Sunday, November 15, 2009

'Diskaun' denda: KBS mahu penjelasan


KERATAN Kosmo! 12 November 2009.


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mendapatkan penjelasan mengenai 'diskaun' jumlah kerugian yang perlu dibayar berikutan kerosakan Stadium Nasional, Bukit Jalil yang diberikan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya ingin mendapatkan kepastian mengenai signifikasi pengurangan tuntutan terhadap FAM selaku penyewa stadium bagi perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu itu.

Shabery ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Bajet 2010 di Dewan Rakyat baru-baru ini mendedahkan bahawa nilai kerosakan di stadium itu akibat tindakan liar penonton pada perlawanan tersebut mencapai RM214,000 dengan yang terbesar melibatkan tempat duduk penonton iaitu RM112,000, dan harga tiap seunit kerusi dianggarkan RM500.

Shabery berkata, beliau difahamkan yang kedua-dua pihak mencapai kata sepakat, untuk FAM membayar hanya RM138,150.

"Bagaimanapun saya akan dapatkan laporan, (ingin tahu) apakah jumlah yang dibayar oleh FAM kelak cukup untuk menampung kos baik pulih keseluruhan kerosakan yang berlaku," katanya.

Beliau berkata, sekiranya jumlah itu tidak mampu menampung kos keseluruhan pembaikan stadium berkenaan, kementerian mungkin terpaksa mengeluarkan peruntukan untuk tujuan itu.

"Kalau ia tidak dapat menampung kos berkenaan, kementerian terpaksa keluarkan peruntukan bagi tujuan itu. Duit kementerian, maknanya guna duit rakyat, (sedangkan) duit itu boleh digunakan untuk tujuan lain," katanya.

Shabery seterusnya menyelar pihak-pihak yang mempertikai anggaran kementerian itu, termasuk mengenai kos kerusi RM500 tiap satu yang dikatakan terlalu mahal.

"Kerusi di stadium ni bukan boleh beli satu-satu. Semuanya dalam bentuk satu set yang direka khusus untuk kegunaan stadium, ada kualitinya, bukan boleh beli di pasar malam atau kedai perabot.

"Kalau letak kerusi plastik satu-satu yang beli di pasar malam, nanti bila ada perlawanan bola sepak, ada pula kes baling kerusi ke tengah padang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: