Thursday, November 12, 2009

5 lagu sebelah kaki ke AJL


LIMA lagu dendangan Alyah, Aizat, One Nation Emcees, Hujan dan Yuna dipilih sebagai Top 5 minggu pertama separuh akhir Muzik-Muzik 24.


BIARPUN lima buah lagu sudah dipilih oleh para juri profesional pada separuh akhir Muzik-Muzik 24 minggu lalu sebagai Top 5, hakikatnya masih terlalu awal untuk meramalkan adakah lagu itu pasti melangkah ke peringkat akhir Juara Lagu Januari nanti.

Daripada 30 buah lagu yang terpilih ke peringkat separuh akhir, sebanyak 11 lagu dipertandingkan pada minggu pertama Muzik-Muzik 24 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor bermula pukul 10 malam di TV3 minggu lalu.

Namun harus diingatkan, hanya beberapa lagu yang mencapai piawaian juri berpengalaman terdiri daripada Azlan Abu Hasan, Helen Yap, Mohariz Yaakob, Ahadiat Akashah dan Azhar Borhan sekali gus disenaraikan menduduki tangga lima lagu yang meraih markah tertinggi.

Lima lagu yang berpeluang cerah untuk menjejakkan kaki ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) adalah Tak Mungkin Kerana Sayang nyanyian Alyah, Kau Aku (Aizat), Dan Sebenarnya (Yuna), Aku Scandal (Hujan) serta Raja Gelek (One Nation Emcees).

Bagai-manapun enam lagu lain yang harus akur tidak mendapat markah tinggi daripada juri termasuklah Mirage daripada kumpulan Pesawat, Dia, Aku Dan Kamu (Nadia & Red Peanut), Oh Anok Anok (Reshmonu), Enjut (Noraniza Idris), Bertamu Dikalbu (Jaclyn) dan Gila (Mila).

Menjelaskan tentang konsep pemilihan secara rambang lima lagu yang dianggap terbaik, Azhar selaku ketua juri memberitahu, pihaknya sengaja menampilkan kelainan dengan penilaian dibuat berdasarkan panel hakim yang terlibat.

"Kami menilai lagu menerusi nilai-nilai komersial di samping mengambil kira aspek impak sesebuah persembahan kepada pendengar. Biarpun begitu, ia bergantung kepada lagu dan penyanyi itu sendiri.

"Ada antara para peserta yang menyampaikan lagu dengan bagus sekali. Malangnya, persembahan mereka di pentas dilihat kurang meninggalkan kesan kepada penonton. Begitu juga sebaliknya. Jika persembahan penyanyi atau kumpulan ini bagus maka tidak semestinya lagu berkenaan baik dan berkualiti.

"Sebanyak 70 peratus markah sudah dinilai oleh panel yang dilantik manakala 30 peratus lagi menerusi persembahan persaingan separuh akhir ini. Cuma masih terlalu awal untuk kami menjangkakan peserta mana yang bakal melangkah ke peringkat akhir.

"Penyanyi atau kumpulan yang mendapat kedudukan markah tertinggi minggu lalu sebenarnya masih bergantung kepada persaingan bahagian separuh akhir kedua dan ketiga yang berlangsung pada 13 dan 20 November ini.


JACLYN tidak bernasib baik dengan lagu Bertamu Dikalbu.


"Kalau ada lagu-lagu pada minggu berikutnya mendapat markah lebih tinggi daripada kelima-lima lagu yang dipilih pada pusingan pertama ini, maka secara automatik mereka akan terkeluar daripada carta AJL24," jelasnya ketika ditemui sejurus program itu tamat.

Jelas Azhar, relevannya format penjurian secara terbuka itu diperkenalkan pada pertandingan AJL kali ini memandangkan pihak penerbitan Muzik-Muzik berasakan kepelbagaian muzik mulai melata satu-persatu di gelanggang seni tempatan.

Dalam pada itu, Yuna memberitahu, kejayaan berada dalam kelompok peserta tersenarai dalam separuh akhir Muzik-Muzik 24 memang tidak dijangka apatah lagi, melangkah ke peringkat akhir memandangkan saingan peserta yang bertanding cukup sengit.

"Saya sendiri tidak menyangka pembabitan secara suka-suka pada awalnya mencipta lagu membolehkan saya berada di tahap ini. Memang rasa teruja dapat bersaing tambahan ini penyertaan pertama saya dalam Muzik-Muzik.

"Cabaran daripada peserta lain juga cukup kuat seperti Aizat yang ternyata memiliki bakat dalam bidang seni. Sebagai individu yang masih cetek pengalaman, perasaan gementar ketika mengadakan persembahan memang ada," jelasnya sambil tersenyum manis.

Tidak ketinggalan, kumpulan One Nation Emcees merupakan antara artis yang menduduki lima tempat teratas dalam pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik 24.

Kumpulan yang terdiri daripada empat anak muda iaitu Mohd Norzaidi Edris (Zydee); Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae); Nur Hasan Baias (Jojoe) dan Shamimi Amalina Norhisham (Mimi) itu memukau para juri menerusi lagu Raja Gelek.

Penyanyi yang mendendangkan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang, Alyah pula menganggap kejayaan berada pada posisi lima karya teratas mem-buktikan lagu berentak pop dan balada tetap mencuri perhatian lantas berkeupayaan untuk bersaing dengan lagu genre lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: