ANANG dan Krisdayanti ketika bahagia melayari alam rumah tangga. |
Anang nafi halang Krisdayanti temui anak, nyanyi lagu ciptaannya
DARI segi fizikal dan pandangan mata kasar, mantan suami kepada penyanyi sensasi Krisdayanti (KD) ini kelihatan cukup kuat dan tabah orangnya. Namun di sebalik wajahnya yang serius itu, jiwa dan hatinya cukup sensitif terutama apabila berdepan dengan kesedihan.
Buktinya, selepas saja bercerai, Anang Hermansyah atau Anang ini terus meluahkan segala yang terbuku di dada menerusi album solo terbarunya yang berjudul Separuh Jiwaku Pergi. Kata Anang ketika ditemu bual menerusi telefon baru-baru ini, tanpa berselindung dia mengatakan apa yang terjadi antara dia dengan KD diceritakan di dalam albumnya itu.
Dalam perbualan menerusi telefon, Anang yang bakal berada di Kuala Lumpur selama seminggu bermula 1 Disember depan bagi mempromosikan album terbarunya itu turut bercerita mengenai perkembangan dirinya sebagai seorang duda, kisah anak yang kini di bawah jagaannya serta khabar yang mengatakan dia kini ada pengganti KD. Malahan secara berseloroh, Anang memberitahu, dia mahu mencari jodoh dengan orang Malaysia. Berikut adalah sebahagian temu bual itu.
Hip: Apakah lagu Separuh Jiwaku Pergi itu ada kaitan dengan kisah sebenar kamu?
Anang: Sebenarnya dalam apa juga situasi, saya memang sering meluahkan perasaan saya menerusi lagu. Apatah lagi saat penting seperti ketika kami bernikah, hidup bahagia, mempunyai anak dan kemudiannya bercerai semuanya itu menjadi ilham buat saya untuk mencipta lagu. Inilah cara saya untuk mengenang setiap peristiwa itu. Lagu Separuh Jiwaku Pergi itu memang kisah perceraian saya dengan KD. Lagu itu adalah lagu terakhir yang saya cipta untuk album ini.
ANANG akui album Separuh Jiwaku Pergi adalah kisah benar kehidupannya. |
Hip: Kalau begitu, benarlah perceraian kamu disebabkan kecurangan KD?
Anang: Lagu dalam album saya ini sudah jelas menggambarkan segala-galanya.
Hip: Apakah kamu benar-benar terluka dengan perpisahan ini?
Anang: Sebagai seorang lelaki yang setia, pastinya perpisahan ini cukup menyedihkan. Namun saya harus kuat dan perlu membuang perasaan kecewa itu jauh-jauh. Kalau saya sendiri terus menjadi lemah, bagaimana saya mampu untuk meneruskan kehidupan ini. Anak-anak saya juga perlukan perhatian dan saya tak mahu mereka kecewa melihat saya berterusan meratapi perpisahan ini.
Hip: Apa mungkin kamu berdua akan rujuk kembali?
Anang: Rasanya tidak mungkin. Malah saya sering berdoa semoga kami tidak disatukan kembali. Memang benar, perceraian itu dibenci Tuhan, tapi Dia juga mengizinkan hal itu berlaku. Biarlah kami memilih jalan hidup sendiri. Mungkin itu lebih baik buat kami. Pun begitu, bukanlah bermakna saya membenci dia. Mana mungkin kita membenci orang yang pernah kita sayang selama 13 tahun. Namun saya mengharapkan agar KD bertemu jodoh terlebih dulu. Sebagai wanita muda yang cantik dan popular, dia perlu bernikah segera bagi mengelakkan fitnah.
Hip: Bagaimana pula dengan kamu? Tak mahu mencari pengganti?
Anang: Sebagai seorang lelaki yang pernah melalui saat bahagia berumah tangga, tentunya saya tidak mahu melengahkan perkahwinan. Saya memang mahu berkahwin lagi, tetapi masih lagi mencari pengganti. Saya tidak kisah andai wanita itu seorang artis atau orang biasa asalkan kehidupannya seimbang dunia dan akhirat serta boleh menerima kedua-dua anak saya. Kalau boleh saya mahu mencari orang Malaysia. Dan khabar yang mengatakan saya sudah bertemu pengganti itu tidak benar.
Hip: Katanya kamu tidak mengizinkan KD bertemu dengan anak. Apa benar cerita itu?
Anang: Cerita itu tidak benar. Sebagai seorang bapa, saya juga tahu yang anak saya juga berhak untuk mendapatkan kasih sayang seorang ibu, tetapi dalam hal ini masanya tidak sesuai. Mereka sudah melihat apa yang sebenarnya berlaku dan mereka sendiri yang membuat keputusan untuk tinggal bersama saya dan bukannya dipaksa. Dan lebih membuatkan saya sedih, selepas tiga bulan anak-anak tidak pernah bertanyakan ibunya dan tidak merinduinya juga. Jadi, baru-baru ini saya ada pertemukan mereka dan tidak dinafikan mereka kelihatan agak kekok apabila bertemu ibunya. Memandangkan mereka mahu tinggal dengan saya, saya akan terus memelihara mereka sehinggalah mereka dewasa. Biarlah mereka berada di bawah jagaan saya sehingga mereka benar-benar sudah bersedia untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Kemudian terserah kepada mereka untuk membuat pilihan sama ada untuk bersama saya atau KD.
Hip: Ada cerita yang tersebar di internet mengatakan kamu mengugut media Indonesia.
Anang: Media di sana (di Indonesia) memang tidak henti memburu saya dan keluarga bagi mendapatkan cerita sensasi. Walhal saya sudah memberi peluang kepada mereka untuk bertanyakan apa saja soalan mengenai kisah kami. Jadi apabila mereka sanggup tunggu di depan rumah sehingga tahap mengganggu kehidupan anak-anak, saya fikir itu sudah keterlaluan. Anak-anak saya sudah cukup trauma dengan apa yang berlaku dan mohon jangan diganggu mereka. Saya sudah cakap baik-baik, tapi mereka tak mahu mendengarnya.
Hip: Benarkah kamu melarang KD dari menyanyikan lagu kamu?
Anang: Saya tidak pernah melarang dia menyanyikan lagu saya. Cuma saya tidak mahu bekerjasama dengannya lagi. Saya juga sudah menarik diri daripada menerbitkan album duet KD bersama Datuk Siti Nurhaliza.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: