Wednesday, November 25, 2009

Michael Jackson terus dikenang


JERMAIN JACKSON (dua dari kanan) bersama isterinya, Halima Rashid (tengah) dan anak-anaknya.


BENARLAH kata pepatah, 'Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama'. Pemergian Raja Pop Dunia, Michael Jackson pada 25 Jun lalu bukan sekadar meninggalkan legasi seninya.

Sebaliknya, pengaruh dan populariti beliau amat besar untuk dikenang sampai bila-bila.

Kematian Michael dirasai sehinggakan ada yang tidak percaya ikon pop ini telah tiada untuk menghiburkan sesiapa sahaja dengan koleksi lagu-lagunya yang begitu popular.

Biar sudah berbulan berlalu, kehilangannya kini masih dirasai dan apa jua kisah mengenai lelaki bernama Michael Jackson ini tetap menjadi perhatian ramai.

Apa yang pasti, seniman yang begitu sinonim dengan panggilan Jacko ini masih diminati dan dikasihi oleh peminat-peminatnya.

Legenda ini cukup besar pengaruhnya termasuk besarnya sumbangan beliau terhadap industri muzik dunia.

Kini, karya seninya hanya tinggal sejarah untuk dihayati bersama.

Sungguhpun sudah tiada lagi, karya-karya tersebut sudah semesti tidak akan dilupakan begitu sahaja oleh peminatnya yang bukan sedikit jumlahnya.

Untuk itu, Michael bukanlah calang-calang insan seni yang mudah untuk diketepikan kerana legasi seninya begitu kukuh sepanjang zaman.

Kerana itu juga, tidak hairanlah mengapa pada acara Anugerah Muzik Amerika (AMA) ke-37 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat kelmarin, Michael mencipta sejarah sendiri apabila merangkul kejayaan besar.

Kejayaan itu cukup membanggakan dengan beliau memungut anugerah terbanyak sepanjang kariernya berbanding dengan artis lain.

Dengan anugerah tersebut, ia menjadikan beliau sebagai pemenang anugerah yang tidak mungkin dapat ditandingi oleh artis-artis lain.

Michael dicalonkan untuk lima anugerah, hanya kurang satu pencalonan berbanding dengan jumlah pencalonan yang diterima oleh penyanyi muzik country, Taylor Swift.

Melalui AMA, Michael dicalonkan dalam kategori artis lelaki popular pop/rock dan soul/R&B.

Album terbaiknya yang diterbitkan pada tahun 2003 iaitu Number Ones turut memenangi album popular dalam dua kategori berkenaan.

Satu lagi anugerah yang dinobatkan kepada legenda pop itu ialah anugerah utama iaitu Penghibur Sepanjang Tahun.

Anugerah terbabit turut dikongsi bersama Lady Gaga, The Kings Of Leon, Enimen serta Swift.

Menerima bagi pihak Michael, abangnya iaitu Jermaine Jackson yang memakai sarung tangan berwarna putih sebagai mengenang penampilan adiknya melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana merestui kehidupannya sekeluarga.

Ujar Jermaine, anugerah yang diterima oleh Michael itu tidaklah begitu penting jika hendak diperkatakan mengenai segala mesej yang dilontarkan oleh adiknya itu dalam lagu-lagunya.

"Mesej-mesej berkenaan akan dikenang sepanjang masa. Michael melihat kebaikan yang ada pada setiap orang dan dia juga mahu semua orang melakukan kebaikan.

"Michael juga sentiasa menyemai rasa cinta di hati setiap peminatnya,'' kata Jermaine dalam ucapan ringkasnya ketika menerima anugerah bagi pihak adiknya itu.

Kejayaan yang dicipta Michael dalam AMA merupakan kejayaan yang mendapat perhatian ramai sepanjang berlangsungnya anugerah berprestij itu.

Diserikan dengan pelbagai persembahan artis ternama, kejayaan Michael sememangnya tidak perlu dipersoalkan lagi.

Selain kemenangan Michael, AMA turut memberi perhatian pada penghibur popular Whitney Houstan yang kembali mengungguli industri hiburan antarabangsa.

Pada malam berkenaan, Whitney melakukan kemunculan semula menerusi sebuah persembahan yang cukup elegan.

Selain menghiburkan penonton dengan single terbarunya, I Didn't Know My Own Strength, penghibur berusia 46 tahun itu juga dianugerahkan International Award of Excellence (Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa).

Anugerah itu diberikan atas dedikasi dan komitmen tidak berbelah bagi penyanyi berkenaan sepanjang bergelar anak seni.

Sementara itu, AMA membuka tirai dengan memberi laluan kepada Janet Jackson menerusi medley lagu-lagu hitsnya sepanjang berkecimpung dalam dunia hiburan.

Janet bakal muncul dengan album yang memuatkan koleksi lagu-lagu lamanya yang turut mengambil judul Number Ones.

Selain Janet, artis-artis lain yang membuat persembahan adalah Lady Gaga, Black Eyed Peas, Rihanna, Alicia Keys, Shakira, Kelly Clarkson serta Jennifer Lopez.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: