TAHUN ini sahaja, ramai penyanyi seperti kumpulan Search, M. Nasir, Siti Nurhaliza, Black Dog Bone dan Jamal Abdillah yang mengadakan konsert berskala besar.
Kebiasaannya dalam pengiraan bajet konsert, kos peralatan teknikal adalah antara yang tertinggi berbanding kos-kos lain seperti bayaran penari, dewan atau promosi.
Semua ini adalah demi menjaga mutu persembahan dan suara penyanyi. Kerana itu, pengambilan jurutera bunyi adalah perkara paling penting dalam memastikan kejayaan sesebuah konsert.
Bagi penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza, yang bakal mengadakan konsert Seribu Warna Sabtu ini di Stadium Malawati, Shah Alam, pemilihan jurutera bunyi yang mempunyai pengalaman sangatlah penting dalam mengendalikan konsert-konsert.
Siti tidak menafikan, pihak produksinya sendiri pernah mengambil jurutera dari Jepun untuk mengendalikan konsertnya agar berjalan dengan lancar.
"Dalam banyak-banyak perkara dalam sesebuah persembahan, sistem bunyi adalah yang terpenting. Kerana itu pemilihan jurutera bunyi bukan perkara yang boleh diambil ringan.
"Sama ada mengambil tenaga luar atau dalam negara, tidak ada bezanya kerana ia bergantung pada konsep yang diinginkan oleh seseorang artis itu.
"Begitu juga dengan jurutera bunyi berkenaan, mereka perlu tahu stail dan suara yang dimahukan oleh artisnya. Ada artis yang mahu suaranya lebih kuat daripada muzik dan ada yang mahu muzik dikuatkan daripada suara.
"Selain itu, peralatan teknikal itu sendiri sangat penting kerana tanpa peralatan yang canggih, jurutera bunyi sukar untuk mengendalikan konsert dengan berjaya," tutur penyanyi nombor satu tanah air yang akan menggunakan khidmat jurutera bunyi, Alvin Koh, untuk konsert Seribu Warna.
Bagaimanapun, menurut Siti, biasanya bagi jurutera bunyi yang menonjol, mereka akan lebih dipercayai untuk diberikan tanggugjawab mengendalikan persembahan-persembahan yang besar.
|
|
Oleh itu, bagi jurutera bunyi yang kurang dikenali mereka perlu melakukan sesuatu seperti menimba pengalaman yang lebih banyak untuk membina nama dan mendapat kepercayaan orang lain.
Sementara itu bagi komposer dan penyanyi, M. Nasir pula, dia menganggap jurutera bunyi tempatan yang profesional semakin berkurangan.
Walhal, perkhidmatan mereka amat diperlukan untuk menjayakan sesebuah acara.
"Sekarang ini, kita tidak terdedah dari segi permintaan kerana acara persembahan tak banyak. Kerana itu agak sukar jurutera bunyi tempatan mengembangkan kreativiti.
"Bagaimanapun semestinya kita mahukan yang terbaik dalam menjayakan konsert kita, lalu jurutera bunyi dari luar acap kali menjadi pilihan.
"Macam saya, tidaklah semua persembahan mengambil khidmat tenaga luar. Jika jurutera bunyi yang kita inginkan itu sibuk, barulah kita ambil orang luar.
"Nak kata tak ada yang bagus, memanglah ada, tapi tak banyak. Dan yang tidak profesional itu pula perlu mengasah bakat lagi untuk menambahkan ilmu di dada," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: