Wednesday, November 25, 2009

Razak 'sunting' pelakon bawah umur


BARISAN finalis Ratu yang akan membintangi filem terbaru arahan A. Razak Mohaideen selepas majlis memperkenalkan mereka di Cyberview Lodge Resort & Spa, Cyberjaya baru-baru ini.


SEBAGAI pengarah prolifik, Prof. A. Razak Mohaideen sentiasa mencari kalangan pelakon remaja yang baru bagi diketengahkan dalam filem-filem arahannya.

Terbaru, pengarah filem berasal dari Pulau Pinang itu sudah pun menemui barisan pelakon baru yang akan diperkenalkan menerusi filem terbaru atau ke-30 arahannya berjudul Ratu.

Menariknya, seramai lapan pelakon wanita remaja akan membintangi filem itu dan salah seorang daripadanya, Ainur Syakina Azman atau Eina yang baru berusia 14 tahun.

Eina bukan sahaja masih di bawah umur, malah pelakon muda itu juga terpilih melakonkan watak utama sebagai Melissa dalam filem dengan kos produksi dan promosi berjumlah RM1.8 juta itu.

Menurut Razak, pemilihan pelakon berasal dari Subang Jaya, Selangor itu dibuat daripada puluhan gadis yang menjalani uji bakat di seluruh negara bagi membintangi filem tersebut.

"Saya tidak nafikan Eina memang masih muda dan baru dalam bidang lakonan. Dia pula tidak ada pengalaman berlakon sebelum ini. Walaupun masih di bangku sekolah tetapi kita akan pastikan Eina selesa berlakon dalam filem ini.

"Bagi tidak menganggu masa persekolahannya, penggambaran filem ini dilakukan semasa cuti sekolah yang sedang berjalan ketika ini. Selain itu, kami juga akan beri tunjuk ajar kepadanya dalam bidang lakonan.

"Pemilihan Eina selepas kami mendapati dia antara calon terbaik untuk melakonkan watak utama dalam filem Ratu," katanya kepada Hits ketika ditemui di Cyberjaya baru-baru ini.

Pada pertemuan di Cyberview Lodge Resort & Spa itu, Razak turut mengumumkan tujuh lagi pelakon utama daripada 18 finalis yang bersaing bagi melakonkan watak-watak dalam filem itu.

Kata Razak, proses mencari pelakon wanita baru dalam filem yang akan mula menjalani penggambarannya 29 November ini bukan sahaja mengambil masa, malah ia juga menelan kos sehingga RM100,000.

Jelasnya, jumlah itu termasuklah bagi menyediakan kelas-kelas lakonan buat para pelakon terbabit yang dikendalikan oleh para tenaga kerja dalam bidang lakonan tanah air.

"Bukannya mudah untuk memilih kesemua pelakon itu di mana kami adakalanya mengambil masa sehingga pukul 4 pagi bagi berbincang memilih pelakon yang dirasakan sesuai.

"Sebelum menyerapkan kesemua pelakon baru itu dalam filem ini mereka telah diberikan latihan dan tunjuk ajar dalam bidang lakonan. Antara 13 tenaga pengajar yang terbabit ialah Fatimah Abu Bakar, Hamzah Tahir, Aminah Raphor dan Mazlan Tahir.

"Kos pencarian pelakon dalam sesi uji bakat dan kelas lakonan selama hampir dua minggu itu mencecah RM100,000 dan ia sebagai persiapan sebelum mereka turun ke lokasi penggambaran filem ini," ujarnya.

Bukan setakat tenaga pengajar dan kelas lakonan, malah barisan pelakon yang berjaya melayakkan diri berlakon dalam filem Ratu juga mendapat imbuhan daripada Line Clear Motion Pictures Sdn. Bhd. selaku penerbit filem itu selain diikat kontrak tiga tahun.

Tambahnya, sebanyak RM100,000 juga telah diperuntukkan sebagai imbuhan kepada para pelakon terbabit sebagai bayaran pembabitan mereka dalam filem dalam genre penggembaraan seram tersebut.

"Bayaran RM100,000 itu akan dibahagi-bahagikan kepada lapan pelakon terbabit sebagai bayaran atas lakonan mereka dalam filem ini yang akan menjalani penggambaran antaranya di sekitar Cyberjaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.

"Kami juga sedang memilih lokasi lain mungkin di pulau-pulau yang terdapat di Sabah atau di Pulau Pangkor, Perak," katanya yang turut mengumumkan para pelakon popular lain seperti Yusry KRU, Patrick Teoh, Fauzi Nawawi dan Shaharuddin Thamby yang turut membintangi filem itu.

Menceritakan pengalamannya mencari barisan pelakon terbabit, Razak berkata, ia saling tidak ubah seperti sebuah program realiti televisyen Pilih Kasih atau Anak Wayang yang pernah disiarkan baru-baru ini.

Malah, Razak turut mendakwa, dia sudah lama merancang untuk menerbitkan sebuah program seumpama itu tetapi sayangnya ia terhenti separuh jalan ekoran ketiadaan penaja.

"Tiga tahun lepas, saya sudah merancang untuk menerbitkan program sebegitu bagi mencari pelakon pelapis untuk diserapkan dalam filem-filem arahan saya. Sayangnya, pada saat-saat akhir penaja telah lari. Saya memang kecewa,

"Pada masa sama timbul pula program seperti Anak Wayang dan Pilih Kasih. Jadi, cara pemilihan pelakon Ratu yang saya lakukan ini memang formatnya lebih kurang seperti program realiti televisyen," ujarnya lagi.

Sementara itu, Eina ketika ditemui pula berkata, dia sudah bersedia melakonkan watak utama dalam Ratu biarpun masih muda berbanding pelakon lain yang turut terpilih berlakon bersamanya dalam filem itu.

Dengan sokongan keluarga dan tenaga pengajar dalam Ratu, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan USJ4 Subang Jaya ini yakin mampu melakonkan watak Melissa dalam Ratu dengan segala upayanya.

"Biarpun saya baru berusia 14 tahun tetapi mungkin saiz tubuh dan muka saya nampak jauh lebih matang menyebabkan saya terpilih berlakon dalam filem ini. Selain berlakon saya juga cuba menyerlahkan bakat saya menyanyi.

"Saya yang pada mulanya datang pada sesi uji bakat tidak menyangka terpilih dan berada pada carta 26 pelakon yang disenarai pendek pada sesi tersebut. Bagaimanapun, pengalaman saya sebelum ini banyak membantu.

"Saya misalnya, sebelum ini pernah terbabit dalam iklan komersial selain menjayakan program Muzik Aktif di RTM selama 13 episod," katanya yang merupakan anak saudara kepada penyanyi terkenal, Juliza Adzlizan.

Selain Eina pelakon lain yang terpilih membintangi Ratu antaranya ialah Tryambikay Vendages (BK), Farahzilah Abd. Rahman (Farah), Nor Jazillah Abd. Rashid (Jaz), Norfarahin Mohd. Roslan (Farahin), Shuhaila Sidik Mohamed (Sue), Fazreen Syazlyn Mohd. Adzhar (Syazlyn) dan Hilyah Amirah Ismail (Elya).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: