Thursday, November 12, 2009

Tidak berkualiti atau tiada peluang




LEWAT kebelakangan ini industri muzik Malaysia semakin meriah. Hampir setiap bulan ada sahaja konsert-konsert gah baik daripada artis tempatan mahu pun antarabangsa berlokasi di Lembah Klang.

Begitu juga acara-acara besar membabitkan persembahan artis seperti citrawarna ataupun persembahan teater muzikal di Istana Budaya.

Biarpun penyanyi atau pelakon di atas pentas menjadi tonggak utama sesebuah persembahan, namun acap kali kita lupa sistem bunyi yang bermutu turut memainkan peranan dalam menjayakan sesebuah acara.

Bahkan, dalam pembikinan album khidmat jurutera bunyi atau dipanggil sebagai Sound Engineer (SE) dalam memastikan lagu-lagu yang dirakamkan menepati cita rasa dan halwa telinga pendengar.

Namun, ramai yang tidak sedar, produk-produk muzik gah yang dihasilkan di negara ini kebanyakannya bukanlah daripada hasil tangan kerja kreatif jurutera bunyi tempatan sebaliknya menggunakan kepakaran jurutera luar negara.

Hasil kerja jurutera kita hanya boleh dilihat dalam pembikinan album-album biasa atau konsert-konsert yang kecil sahaja.

Jurutera bunyi Malaysia dikatakan belum cukup pakar mengendalikan peralatan teknikal yang ada untuk mengembangkan kreativiti mereka dalam melakukan sesebuah projek besar.

Melihat kepada senario tersebut timbul persoalan adakah benar selepas 52 tahun mencapai kemerdekaan jurutera bunyi anak Malaysia belum cukup hebat untuk setanding dengan jurutera bunyi luar negara?

Atau adakah sebenarnya kita tidak memberi peluang kepada jurutera bunyi tempatan untuk menunjukkan kreativiti sebenar mereka di pentas lebih besar?

Menurut penerbit serta pakar jurutera bunyi terkenal, Roslan Aziz, walaupun kita mempunyai ramai jurutera bunyi tempatan tetapi kita masih lagi kekurangan jurutera yang berkualiti kerana kurang pengalaman dan pendedahan dari luar negara.


SISTEM bunyi yang berkualiti memainkan peranan penting untuk menjayakan persembahan pentas.


"Saya rasa pemuzik kita takut untuk mencari pengalaman luar seperti di negara-negara Eropah, Jepun dan sebagainya.

"Kalau mahu mendapat pendedahan serta pengalaman dalam bidang ini, mereka perlu mengembara untuk mendapatkan ilmu. Bila kita hanya bekerja di dalam negara seperti di stesen-stesen televisyen ataupun studio seni, mereka tidak akan cukup kompetitif untuk menaikkan taraf diri dalam bidang audio ini.

"Ramai yang kata, mereka tiada peluang, padahal peluang perlu dicari, bukannya menunggu peluang itu datang bergolek pada kita.

"Jika mahu berjaya sebagai seorang jurutera bunyi yang hebat, mereka kenalah berusaha dan mencari jalan sendiri. Dahulu, saya tidak ada tempat untuk belajar. Jadi saya ikut orang yang terbabit dengan audio merantau ke negara orang.

"Saya tak kisah kerja apa pun yang diberi sebab saya mahu melihat cara mereka bekerja.

"Tetapi anak-anak muda sekarang ini dah berpuas hati dengan pencapaian mereka yang tak seberapa. Baru bekerja dengan dua atau tiga artis popular, mereka sudah gelarkan diri mereka pakar jurutera bunyi," tegasnya.

Tambah Roslan, jurutera bunyi luar terpaksa diambil kerana penganjur enggan menanggung risiko kerugian.

Contohnya, teater muzikal Puteri Gunung Ledang, mereka tidak dapat mengambil jurutera bunyi tempatan kerana kebanyakannya tidak berpengalaman.

Beritahu Roslan lagi, alasan tidak diberi peluang tidak boleh diterima kerana mereka yang mahu bergelar jurutera bunyi yang berjaya perlu menunjukkan skil dan pengalaman yang dimiliki.

"Saya ingat lagi masa awal-awal saya dalam industri muzik di sekitar tahun 1980-an, nak pegang mesin konsol mesin pun orang tepis tangan. Jadi saya tengok cermin dan tanya pada diri, layakkah saya memegang mesin itu, jadi saya pun belajar dengan cara bekerja tanpa mengira wang yang akan diterima.

"Saya ada memberi peluang kepada anak-anak muda untuk mengendalikan persembahan-persembahan kecil, itu pun mereka tak boleh buat walaupun belajar tinggi. Macam mana orang nak bagi persembahan besar kalau yang kecil pun tak boleh uruskan? Mereka suka ambil jalan yang mudah.

"Untuk menjadi jurutera bunyi yang berjaya, kriteria-kriteria penting yang mereka perlu ada ialah ilmu. Ia bukan hanya datang daripada apa yang dipelajari di kolej, tetapi ilmu itu kita perlu mencari sendiri dan jangan harapkan duit sahaja. Ini tidak, belum apa-apa dah nak cerita tentang gaji.

"Kawan saya, Ken Freeman yang pernah bekerjasama dengan penyanyi Bob James, tidak pernah habis belajar walaupun telah merantau ke pelbagai negara.

"Kriteria kedua, mereka perlu ada kecekalan dan abiliti. Maksudnya, cara mereka berfikir untuk mendapatkan peluang sendiri.

"Kita perlu yakinkan orang bakat yang kita miliki, barulah orang percayakan kemampuan yang ada," katanya.

Dalam pada itu kata Roslan, pendedahan dan pembelajaran yang diterima oleh golongan pelajar yang mahu mendalami bidang muzik kurang berkualiti kerana pengalaman guru yang juga tidak begitu tinggi.

Bagaimanapun, untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti jurutera bunyi yang sedia ada, mereka perlulah mengubah cara kerja yang dikatakan tiada pengurusan yang betul.


ROSLAN menyarankan jurutera bunyi muda mendalami lebih banyak ilmu sebelum menggelarkan diri sebagai pakar.


"Dahulu saya pernah kerja di sebuah stesen TV, dahlah cara kerja lambat, jika berlaku kesilapan, masing-masing menyalahkan orang lain, tidak pernah salahkan diri sendiri. Dan lagi satu, jangan salahkan barang tidak bagus, salahkan diri yang tidak tahu guna barang tersebut.

"Saya pernah bekerjasama dengan Zainal Abidin, Siti Nurhaliza, Shiela Majid di England. Masa itu, kita cuma membawa pemuzik utama dan pakaian dari Malaysia. Pemuzik orkestra, serta krew-krew lain semuanya dari England. Kerja mereka cepat dan masa semua tepat. Semua serius waktu bekerja.

Tiada peluang

Lain pula cerita bagi pakar jurutera bunyi yang banyak mengendalikan konsert-konsert penyanyi popular dan yang terbaru, Konsert Radio Rosak, Zairi Ariffin. Dia menganggap, kekurangan pakar jurutera bunyi disebabkan mereka tidak pernah diberi peluang untuk menjayakan acara-acara besar.

Jurutera bunyi tempatan kerap kali tidak diberi kepercayaan apatah lagi negara kita tidak mempunyai banyak acara persembahan seperti negara-negara luar untuk mengasah bakat yang ada.

"Nak ikutkan kita mempunyai ramai jurutera bunyi, cuma peluang yang diberikan kepada mereka tidak meluas untuk menajamkan bakat.

"Seringkali kita diperlekehkan dengan diberi kerja mengendalikan acara-acara yang berskala kecil. Bila acara besar, mereka lebih gemar memanggil jurutera bunyi luar negara.

"Perkara ini perlu mengikut kemampuan masing-masing. Berdasarkan kajian saya di Internet, kita mempunyai barangan yang hebat sama seperti negara luar tetapi tenaga kerja yang berpengalaman agak kurang.

"Apa salahnya jika acara berskala besar diberi kepada orang tempatan, barulah mereka dapat pendedahan yang lebih luas. Bila peluang diberi, barulah pengalaman dan kepakaran mereka bertambah," tegasnya.

Memberikan contoh seperti di negara Indonesia, hampir setiap hari pemuzik-pemuzik mereka bekerja di pelbagai acara konsert dan bakat serta kreativiti mereka ditajamkan kerana latihan yang kerap.

"Cuba lihat contoh seperti penggiat seni di Indonesia, hari-hari mereka berlatih melalui tawaran persembahan yang mereka hadiri dan bakat mereka berkembang.

"Saya rasa persepsi mengatakan jurutera bunyi tempatan tidak profesional perlu diubah dengan memberi peluang kepada mereka. Dari situ barulah kita boleh menilai kemampuan masing-masing yang mungkin mereka sendiri akan terkejut dengan kreativiti yang dimiliki," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi jurutera bunyi berjaya, Peter Chong memberitahu penggunaan tenaga luar dalam mengendalikan sesebuah acara persembahan mungkin kerana keselesaan bekerjasama.


PENGGUNAAN tenaga jurutera luar kerana mereka lebih berpengalaman dan terbukti berwibawa.


Menurut Peter, jurutera bunyi tempatan bukannya tidak hebat tetapi kebanyakan produksi lebih gemar menggunakan khidmat seorang jurutera bunyi sahaja.

Sebab itu tidak ramai tenaga lokal mendapat peluang kerana kepercayaan sering diberikan kepada jurutera bunyi asing.

Kadangkala, penggunaan khidmat dari luar negara juga mungkin disebabkan oleh cara format dan stail jurutera bunyi berkenaan bekerja.

"Kita tak boleh nak cakap, kenapa perlu guna orang luar dan kenapa tidak ambil orang tempatan. Bagi saya, masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan.

"Apa salahnya orang luar berkhidmat di sini sedangkan kita juga mencari pengalaman di luar. Saya akui, saya juga memenuhi jadual kerja di luar negara," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: