Wednesday, November 25, 2009

Erra nafi rumah tangga bergolak




BELUM pun reda berita penghijrahan bekas Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin ke Bernama TV sebagai Ketua Pegawai Eksekutif saluran berita mulai 9 November lalu, kini timbul pula kisah kononnya berlaku pergolakan rumah tangganya dengan ratu filem kesayangan ramai, Erra Fazira.

Segalanya gara-gara dakwaan kononnya wujud pihak ketiga di antara pasangan suami isteri itu.

Dakwaan ini sememangnya panas, apatah lagi melibatkan Erra artis wanita tersohor tanah air.

Persoalannya, sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut yang kedengaran sebelum ini?

Bertemu Erra pada majlis penyampaian hadiah serta penghargaan rancangan Gugu Gaga Erra di Hotel Maya, Kuala Lumpur baru-baru ini, setenang mungkin si jelita itu cuba menjawab pertanyaan yang diajukan.

Mengakui terkejut mendengar dakwaan itu, kata Erra, semua gosip tidak berasas seperti itu sudah menjadi asam garam kehidupannya sebagai seorang artis.

Kata Erra, itulah 'harga' yang perlu dibayarnya sebaik melangkahkan kaki ke dunia glamor.

Malah, satu persatu berkaitan kisah hidupnya, seperti mengundang perhatian daripada pelbagai pihak.

"Terus-terang, tidak ada pergolakan dalam rumah tangga saya. Saya pun tidak pernah mendengar berita pasal wujudnya pihak ketiga antara kami.

"Namun, saya tidak mahu cepat melatah. Gosip seperti ini asam garam dalam kehidupan seseorang artis dan saya sudah bersiap sedia," kata Erra dalam nada tenang kepada sekumpulan wartawan yang menemu bualnya baru-baru ini.

Apa yang pasti, gosip tersebut merujuk kepada Engku Emran yang kononnya mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Tidak mahu cepat membuat andaian negatif, kata Erra, tanpa bukti tiada apa yang perlu dirisaukannya.

"Bagi saya, selagi tiada bukti kukuh saya tidak mahu cepat melatah. Biasalah gosip seperti ini, dahulu rumah tangga orang lain yang hangat diperkatakan kini rumah tangga saya pula orang nak bercerita.

"Sejujurnya, saya memang terkejut. Selisih faham sedikit itu biasalah dalam rumah tangga. Tetapi apa yang boleh dikatakan setakat ini Alhamdulillah, rumah tangga saya dan Engku Emran okey sangat-sangat," kata Erra sambil mengukir senyuman.

Erra bertuah ada Aleesya

Diam tak diam usia puteri sulungnya, Engku Aleesya Engku Emran kini hampir menjangkau lapan bulan.

Sudah pandai menyebut 'mom' kata Erra, hati ibu mana yang tidak berbunga mendengar panggilan itu terbit dari bibir anak mereka.

Riang bercerita perihal Aleesya, sengaja persoalan berkaitan suaminya diutarakan.

Kali ini perihal pertukaran atmosfera kerja suaminya ke Bernama TV.

"Sudah tiga minggu dia mengharungi suasana kerja baru. Biasalah, bila sudah bertukar ke tempat baru memang dia jadi sibuk sangat.

"Ada banyak perkara yang perlu dia selesaikan di tempat baru, dan sekarang dia sedang menanggung beban-beban kerja yang baru," kata Erra sambil ketawa kecil.

Biarpun sama-sama sibuk, namun kata Erra, setiap kali selesai bekerja, pasti wajah puteri sulungnya yang sering bermain ingatan.

"Saya sibuk, Emran pun sibuk dengan tugas dan kerja masing-masing. Namun, saya bertuah kerana pulang ke rumah saya masih ada Aleesya yang menemani.

"Kalau tiada Aleesya tentu saya akan rasa sunyi juga apabila pulang ke rumah," kata Erra lagi.

Harapan pada Gugu Gaga

Mendapat rating yang tinggi, 2.6 juta tontonan membuatkan rancangan yang julung kali melibatkan artis mengharungi detik-detik sebagai ibu sebelum dan semasa menjalani proses berpantang, Gugu Gaga Erra begitu mendapat perhatian di kalangan penonton.

Rancangan 10 episod yang ditayangkan di Astro Ria mulai Jun lalu itu memaparkan bagaimana Erra dan suaminya membiasakan diri sebagai ibu bapa.

Dalam masa yang sama, pelbagai dugaan serta pengalaman berharga mereka dipaparkan menjadi tontonan para peminat setia saluran itu.

"Impak daripada program ini, secara tidak langsung saya mendapat teknik jagaan bayi yang betul daripada Johnson's.

"Maklum balas daripada penonton memang baik kerana ia bukan sahaja ditonton oleh golongan dewasa malah, kanak-kanak juga dan tahu yang saya adalah mak Aleesya.

"Ada dengar nak buat sambungan namun kalau boleh, biarlah Gugu Gaga dibuat untuk artis lain pula seperti Ziana Zain dan sebagainya," kata Erra sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: