WAJAH penyokong bola sepak Kelantan yang mencetuskan keganasan pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 7 November lalu sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, pihaknya hanya perlu menyiasat identiti individu terbabit selepas meneliti rakaman video dan gambar yang diambil pada malam tersebut.
“Kami sedang meneliti dan menyiasat wajah-wajah individu yang didapati bertindak ganas pada malam itu melalui rakaman video serta gambar yang diperoleh.
“Wajah-wajah mereka sudah dicam dan kami sedang mengumpul butiran identiti kesemua mereka yang dipercayai terlibat itu,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Alam Damai, Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata, satu senarai nama akan diserah kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan setelah siasatan selesai bagi menjejaki individu yang dikenal pasti terlibat.
Bagaimanapun, Muhammad Sabtu enggan mendedahkan jumlah individu yang sudah dikenal pasti tetapi sekadar menyatakan bilangannya ‘ramai’.
Dalam kejadian 7 November lalu, selain insiden membaling mercun dan botol air, final Piala Malaysia edisi ke-83 itu antara Kelantan dan Negeri Sembilan turut dicemari dengan insiden membakar tempat duduk stadium dan kain rentang.
Bukan itu sahaja, seorang krew kamera RTM turut cedera terkena batu yang dibaling dari tempat duduk penyokong Kelantan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: