Wednesday, November 11, 2009

Dengarnya...: Zainal buat persembahan amal



Zainal Abidin

LAMA rasanya Cik Normah tak dengar perkembangan terbaru penyanyi kesukaan Cik Normah iaitu Zainal Abidin. Kali terakhir Cik Normah terbaca cerita mengenai penyanyi yang cukup popular dengan lagu Hijau ini adalah ketika dia menjalani pembedahan jantung awal tahun ini. Cuma ketika Media Prima Screening beberapa minggu lalu, Cik Normah dengar bekas vokalis kumpulan Headwind ini menyanyi duet bersama Datuk Sheila Majid.

Sayang sungguh Cik Normah tak berkesempatan menyaksikan persembahan Zainal hari itu. Iyalah, Zainal ini ada ramai peminatnya. Lagu nyanyiannya pun memang sedap dan corak nyanyiannya memang lain daripada yang lain. Memang sedih bila tak dapat lihat Zainal membuat persembahan.

Bagaimanapun, daripada sedih terus Cik Normah rasa gembira apabila mendapat tahu yang Zainal akan membuat persembahan di sebuah restoran Itali iaitu Delucca yang terletak di Jalan Nagasari, Off Jalan Mesui.


Persembahan berkonsepkan amal itu akan diadakan selama dua malam iaitu pada 21 dan 28 November ini. Khabarnya persembahan malam itu cukup eksklusif dan terhad. Tujuannya untuk membantu kanak-kanak di Nur Salam. Khabarnya juga Zainal akan membuat persembahan secara percuma selama sejam demi mengutip dana bagi membantu kanak-kanak malang itu.

Harga tiket untuk amal dijual pada harga sekitar RM150 termasuk makan malam dan album Hijau. Dan kalau ada yang mahu menonton saja, boleh memilih tiket berharga RM65 yang turut mendapat minuman ringan dan album Hijau. Elok sangatlah, selain berhibur dapat juga kita beramal.

Nampak gayanya Cik Normah tak akan lepaskan peluang keemasan itu. Sudah lama Cik Normah mengidam nak menyaksikan persembahan Zainal. Cik Normah nak ajak Kak Pora, Siti Muara dan Gayah Gebu sama-sama pergi tengok persembahan Zainal nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: