MAYA KARIN dan Nur Fazura pegang watak utama filem Pisau Cukur. |
FILEM arahan Bernard Chauly iaitu Pisau Cukur mencatatkan kutipan kasar lebih RM1 juta bagi tempoh tayangan dari 5 November hingga Ahad lalu.
Pencapaian Pisau Cukur mengalahkan judul yang jauh lebih besar sememangnya petanda cukup baik untuk filem itu terus mendapat perhatian lebih ramai peminat.
Bernard sendiri pernah beberapa kali menegaskan, filemnya kali ini diharap dapat memikat hati semua kalangan penonton, tidak kira mereka yang bermastautin di kota mahupun kalangan penonton luar bandar.
Jika diukur kepada pencapaian kutipan filem terbabit, nampaknya impian Bernard semakin menjadi nyata apabila Pisau Cukur berjaya memungut lebih RM1 juta hanya selepas empat hari tayangan. Filem terbitan Primeworks Studios dan Red Films itu mula ditayangkan di seluruh negara pada 5 November.
Pungutan yang baik itu tentunya membolehkan bukan saja Bernard, bahkan keseluruhan insan seni yang terbabit dalam filem berkenaan tersenyum lebar. Paling tidak, penat lelah dan segala kerja keras yang dicurahkan ketika menghasilkannya kini bagai hampir terbalas.
Daripada 43 panggung yang menayangkan filem lakonan hebat Nur Fazura dan Maya Karin itu (kurang tujuh panggung berbanding This Is It), TGV Tebrau City, Johor Bahru muncul lokasi dengan kutipan tertinggi, diikuti GSC Mid Valley.
Menurut Eksekutif Promosi, Bahagian Filem dan Drama Primeworks Studios, Muhammad Hady Yusry Makmor, pungutan itu turut melegakan keseluruhan warga kerja pengedaran dan promosi filem berkenaan.
Kata Yusry, sepanjang siri promosi jelajah yang diadakan sejak beberapa minggu lalu, sambutan diterima daripada orang ramai begitu menggalakkan.
"Kami pergi ke Kuantan 7 November lalu dan memasuki pawagam secara senyap-senyap untuk melihat sendiri sambutan diberikan peminat terhadap filem ini. Kami bersyukur apabila melihat setiap kerusi dalam panggung terbabit diisi penonton. Sebaik saja habis tayangan, mereka bertepuk tangan.
"Apabila keluar daripada dewan tayangan, saya bertanya pada seorang peminat mengenai alasan yang membuatkannya begitu teruja. Kata peminat itu, "inilah yang dinamakan sebuah filem". Dia dan rakan-rakan nyata terhibur dengan Pisau Cukur. Mereka seronok apabila dapat menonton sebuah filem yang memenuhi cita rasa," katanya ketika dihubungi Isnin lalu.
"Ketika kami singgah di TGV KLCC, sambutan peminat di luar dugaan. Sebaik saja kami sampai, kelihatan peminat sudah pun berbaris panjang untuk mendapatkan tanda tangan artis. Sedangkan ketika itu, pelakonnya belum pun sampai ke lokasi.
"Selalunya, peminat tidak menghiraukan sesi autograf selagi tidak nampak kelibat artis yang diminati. Namun suasananya cukup berbeza sekali kali ini. Jelas sekali mereka benar-benar teruja dengan gabungan kali pertama antara Fazura dan Maya. Mereka terhibur dengan ‘kegedikan’ dua aktres ini dalam filem terbabit," ujar Yusry.
Filem yang turut dijayakan Aaron Aziz, Eizlan Yusof, Datuk Rahim Razali, Shahredza Minhat, Umie Aida, Khatijah Tan, Sharifah Sofia, Liyana Jasmay dan Nas-T itu juga menarik perhatian kalangan penonton bukan Melayu. Setiap kali tayangan khas untuk pemenang peraduan anjuran Nescafe diadakan, setiap kali itu jugalah peminat berbangsa India dan Cina turut sama memenuhi panggung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: