesilapan yang dilakukan sebelum pulang ke tempat mereka, setahun selepas itu seorang daripada rakan mereka meninggal dunia secara mengejut.

Lantas mereka mengambil keputusan kembali ke Niyang Rapik untuk mengembalikan barang yang telah mereka ambil.

Namun pelbagai tragedi dan peristiwa pelik menghantui mereka sementelah suasana di Niyang Rapik yang suram tidak semeriah dahulu.

Segalanya yang berlaku bagai menyimpan misteri tersendiri.

Bercerita tentang teknik pengarahan dan teknologi yang ditetapkan, kata Idham, untuk memelihara keaslian plot dan jalan cerita, seboleh mungkin dia cuba mengurangkan teknologi yang digunakan.

"Berbeza dengan filem Congkak, memang saya guna kesan khas untuk menjadikan jalan cerita lebih menarik. Tetapi untuk filem seram yang berlatarkan suasana mundur seperti Niyang Rapik, kurang menggunakan teknologi adalah lebih baik.

"Niyang Rapik saya lebih fokuskan kepada sudut lokasi dan juga penggunaan prop. Namun, wajah-wajah hantu tidak terlalu kerap saya gunakan dalam filem ini.

"Saya lebih banyak bermain dengan konsep dan juga pergerakan kamera," katanya.

10 hari bekerja atas tasik

Selain Tasik Kenyir, Niyang Rapik turut mengambil Taman Cahaya Seri Alam sebagai lokasi pengambaran.

Filem yang menelan belanja RM1.6 juta itu turut berkampung selama 10 hari di permukaan Tasik Kenyir bagi melengkapkan plot penceritaannya.

"Jeti yang kami gunakan di buat sendiri oleh kru penggambaran. Boleh dikatakan lokasi kami di tasik tersebut adalah tiga jam jauhnya daripada jeti Tasik Kenyir.

"Ini adalah pengalaman kami berkampung di atas tasik selama 10 hari untuk menghabiskan penggambaran yang melibatkan tasik dan selama itu jugalah kami tak cecah darat," kata Idham lagi.

Niyang Rapik dijangka menjengah pawagam pada 25 Februari tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: