Sunday, November 15, 2009

Piala Malaysia diarak


SEBAHAGIAN daripada penyokong bola sepak Negeri Sembilan tidak melepaskan peluang memegang Piala Malaysia yang diarak oleh pemain skuad Hoben Jang Hoben di Dataran Senawang, Seremban.


SELEPAS seminggu Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia, akhirnya seluruh peminat skuad Hoben Jang Hoben dapat menatap trofi itu dari dekat dalam satu perarakan besar-besaran semalam.

Sambutan besar-besaran itu dibuat bagi meraikan kejayaan skuad Negeri Sembilan muncul juara selepas kali terakhir mereka mendakap piala berprestij itu 61 tahun lalu.

Acara perarakan itu bermula kira-kira pukul 3.30 petang di Dataran Senawang, Seremban, dengan pemain diarak menaiki bas tanpa bumbung.

Biarpun hujan lebat ketika perarakan lewat petang semalam, namun ia tidak menghalang 1,000 orang peminat untuk turut serta bergembira meraikan bersama-sama para pemain.

Kesemua kesebelasan pemain utama termasuk jurulatih, Wan Jamak Wan Hasan berada dalam bas mengelilingi kawasan sekitar Senawang.

"Walaupun hujan lebat, kita tetap meneruskan program ini dan kita tidak mahu mengecewakan peminat yang telah lama menunggu di setiap destinasi yang kita janjikan," kata Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Ismail Lasim.

Piala Malaysia akan dibawa ke seluruh daerah bermula di Rembau hari ini pada pukul 4 petang di Dataran Rembau.

Keesokan harinya, Piala Malaysia akan diarak pula di Stadium Kuala Pilah pada waktu yang sama.

Sambutan juga akan diadakan di Stadium Tampin, Tampin, pada 17 November, di Stadium Kuala Klawang (18 November) sebelum Piala Malaysia dibawa ke bandar Jempol pada 19 November.

Perarakan Piala Malaysia itu akan berakhir di Port Dickson di Padang Merdeka pada 20 November ini.

Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 7 November lepas, Negeri Sembilan menewaskan Kelantan 3-1.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: