Tuesday, November 10, 2009

Top 5 tidak semestinya layak ke AJL24



Ledakan dan bahang Anugerah Juara Lagu 24 (AJL24) kian terasa apabila separuh akhir Muzik-Muzik 24 (MM24) bahagian 1 telah pun berlangsung pada 6 November lalu.

Sebagai pembuka tirai, 11 lagu bersaing untuk dinilai bagi merebut 14 tempat ke peringkat akhir AJL24 yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun 2010.

Pesawat, Nadia & Red Peanut, Reshmonu, Alyah, Hujan, Yuna dan One Nation Emcees merupakan barisan artis baru yang pertama kali melayakkan diri ke peringkat separuh akhir MM24 berbanding Aizat, Noraniza Idris & The Fabulous Cat, Mila dan Jaclyn Victor yang sebelum ini pernah berada di pentas yang sama.

Namun, tuah lebih banyak memihak kepada barisan artis muda apabila senarai kedudukan lima teratas yang diumumkan pasangan pengacara Faizal Ismail dan Cheryl Samad menampilkan Hujan, Alyah, Yuna dan One Nation Emcees serta finalis AJL23, Aizat yang nyata lebih memikat hati juri profesional.

Yang pasti, walaupun berada di kedudukan lima teratas, ia belum lagi menjamin peluang mereka untuk bersaing di peringkat akhir AJL24. Ini kerana, masih ada 19 lagu lagi yang belum dipersembahkan.

“Kami hanya mengumumkan lima lagu terbaik. Ini tidak bermakna mereka layak secara automatik ke AJL24. Perlu diingat, masih ada l9 lagu lagi yang perlu dinilai oleh pihak juri. Hanya pada 20 November nanti, barulah segala teka-teki ini akan dijawab,” jelas Azhar Burhan yang bertindak sebagai ketua juri untuk ketiga-tiga peringkat separuh akhir MM24.

Separuh akhir MM24 kali ini tidak lagi tertumpu kepada tiga kategori yang dipertandingkan sebelum ini seperti Pop Rock, Etnik Kreatif dan Balada tetapi dinilai dan diadili secara terbuka.

Sebanyak 14 lagu terbaik dengan markah tertinggi daripada 30 lagu yang memasuki separuh akhir MM24 yang layak ke peringkat akhir AJL24. Keputusan lagu ke peringkat akhir akan diumumkan pada penghujung siaran separuh akhir MM24 bahagian ketiga yang akan berlangsung 20 November nanti.

“Secara amnya, hanya 30 peratus markah sahaja dinilai pada malam ini iaitu penilaian dari aspek persembahan vokal dan keberkesanan persembahan secara keseluruhan. Manakala selebihnya (70 peratus) dinilai menerusi cakera padat (CD). Sesi menilai menerusi CD telah pun diadakan sebelum ini.

“Hasil penilaian menerusi CD perlu diadakan kerana mempunyai impak yang berlainan berbanding persembahan secara live. Sesetengah artis itu mempunyai vokal yang mantap tapi terdapat kekurangan dari segi persembahan dan ada juga yang sebaliknya,” tambah beliau lagi. Selain Azhar, empat lagi juri terdiri daripada Azlan Abu Hassan, Helen Yap, Mohariz Yaakub dan novelis popular, Ahadiat Akashah.

Bahagian 2 separuh akhir MM24 akan berlangsung pada Jumaat ini bersamaan 13 November pada jam 10 malam bertempat di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Kepada penonton yang berminat menyaksikan secara langsung, tiket-tiket percuma boleh diperoleh di Balai Pengawal Sri Pentas Bandar Utama dan juga Balai Pengawal Sri Pentas 2.

Antara artis-artis yang terlibat ialah, Estranged, Nubhan, Jinbara, Riz & Alyah, Aizat, 6ixth Sense, Akim, Black, Grey Sky Morning, Adam dan Hafiz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: